Hampir tiga tahun menjalin percintaan bersama pengacara Pop TV, Nabil Mahir, pelakon dan model, Nur Sarah Marie Hildebrand Asyraf Hildebrand, 27, sering diasak pertanyaan tentang jodoh. Namun, gadis berdarah kacukan Melayu dan Jerman ini tetap dengan jawapan yang sama.

Pertemuan dengan bekas Juara Gadis Muka Dua (GM2) 2013 di Kafe Thursdvys baru-baru ini memberi peluang kepada penulis menyelami perasaannya yang seakan lemas dengan persoalan yang sama.

“Ramai bertanya bila mahu berkahwin, ada ketika saya berasa letih memperkatakan tentang itu. Jawapan saya tetap sama, masih belum sampai masanya.

“Saya dan Nabil tidak mahu terburu-buru. Banyak impian dalam hidup kami yang masih belum tercapai. Tambahan pula, kami berdua baharu mula membina kerjaya. Biarlah jodoh kami hadir pada masa sesuai,” jawabnya tenang.

Mengulas lanjut, pelakon yang meningkat nama menerusi drama Jalan Singkat Ke Syurga itu mengakui cukup selesa dan senang dengan hubungannya bersama Nabil.

“Dia sangat lucu dan pandai berjenaka. Dalam masa sama, boleh dikatakan dia seorang pendengar yang baik ketika saya merasakan perlu seseorang untuk meluahkan masalah.

“Cuma, buat masa sekarang, kami agak jarang bertemu kerana jadual kerja padat serta lokasi tempat tinggal yang agak jauh antara satu sama lain. Namun, dia (Nabil) tidak pernah mendesak, malah lebih terbuka untuk bertemu apabila ada kelapangan,” katanya lagi.

Dalam pada itu, tahun ini bagaikan membawa tuah buat Sarah apabila dipilih sebagai duta produk kecantikan, Safi. Sarah memberitahu, dia amat gembira dengan peluang itu dan ingin menggunakan platform tersebut ke arah yang positif.

“Ini kali pertama saya menjadi duta untuk produk penjagaan wajah. Saya bersyukur atas peluang ini kerana kerjasama dengan Safi akan memberikan lebih pendedahan dalam industri.

“Saya akui cukup berhati-hati sebelum menerima sebarang tawaran menjadi duta kerana bukan semua produk di pasaran selamat digunakan. “Namun, saya yakin produk ini sesuai kerana bahan-bahannya tidak melibatkan unsur-unsur haiwan dan kimia. Lebih utama, Safi adalah produk halal.

“Rangkaian Safi adalah rahsia kesihatan kulit saya. Setiap hari, saya kekalkan disiplin dengan menggunakan pembersih, penyegar, pelembap dan krim pelindung jenama produk ini. Saya akui, itu adalah rahsia untuk kulit kekal sihat,” ujarnya.

Selain itu, Sarah amat mengutamakan rehat mencukupi untuk kekal sihat dan cergas. Katanya, itu adalah cabaran utama sebagai insan yang berdepan dengan jadual kerja padat.

“Tidur yang mencukupi menjadi keutamaan saya. Jika kurang rehat, tubuh saya mudah jatuh sakit. Oleh kerana itu, saya akan cuba tidur sekurang-kurangnya lima hingga enam jam sehari. Selain itu, saya makan vitamin dan suplemen tambahan untuk kekal sihat,” jelasnya.