Baginya bukan dia tidak bersedia untuk bercerita tentang perkara yang berlaku tetapi kalau boleh dia enggan mengeruhkan lagi keadaan.

Namun akhirnya dia akur tatkala ditanya tentang perkara itu. Menyifatkan penyingkiran daripada Hyper Act sebagai perkara biasa untuk sesebuah kumpulan namun lukanya masih ada.

“Memang saya tak mahu ulas ketika itu. Kalau boleh biarlah pihak mereka (Hyper Act) yang bercakap memandangkan itu merupakan tindakan mereka sehingga perkara ini menjadi besar.

“Orang luar boleh menilai yang berlaku. Orang luar boleh melihat yang dikatakan oleh Toi (mewakili Hyper Act) ketika itu. Jadi untuk apa saya menambahkan lagi masalah,” tegas Ronnie.

Dia yang kini bergerak solo turut menganggap penyingkirannya daripada kumpulan tersebut sebagai pembuka jalan untuknya meneruskan perjuangan dalam bidang seni. Bukan tidak sayang dengan kumpulan yang banyak menaikkan namanya tetapi tegas Ronnie ‘jodoh’ antara mereka tidak panjang dan dia perlu tabah menghadapi perkara itu sendirian.

Untungnya, dia tidak hanya diberikan kekuatan melalui sokongan moral keluarga tetapi pihak syarikat rakaman Indigital Sdn. Bhd. juga banyak membantu membentuk dirinya sebagai penyanyi solo.

“Masa disingkirkan dahulu saya hanya menerima pesanan ringkas sahaja. Saya ada tanya mereka mengapa buat macam itu kepada saya. Tapi jawapan yang diterima tak kukuh.

“Tak mengapalah, saya anggap rezeki saya dengan Hyper Act tidak panjang. Lagipun saya perlu memikirkan juga kerjaya sendiri agar tidak terus bersedih dengan penyingkiran ini,” tambah Ronnie lagi.

Jika mengikut kenyataan yang keluar sebelum ini, Ronnie dilarang oleh kumpulan tersebut untuk menyanyikan lagi lagu-lagu yang pernah dirakamkan sebelum ini.

Bagi Ronnie perkara itu tidak menjadi masalah kerana dia sendiri sudah menerima ‘lampu hijau’ daripada kumpulan berkenaan yang membenarkan dia menyanyi.

“Lagu yang saya nyanyikan dibuat bersama-sama. Kalau nak kira soal wang ringgit pun kami kongsi bersama-sama. Jadi tak ada isu besar pun tentang perkara berkenaan.

“Cuma ada dua lagu yang sudah saya rakam­kan tetapi belum lagi dihantar ke stesen radio yang tidak boleh saya nyanyikan. Mungkin mereka mahu memberikan lagu tersebut kepada penyanyi baharu nanti,” tambahnya.

MENGAKUI perjalanan seni sebagai penyanyi solo baru sahaja bermula, Ronnie menegaskan perkara berkenaan tidak menjadi masalah besar kepadanya.

Dia yang sudah berpengalaman berbelas tahun sebagai penyanyi menganggap setiap dugaan pasti ada jalan penyelesaian dan sebagai manusia biasa dia perlu menghadapinya.

“Dalam bidang ini apa sahaja boleh terjadi. Kalau nak ikutkan saya memang telah bersedia sejak mula menyertai Hyper Act lagi.

“Kalau dilihat kembali sejarah, kebanyakan kumpulan lain juga berhadapan dengan masalah begini. Jadi saya telah mempersiapkan diri saya sejak awal tentang sebarang kemungkinan.

“Cuma yang menjadi masalah bagaimana mereka disingkirkan sahaja. Mungkin cara mereka menyingkirkan saya sahaja yang kurang manis.

“Saya tak kisah kalau mereka panggil saya dan duduk semeja berbincang. Tapi perkara itu tak menjadi kenyataan dalam kes yang saya hadapi,” ungkap Ronnie satu persatu.

Enggan lagi mengungkit perkara yang telah berlaku, jelas Ronnie dia kini mahu menumpukan kepada singlenya Dikoyak Waktu ciptaan Aepul Dramaband.

“Biarlah saya bergerak sendirian dan fokus kepada kerjaya solo buat masa ini.

“Bukan sebab saya serik nak tubuh kumpulan baharu tetapi buat masa ini saya belum lagi terfikir untuk menubuhkan kumpulan lain memandangkan risikonya tetap sama,” tambah Ronnie berterus terang.

Dalam pada itu, Ronnie juga menepis dakwaan yang dia kini bermusuhan dengan Hyper Act gara-gara kes yang terjadi.

Ketika ditanya adakah dia bersedia berkongsi pentas dengan kumpulan itu pada masa akan datang, Ronnie tidak menolak.

Dia bersikap profesional dan tidak mahu menjadikan isu berkenaan sebagai punca permusuhan.

“Saya tak ada masalah untuk berkongsi pentas dan buat persembahan sekali. Tak tahulah di pihak mereka,” kata Ronnie.