Minggu lalu, bertempat di Dewan Plenary, Pusat Konvensyen Kuala Lumpur, Marx yang kini sudah mencecah ke usia 53 tahun, hadir sekali lagi untuk konsert jelajah solo di sini. Lelaki kurus, berambut kerinting dengan susuk badan yang agak tinggi ini bukan asing di Malaysia, sebaliknya ini adalah kemunculan yang dia sendiri hanya boleh katanya sebagai “lebih daripada lima kali.”

Apa yang menarik pada malam itu, tidak ada kumpulan pemuzik yang mengiringinya. Hanya dia seorang, bersama dengan gitar dan piano di pentas. Itu kelainan yang ditonjolkan dalam kemunculan kali ini.

Marx sendiri mempunyai sebab mengapa dia berbuat demikian. Baginya, dia mahu malam itu menjadi malam antara dirinya dengan peminat sahaja. Itu motif di sebalik aturan perjalanan konsert yang dilihat simple, tetapi mengesankan itu.

Ternyata, percaturan yang dilakukan Marx dengan pengalaman silam, benar-benar membuat penonton berasa dekat dengannya. Malah, semua lagu yang dinyanyikan pada malam itu adalah senarai lagu hit yang mempopularkan dirinya ke seluruh dunia, termasuk di Malaysia.

“Setiap kali saya pergi konsert, ramai yang akan mengeluh bila artis itu menyanyikan lagu baru.

“Sudah pasti kita, termasuk saya mahu mendengar lagu yang popular dan hit. Itulah yang akan saya lakukan malam ini,” katanya sambil mendapat tepuk sorak penonton yang hadir.

Persembahan santai malam itu dimulakan dengan lagu Endless Summer, Take This Heart, Keep Coming Back sebelum penonton dibuat dengan lagu Now And Forever.

Sebelum menyampaikan lagu Hazard, Marx sempat bercerita mengenai pengalamannya mengenai lagu yang tidak disangka akan menjadi tumpuan itu.

Penghasilan lagu itu jelas Marx bermula daripada kesukaannya dalam membaca buku yang berunsurkan penyiasatan.

Hasil daripada itu, dia terfikir untuk menyiapkan sebuah karya berunsur penyiasatan dalam masa empat minit sahaja, terhasil lagu itu.

Marx, hanya tahu lagu itu mendapat sambutan selepas karyanya itu menduduki tangga teratas di hampir kesemua carta lagu di beberapa negara.

Meneruskan persembahan dengan lagu seterusnya, Save Me, sempat Marx bercerita perihal kehidupan kini bersama dengan anak-anaknya. Baru sahaja berkahwin dengan wanita Cuba yang Daisy Fuentes, 49, Disember tahun lalu selepas setahun bercinta, perkahwinan bersama Cynthia Rhodes selama 25 tahun, berakhir pada April 2014.

Hasil perkahwinan dahulu, dia dikurniakan tiga orang anak, Brandon, 25, Lucas Marx, 23 dan Jesse, 22.

Menariknya ketiga-tiga anaknya itu mempunyai minat dalam muzik tetapi citarasa yang berbeza.

Anak sulung Marx, Brandon sekarang sudah bergelar penyanyi dan lebih ke arah muzik bergenre pop.

Lucas pula lebih minat untuk bekerja di belakang tabir seperti mencipta dan menerbitkan lagu.

Berbeza pula bagi Jesse yang lebih meminati muzik bergenre Metal. Marx sendiri hairan tetapi dia tetap menyokong ketiga-tiga orang anaknya itu.

Pada malam itu, Marx membawa kelainan dengan menyanyikan lagu Save bersama anak-anaknya menerusi visual yang sudah dirakam.

Meneruskan rentak romantis pada malam itu, Marx meneruskan persembahan dengan lagu Turn Off The Night dan Dance With My Father.

Lagu kesembilan pada malam itu mencuri tumpuan penonton yang hadir. Marx menyanyikan lagu yang dipopularkan oleh kumpulan N’Sync berjudul This I Promise You.

Lagu tersebut adalah ciptaan asal Marx sendiri dan dia sempat bercerita bagaimana kesusahan untuk merakamkan lagu tersebut.

“Ketika itu, N’Sync sangat popular dan digilai ramai remaja perempuan. Malah, kami terpaksa merakamkan lagu tersebut studio yang jauh dari kota.

“Itu pun, masih ada lebih kurang 30 orang remaja perempuan yang menanti di luar studio rakaman sehingga mereka terpaksa dibawa keluar melalui pintu belakang.

“Menariknya, saya keluar daripada pintu hadapan tanpa ada masalah. Sehinggalah saya tiba di kawasan letak kereta, seorang remaja wanita telah bertanya, adakah saya Richard Marx?

“Saya sangat teruja ketika itu dan berkata ‘ya’. Tetapi, remaja wanita itu membalas, ‘ibu saya adalah peminat setia anda.”

Cerita Marx mengundang tawa besar penonton yang hadir dan suasana itu berterusan selama satu jam. Kita dapat merasakan, ada keintiman yang tersendiri antara penyanyi lagu-lagu romantis ini dengan peminat yang menggilainya.

Selepas itu, Marx meneruskan persembahan dengan lagu Satisfied dan Just Go sebelum mengambil risiko dengan menyanyi lagi Angelia.

Lagu tersebut dinyanyikan secara unplug. Marx telah menyanyi tanpa sokongan audio termasuk mikrofon.

“Apa yang saya lakukan tadi ketika menyanyi lagu Angelia adalah sesuatu yang sangat berbahaya,” katanya, sekali lagi mengundang tawa.

Meneruskan persembahan, Richard tampil dengan lagu Don’t Mean Nothing dan Shoul’ve Known Better.

Marx mengakhiri persembahan dengan hit berjudul lagu Right Here Waiting yang dinantikan kesemua penonton. Lagu terbilang yang tak pernah mati untuk dinikmati ini, tidak salah jika dianggap sebagai kisah cinta yang paling ulung antara Marx dan peminatnya. Lagu berhantu itu, menjadi pengakhiran yang paling sempurna dalam kembaranya bertemu peminat di Malaysia.

Malam itu, si pemilik suara romantis ini berjaya membuat penonton dalam suasana romantis kerana baginya, dia tahu itu yang dimahukan oleh ‘pencinta’ seorang Richard Marx di sini.- Gambar ABDUL NAZIR MOHAMED, MOHD. NAJIB MOHD. NOR dan Ihsan Fat Boys Malaysia