Jelasnya, pada mulanya dia tidak tertarik langsung dengan wanita itu apatah lagi isterinya itu merupakan saudaranya, dari sebelah ibu.

Mana mungkin pertalian keluarga itu boleh bertukar menjadi suri di hati dengan sebegitu mudah, itu yang tercetus di benak lelaki ini.

“Saya ada beberapa kali bertemu dengan isteri ketika itu menerusi perjumpaan saudara mara, tetapi kami tidaklah rapat sangat. Sesekali saja terjumpa kerana dia adalah saudara dua pupu sebelah emak saya. Pun begitu, dapat saya simpulkan, perkahwinan kami timbul atas dasar cinta dan bukan diaturkan oleh ahli keluarga biarpun kami ada pertalian saudara,” jelasnya.

Bibit cinta itu bermula selepas Nine mengadakan persembahan di Sungai Petani dan kebetulan, wanita itu hadir untuk menyaksikan persembahannya.

“Masa itu ada beberapa sepupu saya yang datang dan mereka ajak isteri saya yang masa itu berada di Alor Setar untuk menonton persembahan itu.

“Bermula daripada situ yang saya lihat dia dan merasakan seperti ada sesuatu pada dia yang menarik saya untuk berkenalan dengannya,” jelasnya.

Tetapi menurut Nine, dia hanya sempat berbual pendek dengan wanita itu, apatah lagi ketika itu dia mempunyai hubungan dengan seorang wanita lain.

“Saya akui, pada masa itu saya ada hubungan lain, tetapi entah kenapa, saya asyik teringat kepada dia. Ingatan itu semakin kuat walaupun selepas pertemuan itu saya langsung tidak bertemu dengan dia lagi.

“Sehinggalah sekitar 2004, hubungan saya dengan wanita sebelum ini tidak boleh diteruskan dan kami berpisah.

“Selepas beberapa tahun berpisah itu, saya asyik teringat pada dia apatah lagi saya sudah tidak berada dalam hubungan cinta yang agak lama,” jelasnya.

Namun, untuk meneruskan hubungan bersama dengan isterinya ketika itu sebagai kekasih memang sukar apatah lagi memikirkan bahawa mereka ada pertalian persaudaraan. Serba sedikit ia mewujudkan rasa ‘serba salah’ dalam jiwa.

“Saya kena fikir banyak kali sebelum ada hubungan dengan dia kerana sekiranya berlaku sesuatu seperti perpisahan, akan menjejaskan banyak perkara, terutamanya dalam bab keluarga kami.

“Saya tanya pada bapa dahulu sama ada betul atau tidak keputusan saya. Bapa beritahu jika saya betul-betul mahu bercinta dengan dia, hubungan itu perlu betul-betul dijaga,” jelasnya.

Tambah Nine, dia kuatkan semangatnya untuk berterus terang dengan wanita itu untuk bercinta dan seminggu selepas itu, barulah si wanita membalas dan menerima cinta itu.

“Sepatutnya saya gembira ketika itu. Tetapi ada perasaan risau kerana saya memegang tanggungjawab untuk menjaga dia dan membawa nama keluarga.

“Tambahan lagi, dia merupakan seorang wanita yang baik dan jika saya gagal menjaga hubungan itu, saya telah memalukan keluarga saya,” jelasnya.

Langit tidak selalu cerah, pernah sekali sewaktu bercinta, pasangan ini memilih untuk berjauhan seketika atas permintaan Nine sendiri.

“Saya minta sedemikian kerana saya merasakan saya tidak cukup layak untuk bersama dengan dia. Dia seorang wanita yang sangat baik jika dibandingkan dengan saya.

“Itu yang kami jauhkan hubungan buat seketika tetapi sepanjang masa saya asyik teringat pada dia. Semakin saya lupakan, semakin kerap wajah dia bermain dalam fikiran ini,” katanya.

Waktu itu, Nine ambil keputusan untuk membuat solat istikharah dan akhirnya, wajah wanita itu yang muncul sekaligus menguatkan semangatnya untuk berkahwin dengannya.

Akhirnya, tanggal 29 November 2008, pasangan ini bernikah dan tujuh tahun usia perkahwinan mereka kini dihiasi dengan dua orang cahaya mata, Mior Emir Aziz, 9, dan Mior Muhammad Elyyas, 3.

Bahagia berkahwin  itu berbeza

Menyambung bicara, jelas Nine, selepas berkahwin, kebahagiaan itu berbeza jika dibandingkan hidup bujang.

“Sebenarnya, ada rakan-rakan yang cuba menghasut saya dengan mangatakan lepas berkahwin sudah tidak boleh berhibur. Tetapi bagi saya, berhibur itu membawa maksud yang berbeza bagi setiap orang. Apatah lagi selepas berkahwin, sudah pasti ia berbeza.

“Bagi saya, dapat bersama dengan isteri dan anak-anak sudah membawa maksud bahagia dan ini adalah cara untuk saya berhibur,” jelasnya.

Permulaan perkahwinan, Nine sudah berpesan dengan isterinya bahawa pergaduhan adalah perkara biasa dalam perhubungan.

“Saya juga selalu ingatkan diri sendiri bahawa lelaki perlu bertanggungjawab dalam setiap perkara.Bergaduh adalah perkara biasa dalam perhubungan tetapi bagaimana kita berusaha untuk selesaikannya, itu yang penting.

“Lelaki adalah individu yang paling banyak buat silap dan sebagai seorang khalifah dalam rumah tangga, memang lelaki yang perlu mengambil peranan dalam keluarga,” jelasnya.

Sehingga kini, Nine bersyukur dan berterima kasih kepada isteri yang banyak mengubah dirinya menjadi seorang insan yang lebih baik.

“Isteri saya seorang yang sangat baik, itu saya boleh puji. Dan yang lebih penting lagi, dialah yang mengubah hidup saya menjadi lebih baik,” katanya.