Biarpun pada mulanya terbit rasa tidak puas hati dan mempertikaikan keputusan mereka namun tanpa diketahui sebenarnya banyak hikmah yang berlaku selepas itu.

Perihal yang sama berlaku kepada pemain dram kumpulan Pop Shuvit, Azlan Rudy atau Rudy sewaktu bapa, Abdul Malik Rahman, 67, memintanya mengikuti kursus perakaunan selepas tamat peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).

Biarpun pilihan utamanya adalah bidang komunikasi namun demi menghormati keputusan bapa, Rudy akur dalam perkara tersebut.

Selepas tamat pengajian A Level di sebuah Kolej Sunway (kini dikenali sebagai Universiti Sunway) Rudy mengikuti pengajian dalam bidang perakaunan dan kewangan di Kolej Universiti Damansara Utama (KDU), Petaling Jaya, Selangor.

“Saya hanya dimaklumkan oleh bapa tentang jaminan masa depan jika saya mengambil kursus perakaunan berbanding kursus-kursus lain.

“Mungkin bapa pada waktu itu adalah seorang akauntan sebab itu dia mahu anak sulungnya itu mengikut jejak langkah sepertinya.

“Sebenarnya cara bapa mendidik saya dengan dua lagi adik juga berbeza. Kalau mereka bersekolah biasa tapi saya ditempatkan di sekolah lelaki saja.

“Barangkali bapa mahu saya lebih tanggungjawab dan menjadi contoh kepada adik-adik,” kata bekas pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (Lelaki) Bukit Bintang, Petaling Jaya, Selangor.

Atas doa bapa dan kelayakan sedia ada, Rudy yang kini berusia 38 tahun bekerja sebagai akauntan di IBM Malaysia Sdn. Bhd. (IBM Malaysia) ketika berusia 23 tahun

Dek kesungguhan kerjanya juga, Rudy kemudiannya dinaikkan pangkat menjadi pengurus projek selepas bekerja selama tujuh tahun di syarikat teknologi, komunikasi dan maklumat (ICT) itu.

Lebih membanggakan lagi, jawatan itu diterima selepas bekerja setahun di New York, Amerika Syarikat (AS) sekitar 2007.

Pada ketika itu, barulah Rudy percaya bahawa sebenarnya kejayaan yang diperoleh itu merupakan berkat doa daripada orang tuanya selama ini.

Kedudukan yang diperoleh pada waktu itu membuka mata Rudy bahawa kepentingan restu daripada orang tua yang penting dalam pembangunan kerjaya seorang anak. “Semasa saya bekerja di IBM itu barulah saya tahu mengapa bapa saya beria-ia mahu saya mengikut jejak langkah sepertinya,” ujarnya yang berkhidmat selama 13 tahun di syarikat tersebut.

Jadi penyanyi

SEBELUM meminati instrumen dram, anak kelahiran Petaling Jaya ini merupakan vokalis kumpulan Spiral Distortion ketika di Sekolah Menengah Kebangsaan (Lelaki) Bukit Bintang.

Bersama-sama Moots! yang juga anggota kumpulan Pop Shuvit dan dua lagi rakannya iaitu Paul dan Edwin, mereka kerap mengadakan persembahan di sekolah.

Antara kenangan yang tidak dilupakan sewaktu dia dan kumpulan tersebut membuat persembahan di Pusat Sivik, Petaling Jaya (kini dikenali Dewan Sivik).

“Kami membawakan lagu popular kumpulan Queen, We Will Rock You. Tapi persembahan kami langsung tak rock.

“Boleh dikatakan malam itu adalah malam paling teruk buat kami. Tapi selepas kejadian itu, saya belajar bermain dram dengan betul.

“Memandangkan pada waktu itu sumber kewangan tidak berapa kukuh, saya cuma belajar teknik bermain dram di kelas muzik beberapa kali saja.

“Selebihnya saya berlatih sendiri atau mendengar radio sehinggalah benar-benar mahir empat tahun kemudian,” katanya yang kemudiannya menubuhkan kumpulan Pop Shuvit dengan Moots! pada 2000.

