Wanita yang berasal dari Tambunan, Sabah itu menjadi antara peserta pilihan ramai termasuklah juri profesional selepas memberikan persembahan memukau dan bertenaga di Auditorium Perdana, Angkasapuri, Kuala Lumpur.

Selain membawa pulang hadiah utama wang tunai RM20,000, pakej percutian ke Korea, trofi dan sijil, Rosario turut mengungguli kategori Vokal Terbaik dan wang tunai berjumlah RM5,000.

Rosario ketika ditemui menyifatkan kemenangannya itu sebagai satu kenangan manis yang dilakar kemas dan menyimpan segunung harapan agar kemunculannya dalam industri nanti mendapat perhatian banyak pihak.

“Syukur kerana barisan juri profesional memilih saya sebagai pemenang Bintang RTM 2016. Saya anggap ini rezeki yang diberikan oleh tuhan. Sejak minggu pertama pertandingan ini bermula, saya tidak pernah mengejar gelaran juara, tetapi cukup sekadar bakat saya dipandang oleh penonton Malaysia.

“Apabila diumumkan juara, saya hanya mampu bersyukur dan lepas ini masih banyak lagi yang perlu saya pelajari daripada mereka yang lebih berpengalaman memandangkan kami semua sudah tidak terikat dengan pihak RTM.

“Kami perlu belajar berdikari. Bagaimanapun saya percaya, berkat kelas latihan yang diberikan selama 10 minggu dalam program ini, mampu membantu saya berurusan dalam industri. Saya juga sangat berharap agar penyokong yang tidak jemu hadir menonton persembahan saya setiap minggu kekal menyokong karier seni saya,” ujar wanita berusia 21 tahun itu.

Mengenai wang kemenangan yang diperoleh, Rosario bakal melaburkannya kepada single pertama sebagai percubaan pertama dalam masa terdekat.

“Saya tidak mahu menunggu lama untuk keluarkan single, kalau boleh mahu secepat mungkin keluarkan lagu. Jika ada komposer yang mahu memberikan lagu kepada saya, itu lebih seronok.

“Ini adalah masanya untuk saya cuba berusaha dengan berdiri di atas kaki sendiri dalam menaikkan populariti nama sekali gus membawa jenama Bintang RTM. Tapi kalau tiada yang mahu berikan lagu, saya akan ikhtiar cara lain, mungkin gunakan wang yang menang itu untuk buat lagu sendiri,” ujarnya yang mula menyanyi sejak usia belasan tahun.

Tambah Rosario, buat masa ini dia akan menguruskan diri sendiri tanpa bantuan pengurus atau pembantu kerana mahu menambah pengalaman selain tidak mahu membiarkan kerjayanya diuruskan orang lain buat sementara waktu ini.

“Tiada perancangan meminta bantuan sesiapa untuk jadual seni saya. Rasanya, lebih baik untuk saya melalui pengalaman seperti orang lain kerana ia sedikit sebanyak dapat juga membantu saya tentang selok-belok pengurusan artis dan berhadapan dengan pihak yang berminat kelak.

“Sudah tentu saya banyak bertanya kepada orang yang berpengalaman agar dapat menajamkan lagi pengetahuan. Saya sedar masih lagi baharu dan banyak liku serta ranjau perlu diharungi bila dah bertapak dalam industri,” katanya yang tidak menolak untuk berpindah ke Kuala Lumpur demi komitmen terhadap dunia nyanyian.

Sementelah itu, Rosario juga tidak gusar dan tidak rasa membebankan untuk sering membawa jenama Bintang RTM di mana-mana persembahan yang bakal dimeriahkannya.

“Tiada salah untuk saya sentiasa kenalkan diri ini sebagai Bintang RTM bila dah bergerak sendiri. Bukanlah bermaksud sengaja nak cari publisiti dengan cara mudah tapi ia lebih kepada mahu menaikkan program tersebut.

“Saya lahir daripada program ini dan sudah tentulah perasaan bangga itu tak akan pudar sampai bila-bila. Stesen RTM banyak melahirkan penyanyi terkenal seperti Datuk Siti Nurhaliza, Misha Omar, Dayang Nurfaizah, Liza Hanim dan ramai lagi yang berbakat yang semuanya masih lagi bertahan hingga kini.

“Saya harap rezeki saya dan peserta Bintang RTM yang lain bakal bersinar megah seperti bekas-bekas bintang kelahiran RTM sedia ada,” jelasnya.

Rosario yang menyampaikan lagu Run (Leona Lewis) dan duet bersama bekas juara Bintang RTM 2009, Ernie Zakri berjudul Beribu Sesalan mendapat sorakan gemuruh daripada penonton di dalam dewan serta barisan juri profesional iaitu yang diketuai oleh Datuk Mokhzani, Edrie Hashim, Ajai, Helen Yap dan Fauziah Latif.

Tempat kedua dimenangi oleh anak kelahiran Selangor, Nor Fazrina Mohd. Gani atau Eryn dan memperoleh wang tunai berjumlah RM 10,000, pakej percutian ke Bali, trofi dan sijil. Selain itu dia yang mendendangkan lagu Bertemu Di Kalbu dan duet bersama bekas juara Bintang RTM 2012, Aisha Safia menerusi lagu bertajuk Cinta turut memenangi kategori Persembahan Terbaik berjumlah RM 5,000.

Eeza atau Nur Shafreeza Zainal Abidin pula berpuas hati berada di posisi ketiga dan turut membawa pulang wang tunai berjumlah RM10,000 selain pakej percutian ke Jakarta, trofi dan sijil turut diberikan.

Tiga lagi finalis iaitu Idris, Hafiz dan Adib menerima hadiah saguhati wang tunai bernilai RM 1,000 dan pakej penginapan di Hotel Hard Rock selama empat hari tiga malam. - Gambar FARIZWAN HASBULLAH