Lekas sahaja gosip percintaan akan muncul dan yang terbaru, Ruhainies dikatakan menjalin hubungan cinta dengan pelakon baru, Asyraf Ali selepas digandingkan bersama dalam sebuah drama berjudul Jejak Karmila di TV3.

Melihat kepada rekod Ruhainies sebelum ini, sebelum Asyraf, dia juga pernah dikaitkan dengan pelakon Azrel Ismail yang menjadi pasangannya dalam drama. Kemudiannya tiba-tiba sahaja nama suami Adira, Datuk Red muncul menghimpit nama Ruhainies dalam kontroversi cinta bertepuk sebelah tangan. Kononnya dia dikatakan nyaris bakal bermadu dengan artis itu apatah lagi Datuk Red mengaku tidak menolak kalau berjodohan.

Pantas sahaja dicop sebagai artis playgirl walau dia telah hadir dengan penjelasan sendiri, Ruhainies bagaimanapun enggan ada yang tersalah faham mengenai segala spekulasi yang timbul terutama dalam hal hubungannya dengan Asyraf kali ini

Menepis dakwaan bahawa dia bercinta dengan jejaka berkenaan, kata pelakon berusia 25 tahun ini, hubungannya dengan Asyraf tidak lebih dari sekadar kawan dan itu adalah hakikat jujur yang datang daripadanya meski akan ada orang menganggap ia sebuah kenyataan yang klise.

“Dia pendatang baru dan kami banyak digandingkan bersama dalam drama berkenaan. Memandangkan di lokasi ramai pelakon lebih senior dan dia pula merasa segan, dia lebih selesa untuk berkawan dengan saya sebab saya seorang pelakon muda di set.

“Bukan dia tak nak bercampur, dia bertegur sapa dengan semua orang di set namun dari segi siapa yang dia lebih rapat, saya adalah orang yang rapat dengannya di set. Sebab itulah kami nampak macam mesra tetapi itu tidak bermaksud kami bercinta,”katanya bersungguh.

Sedar bahawa dia sering dikaitkan dengan pasangan hero dalam drama atau telemovie yang dilakonkan, Ruhainies tahu ada yang melihat dia seakan mudah bertukar-tukar pasangan sementelah sering dikaitkan dengan lelaki dalam senggang waktu yang terdekat.

Namun, jauh di sudut hati, itu bukanlah kemahuannya kerana dia menganggap dirinya tiada daya untuk menolak sebarang gosip atau kontroversi yang timbul.

“Sudah-sudahlah pasal Datuk Red tu, saya pun dah tak nak sentuh dah, itu cerita lama. Tetapi kalau bab dikaitkan dengan pelakon gandingan, saya akan jawab, Saya akui rapat dengan nama-nama yang dikaitkan kerana saya ikhlas berkawan dengan mereka.

“Meski penggambaran sudah habis sekali pun, saya tidak akan mudah membuang kawan kerana bagi saya, baik Azrel atau Asyraf, mereka ini kategori kawan yang baik dan sangat budiman.

“Mereka banyak bantu saya di set. Saya pula jenis tidak akan memandu sendirian kalau pulang lewat dari set dan sementara menunggu ibu bapa saya datang ambil, mereka jenis kawan yang akan tunggu sampailah saya selamat bersama dengan ibu bapa.

“Saya bersyukur kerana ada kawan yang begini. Kalau bukan saya sekali pun, mereka akan bantu krew yang lain juga, cuma disebabkan mereka itu bukan artis, maka cerita tak timbul,” katanya.

Bukan pikat

Berkongsi lanjut mengenai isu, Ruhainies juga enggan ada yang hadir dengan spekulasi bahawa dia sengaja memberi harapan kepada lelaki-lelaki yang dikaitkan dan kemudian hadir dengan permainan penjelasan nafi bercinta.

Mengaku tidak pernah terfikir untuk berbuat demikian, kata Ruhainies, sebagai kawan dia tidak kisah andai Asyraf atau Azrel sendiri sengaja memuat naik gambar-gambar mereka berdua di media sosial kerana menganggap tidak ada apa-apa yang perlu disorokkan.

“Kami memang berkawan, jadi nak risau apa sebab tak salah rasanya kalau kita bergambar dengan kawan-kawan kita betul tak? Kadang-kadang saya tahu, di media sosial mereka,misalnya di Instagram, mereka ada letakkan ayat-ayat ‘pick up line’ pada gambar tersebut.

“Saya tak rasa ia menjengkelkan kerana saya tahu, biasalah kawan-kawan, kadang-kadang ada perangai ‘kaki bahan’ dan saja mengusik. Normal lah tu dan saya tak ambil hati pun,”katanya.

Dalam pada itu, Ruhainies juga seakan dapat mengagak, andai kata selepas ini dia digandingkan dengan pelakon lain untuk projek terbaru, tidak mustahil baginya dikaitkan lagi dengan isu seperti ini menyebabkan dia terpaksa menjawab perkara yang serupa supaya tidak ada pihak yang salah faham.

“Macam saya katakan, perkara macam ni, gosip, tak boleh nak halang atau elak sebab manusia ni, kalau mereka nak bercakap, mereka akan terus bercakap. Betul atau tidak belakang kira sebab spekulasi boleh datang dari pelbagai arah.

“Tapi saya harap janganlah tuduh saya ni playgirl pula sebab saya dah pun berikan penjelasan. Kadang-kadang bila timbul cerita macam ni, ia memang menduga kesabaran saya, tetapi apa yang terbaik yang boleh saya lakukan ialah cakap perkara sebenar.

“Yang penting, saya tak akan biarkan orang halang saya berkawan dengan sesiapa yang saya selesa berkawan sebab saya tahu di mana batas saya dan mereka yang nak berkawan dengan saya kenal saya orang yang bagaimana,”katanya.