Membuka cerita mengenai kepayahan tugasan pemain filem atau drama ini, pelakon kecil molek, Risteena Munim tidak ketinggalan berkongsi salah satu kesukaran yang dihadapi dalam menjayakan watak wanita gemuk menerusi drama baharu lakonannya, Gaduh Gaduh Sayang.

Mencabar! Itulah yang terbit daripada mulut Risteena atau Nur Risteena Munim Zainul Ilyas, 28, tatkala bercerita pengalamannya mengenakan sut badan dan lateks muka selama tiga hari penggambaran drama berkenaan.

“Ini kali pertama memegang watak wanita berbadan gempal. Saya perlu memakai kostum badan serta lateks pada muka selama berjam-jam bagi menjayakan watak tersebut dan sememangnya satu tugas yang begitu mencabar.

“Waktu yang paling mencabar ialah ketika penggambaran luar yang panas. Dengan keadaan saya yang memakai kostum dan cuaca yang panas membuatkan saya rimas dan pitam di lokasi.

“Mujurlah pihak produksi memahami keadaan saya dan mereka bekerja keras untuk menghabiskan penggambaran luar itu secepat mungkin supaya tidak berlaku perkara yang tidak diingini,” jelasnya.

Meskipun berdepan cabaran yang menguji mental dan fizikalnya, pelakon utama filem Girlfriend Kontrak ini tidak serik sekiranya ditawarkan watak yang lebih mencabar.

Sebaliknya Risteena menjadikan pengorbanan tersebut sebagai salah satu pengalaman manis yang akan disimpan dalam diari hidupnya sebagai anak seni.

“Walaupun menggalas cabaran berat tetap menjadi satu pengalaman manis untuk saya. Sekurang-kurangnya saya gembira kerana dapat merasai pengalaman yang tidak semua orang dapat melaluinya.

“Bagi saya, watak yang sangat berbeza dan secara tidak langsung orang akan nampak bakat saya. Yang pasti, saya tidak serik sekiranya ditawarkan watak yang mencabar selepas ini.

“Tetapi untuk watak yang memerlukan saya memakai sut badan serta menampal lateks pada wajah, cukuplah sekali saya merasainya,” ujar gadis kelahiran Pulau Pinang yang mesra disapa Ris ini.