Pop Shuvit merupakan kumpulan muzik indie yang menggabungkan unsur muzik rock dan hip-hop. Selain Rudy dan Moots!, kumpulan ini turut dianggotai AJ (gitar bass), JD (gitaris) dan DJ Uno.

Mereka kerap membuat persembahan sehingga menghasilkan versi baharu lagu Jump yang pernah didendangkan oleh Kriss Kross pada awal 90-an.

Bagaimanapun impak selepas lagu itu popular, Pop Shuvit kemudiannya dikritik band tempatan yang mendakwa kumpulan itu sengaja meniru muzik kumpulan Barat, Limp Bizkit dan Linkin Park.

Lebih teruk lagi apabila Pop Shuvit dituduh sebagai kumpulan yang tidak mempunyai identiti tersendiri sehingga perlu mencedok muzik dari negara luar.

“Memang kami sungguh tertekan pada waktu itu kerana dipulau oleh band tertentu yang tidak habis-habis mengecam kumpulan kami. Tapi kami tidak berputus asa.

“Dalam diam-diam lagu Jump dendangan kami mendapat tempat dalam kalangan peminat Jepun selepas dua tahun lagu itu popular di tanah air.

“Rupa-rupanya lagu itu sangat popular dalam kalangan belia di sana. Sehinggakan ada sebuah syarikat label indie dari Jepun, S2S berminat untuk menerbitkan album kami di negara mereka.

“Sedar tak sedar, di situlah permulaan karier Pop Shuvit di negara matahari terbit,” katanya yang turut merakamkan semula album Take It & Shuvit Again untuk pasaran Jepun pada 2003.

Malah lagu Skaters’ Anthem pernah popular di ESPN sempena temasya Sukan X-Games yang diadakan di Malaysia pada 2002.

Selain dua album berkenaan, Pop Shuvit pernah merakamkan lima album termasuk Here and Now (2005), Freakshow Vol 1: Tales Of The Travelling Tunes (2007) dan The Cherry Blossom Love Affair (2011).

Terkini, Pop Shuvit bakal tampil dengan sebuah lagu single baharu yang bakal dipasarkan Januari depan.

“Kumpulan kami tidak pernah berpecah walaupun masing-masing sibuk dengan komitmen tertentu. Rahsianya satu, kami tidak pernah menjadikan perkara remeh-temeh sebagai sesuatu yang besar.

“Kesepakatan juga mudah diperoleh kerana kepercayaan terhadap kemahiran muzik masing-masing,” katanya yang turut mengusahakan sebuah studio, 2105 Productions yang merupakan pelaburan dengan anggota Pop Shuvit yang lain.

 

Keputusan besar

MENGULAS tentang komitmen sewaktu bekerja sebagai akauntan dan pemain dram pada masa yang sama, Rudy memberitahu, dia bertuah kerana majikannya pada waktu itu amat memahami kehendaknya.

Jadi tidak hairanlah sepanjang Rudy berkhidmat di situ, dia tidak tidak pernah mendapat bantahan daripada syarikat jika mendapat tawaran mengadakan persembahan.

“Kalau ada tawaran pada hari biasa, saya mengambil cuti. Boleh dikatakan cuti tahunan saya ini memang semata-mata buat Pop Shuvit.

“Apapun saya tidak pernah menyesal kerana membuat keputusan untuk berhenti di syarikat lama yang memberi banyak pengalaman membabitkan pengurusan di tempat kerja.

“Saya juga menganggap penghijrahan saya ke tempat kerja baharu ini memberi peluang kepada saya untuk mempelajari perkara baharu,” kata Rudy yang kini menyandang jawatan Ketua Pegawai Operasi, 1Malaysia for Youth (1M4U) berkuatkuasa Januari tahun lepas.

Rudy juga bersyukur kerana isteri, Intan Kartini, 35, turut menyokong keputusan yang dibuat berkenaan demi keluarga yang dibina sejak tujuh tahun lalu.

Pasangan ini dikurniakan dua cahaya matanya, Eva Lestari, 6, dan Erin Azalea, 2.