Label humor bagaikan sudah sebati, seolah-olah ada ‘cap mohor’ dalam dirinya dek lawak spontan yang tidak dibuat-buat. Tak hairanlah jika ramai menyenangi pengacara, pelakon dan pelawak kelahiran Kuala Lumpur ini.

Pun begitu dalam senda gurau juga, dia tetap memberikan sepenuh perhatian sepanjang temu bual berlangsung biarpun sesekali suara serta aksinya boleh membuatkan kami ketawa berdekah-dekah.

Popular dengan nama pentasnya sebagai Sherry Alhadad, bagaimanapun memendam perasaan yang dia ingin sekali memegang watak yang lebih serius, sekali gus dapat lari daripada peranan skeptikal yang acap kali disajikan kepada penonton.

“Sebagai pelakon, tentu sekali saya mengimpikan watak yang berbeza daripada yang biasa dilakonkan. Selalu dapat karakter lucu pun boleh buat orang jelak menonton.

“Diberi peluang membawakan watak serius adalah benda yang paling saya inginkan ketika ini. Secara tak langsung boleh mewarnakan profil peribadi bila satu hari nanti ada produksi berminat nak tawarkan kerja.

“Saya sukakan sesuatu yang mencabar kebolehan diri. Kalau boleh dapat watak yang perlukan emosi serta rentan, memang nak sangat. Tapi buat masa ini saya lebih banyak dapat tawaran watak-watak komedi sahaja,” ujarnya.

Sengaja bertanya, apakah dia tidak gusar jika satu hari nanti diberi mandat membawa watak serius namun kurang memberi impak proaktif kepada kerjayanya, bagaimana?

Wanita besar tetapi berketrampilan menarik itu bagaimanapun sedar dengan tanggapan sesetengah penonton yang mungkin tidak dapat menerima hakikat andai seorang yang bergelar pelawak cuba lari daripada karakter sebenar.

“Saya pernah terbaca di Twitter yang mengatakan kalau saya bawa watak serius pun akan tetap nampak kelakar juga.

“Kadangkala situasi begitu buatkan pengarah mungkin rasa takut dan kurang kepercayaan kepada pelawak untuk bawa watak serius. Walhal secara lahiriahnya, saya memang sentiasa bersedia.

“Mungkin jurang pelawak itu sudah termaktub di situ sahaja hingga tak boleh nak rasa bawa watak berlainan. Kalau ada yang berminat nak bagi watak lain daripada yang lain, mengapa perlu ditolak,” tuturnya yakin.

Kaut peluang yang ada

Satu hal yang perlu dipuji tentang Sherry ialah sikapnya yang tidak sombong dalam menerima mana-mana tawaran berlakon biarpun sekadar tampil dalam beberapa babak sahaja.

Itulah yang terbukti melalui filem terbaharu berjudul My Stupid Boss, produksi Indonesia. Hanya diberikan tiga babak, sudah mampu menjadikan Sherry bangga kerana naskhah emas ini bukan sesuatu yang boleh dipandang enteng.

“Filem ini melibatkan nama-nama besar seperti Bunga Citra Lestari, Reza Rahadian serta pelakon Malaysia seperti Bront Palare dan Chew Kin Wah.

“Pada asalnya, saya tidak membayangkan filem ini begitu besar, sebaik sahaja sampai di lokasi penggambaran yang dilakukan di Kuala Lumpur, persepsi saya terus melayang.

“Saya berterima kasih pada Bront kerana dialah yang menelefon saya untuk berlakon bersama sebab ketika itu mereka sedang mencari seorang pelakon yang sesuai dengan watak Azizah,” katanya.

Saat ditanya apakah dia tidak gusar jika ramai yang menganggap dia seperti tidak laku hingga sanggup menerima apa sahaja tawaran lakonan tanpa berfikir panjang? Pantas sahaja persoalan itu ditepis dan menganggap itu adalah rezeki dan sesuatu yang mampu berikan pulangan kepada kerjayanya kelak.

“Walau hanya satu atau dua babak sahaja, kita kena gunakan sebaik mungkin. Dan kenalah berjaya hidupkan watak tersebut. Kena fikir semula mengapa pengarah memilih kita dalam beratus pelakon yang ada di sini.

“Ya betul, ramai yang cakap saya sering dapat watak orang gaji. Tapi saya okey sahaja, malah tak pernah rasa bosan dengan watak tersebut. Saya percaya kalau watak orang gaji itu kita mampu jayakan dengan berkesan dan boleh buatkan orang ingat sampai bila-bila, itu maksudnya kita dah berjaya,” kata pelakon Cinta 100 Kg ini.

Sepanjang bulan Mei ini jadual Sherry sudah dipenuhi dengan jadual penggambaran.

Bakat jadi ukuran

Bertubuh gempal seakan sudah membuatkan wanita berusia 32 tahun itu mangli dengan omongan liar. Ini sekali gus membuang jauh-jauh telahan individu yang kurang mempercayai jika golongan seperti itu mampu memecahkan tembok industri seni kreatif.

Pemegang Ijazah Seni Persembahan Teater dari Akademi Seni Budaya dan Warisan Kebangsaan (ASWARA) ini lebih selesa memilih jalan positif dengan tidak menghiraukan kata-kata sinis berkenaan.

“Saya mula bergelumang dalam bidang lakonan ketika membintangi drama Sutun 2 sedekad yang lalu. Waktu itu saya baru berusia 22 tahun dan orang kata masih merangkak mencari tempat selesa.

“Lepas itu saya lebih aktif di dalam teater dan hanya mula berjinak-jinak dalam bidang komersial sekitar 2013. Bila diberi peluang ke komersial, sudah tentulah kita terima dengan hati terbuka.

“Dulu saya selalu berkira-kira apakah keputusan yang dibuat itu tepat selepas memikirkan penerimaan penonton yang lebih cenderung melihat rupa yang lebih cantik dan bertubuh kurus.

“Tapi bila kita sendiri dah buktikan kepada semua bahawa sikap diskriminasi itu tidak patut wujud, barulah semakin ramai yang membuka mata dan mula menilai dari segi bakat berbanding fizikal,” tegasnya.

Katanya lagi, tidak semua yang indah perlu dipertontonkan kepada khalayak jika kualiti kurang ‘menangkap’ jiwa audiens.

“Saya bukanlah jenis yang perlu mengurungkan diri dalam bilik semata-mata untuk menghayati karakter. Setiap orang ada cara tersendiri untuk menghidupkan karakter dan saya lebih suka menggunakan logik akal.

“Setiap pelakon punya perbezaan cara kerja. Bagi saya, walau sekecil-kecil watak sekali pun diterima, perlu bagi saya untuk yakinkan pengarah dan audiens kalau bakat itu adalah segala-galanya,” ungkapnya.
-Gambar NOOR AZLINA JAAFAR