Penerbit filem, Datuk Rafiena Ezanee Ramli, 34, menegaskan saluran mahkamah adalah jalan penyelesaian terakhir digunakan bagi menamatkan segala tuduhan yang disebarkan Didie Alias terhadapnya sebelum ini.

Kedudukan Rafiena sebagai pemilik syarikat produksi Darkwave Sdn. Bhd. (Darkwave) juga terjejas selepas segala dakwaan tidak berasas yang telah tersebar meluas sejak hujung Januari lalu.

Pun begitu, Rafiena enggan memfailkan saman malu buat sementara waktu ini. Sebaliknya Rafiena memfailkan saman menuntut penjelasan berhubung komitmen Didie yang masih belum selesai sampai ke hari ini.

Semua itu membabitkan penangguhan tugas Didie sebagai Penerbit Eksekutif Darkwave sepanjang mengendalikan projek program travelog untuk siaran stesen televisyen itu nyata telah menjejaskan reputasi Rafiena.

“Saya menyaman Didie kerana kegagalannya untuk menyempurnakan program travelog seperti mana yang dijanjikan dan bukannya kerana masalah sikapnya.

“Saya sama sekali tidak akan mencampur adukkan masalah kerja dengan peribadi. Biarlah dia nak canang keburukan saya ke merata tempat tapi dalam hal kerja, saya perlu bertegas.

“Dia juga tahu terma kerja seperti mana yang termeterai dalam kontrak. Jadi saya menuntut penjelasan daripadanya. Nak lari ke mana kalau kerja tak selesai.

“Bayaran pun awal-awal dia sudah menerimanya. Jadi saya nak tahu apa pula alasan kali ini. Kita tunggu nanti,” tegasnya.

Peguam Rafiena, Mohd. Fadly Hashim daripada Tetuan Zamri Idrus & Co. memberitahu pihaknya akan menuntut penjelasan daripada Didie selepas menyerahkan surat itu dijangka esok (20 Februari).

Pihaknya akan menanti jawapan daripada Didie selama 14 hari sebelum membuat tindakan lanjut selepas itu.

“Klien mempunyai bukti yang kukuh. Dalam hal ini, apa yang kami harapkan adalah kerjasama daripada pihak Didie,” ujar Mohd. Fadly.

Didie memuat naik gambar seorang kru produksi yang sedang mendapatkan rawatan di hospital dalam akaun Instagram (IG) miliknya pada 21 Januari lalu.

Kapsyen gambar IG yang diletakkan Didie itu dikatakan menjadi punca kepada permasalahan yang timbul apabila Rafiena merasakan dia seolah-olah dirinya ditikam belakang oleh Didie.

Didie dikatakan telah mempertikaikan kewibawaan Darkwave yang dikatakan tidak menjaga kebajikan pekerja yang sedang sakit. Secara tidak langsung, Rafiena turut didakwa lepas tangan.

Rafiena turut membalas komen dalam IG yang sama.

Bermulalah cerita-cerita yang kurang senang membabitkan Darkwave dan sampai ke telinga Rafiena. Didie dikatakan dalang kepada permasalahan tersebut.

Media tempatan turut membuat liputan kepada perang dingin antara Didie-Rafiena.

Rafiena memfailkan surat saman.