Siti Saleha dan pasangannya, Lutfi.

Rasanya baru setahun lalu Siti Saleha Mohd. Baharom, 27, atau Saleha menyulam kasih dengan pegawai kerajaan berusia 30 tahun, yang dikenali menerusi teman rapatnya itu. Sedar tak sedar kini tinggal lima hari lagi dia bakal hidup bersama dengan lelaki berkenaan.

“Berdebar memang berdebar. Perasaannya tidak sama seperti debaran menanti pengantin lelaki dalam drama lakonan saya sebelum ini. Perasaannya sangat berbeza kali ini,” kata Saleha membuka bicara topik yang membahagiakan dalam hidupnya kini.

Pun begitu sebenarnya debaran untuk menempuh alam rumah tangga itu bermula sejak mereka mengikat tali pertunangan pada 26 November tahun lepas. Rasa cemas itu hanya muncul sejak beberapa bulan kebelakangan membabitkan persiapan hari besar mereka itu nanti.

Apapun Saleha sangat seronok menikmati manisnya alam pertunangan dengan Lutfi, lelaki yang bijak membuaikan perasaan wanitanya. Banyak sisi yang menarik dalam sifat peribadi lelaki berkenaan yang dikagumi sepanjang tempoh bertunang.

Demi mencari persefahaman antara dua hati, Saleha tidak pernah berputus asa menyemai benih bunga cinta agar semakin harum semerbak sementara menanti ketibaan hari bersejarah mereka.

Demi menjaga rasa cinta yang berbunga riang itu, seboleh-bolehnya Saleha mencuba untuk mengehadkan pertemuan secara empat mata dengan Lutfi pada minggu-minggu terakhir sebelum mereka disatukan.

Bukannya apa, Saleha hanya mahu majlis ijab kabul yang cukup bersejarah buat mereka yang diadakan di Bukit Kiara, Kuala Lumpur itu mengukir satu momen yang lebih bermakna dan menyeronokkan.

“Ada orang tua menasihati kami agar tidak kerap bertemu pada minggu-minggu terakhir sebelum bernikah. Kena berpantang nak menjaga seri muka bakal pengantin perempuan dan menghindari perkara-perkara yang tidak elok berlaku, saya ikut.

“Tak apa bukan kalau kita ikut perkara yang baik. Untuk diri kita juga bukan orang lain. Jadi kami kurangkan pertemuan menjelang hari besar kami. Biarlah menanggung rindu sikit untuk beberapa hari.

“Nanti apabila sudah berkahwin, kita juga akan duduk bersama. Jadi apa salahnya kalau kita ‘berpantang’ sikit. Lainlah kalau ada hal-hal yang tidak boleh dielakkan, kami kena berjumpa juga, yang itu tak boleh buat apa-apa.

“Tapi jangan jumpa lama-lama. Nanti hilang seri wajah bakal pengantin, siapa pula yang nak bertanggungjawab selepas itu,” seloroh Saleha diikuti gelak ketawa manja.

 

Selesakan keluarga

Demi memastikan majlis pernikahan dan tiga majlis resepsinya yang berlangsung di sekitar ibu kota berjalan lancar, Saleha menggunakan khidmat perunding perkahwinan untuk melancarkan semua perancangan dilakukan. 

Sementelah enggan menyusahkan keluarga kedua-dua pihak untuk mempersiapkan urusan perkahwinan mereka, keputusan untuk melantik orang luar bagi mengendalikan kesemua majlis berkenaan adalah tepat.

Ini kerana seboleh-bolehnya Saleha mahu setiap tenaga anggota keluarga yang terlibat tidak dikerah sepenuhnya bagi menjayakan majlis perkahwinannya itu.

“Tak adil kalau saya mengambil kesempatan dengan bergantung harap kepada mereka untuk membantu saya sepenuhnya. Kalau sikit-sikit itu bolehlah, tapi kena ada hadnya bukan.

“Sebab itulah saya menyerahkan segala-galanya urusan perjalanan majlis dengan melantik perancang perkahwinan. Dia yang akan membantu urusan majlis dan berkaitan tetamu yang hadir.

“Saya mahu semua anggota keluarga saya selesa pada hari itu. Mereka boleh santai-santai melayan tetamu yang hadir tanpa terbabit dengan bebanan tugasan,” ujarnya.

 

Bayangan majlis resepsi Saleha

Resam bergelar selebriti popular, lazimnya ada sahaja pihak yang berlapang dada menawarkan penajaan untuk menampung majlis pernikahan dan persandingan sedia ada bagaimanapun tidak buat Saleha.

Menegaskan perkahwinan yang ditaja bukan fokus utamanya malah Saleha sanggup mengeluarkan sejumlah wang simpanannya sendiri untuk meraikan detik bersejarah dia bersama Lutfi kesayangan.

Mengakui hanya menerima penajaan yang perlu bekerjasama dengannya satu masa dulu, cara itu bagi memastikan tiada masalah komunikasi yang berlaku membabitkan pihak Saleha berbangkit satu masa nanti.

“Saya hanya mendapatkan dua penajaan saja daripada pihak yang pernah terbabit dengan saya sebelum ini. Satu adalah syarikat minuman berasaskan kopi yang akan membuka gerai mereka di majlis resepsi nanti.

“Satu lagi adalah barangan asas harian yang diletakkan dalam dulang hantaran. Itu pun pemberian daripada pihak yang pernah menggunakan khidmat saya sebagai duta jenama syarikat mereka satu masa dulu.

“Saya ambil atas dasar keselesaan dan persefahaman yang dibina selepas bekerjasama dalam projek terdahulu,” kata Saleha yang mengakui tidak mencari penaja dan menawarkan penajaan kepada orang luar.