Mengikat tali pernikahan pada 1 November lalu, Tya yang bergelar isteri kepada Asyraf Khalid iaitu anak tiri kepada Datuk Siti Nurhaliza Taruddin, mengakui cukup bahagia menjalani kehidupan seorang isteri kepada figura korporat muda itu.

Kini, rezeki selepas mendirikan rumah tangga terbuka luas apabila dia ditawarkan untuk berkongsi pentas bersama pelakon-pelakon hebat tempatan menerusi pementasan Bawang Putih Bawang Merah arahan sutradara berkaliber tinggi, Erma Fatima.

Menerusi pementasan itu, Tya membawakan dua watak berbeza iaitu Melur dan Bawang Merah. Dia yang memiliki pengalaman cukup luas dalam lakonan khususnya pementasan teater di Indonesia mengakui berlakon di bawah arahan Erma adalah cabaran baharu yang menguji kredibilitinya sebagai seorang pelakon.

“Ini adalah cubaan sulung saya dalam seni teater Malaysia. Saya beruntung kerana ditemukan dengan nama-nama besar dalam industri lakonan di negara ini.

“Berlakon di bawah arahan Erma merupakan satu pengalaman cukup berharga. Dia adalah seorang pengarah yang tegas, telus dan berterusan mencungkil kebolehan seorang pelakon menerusi tunjuk ajar dan perkongsian ilmu dimilikinya.

“Sifatnya yang amat jujur membuatkan saya sedar kelemahan yang ada dan sedia memperbaiki dari semasa ke semasa,” katanya kepada .com.

Tya berkata, berlakon dalam pementasan itu bukan perkara mudah. Ini kerana selain menggalas tanggungjawab membawa dua watak berbeza, dia turut diuji dengan kebolehan persembahan yang cukup mencabar.

“Karakter Melur dan Bawang Merah adalah dua identiti berbeza. Satu bersifat antagonis dan satu lagi protagonis. Kedua-duanya ada keistimewaan dan gaya tersendiri.

“Pada masa sama, banyak elemen perlu dipersembahkan dengan fokus yang tinggi. Antaranya, pengucapan dan hafalan dialog, blocking pentas dan sebagainya. Walaupun nampak mudah, tetapi sebenarnya cukup sukar dan mencabar,”jelasnya.

Pastinya ramai mengharapkan Tya mampu membawa kedua-dua watak itu dengan baik memandangkan dia mempunyai kebolehan untuk bertutur dalam bahasa Melayu baku dan klasik kerana latar belakangnya yang berasal dari Indonesia.

Namun, pelakon yang popular menerusi filem Garuda Superhero ini mengakui, lakonan dalam pementasan tersebut cukup mencabar, apatah lagi memerlukan pelakon melontar pengucapan jelas dalam bahasa Melayu klasik.

“Walaupun gaya pertuturan agak baku dan seakan-akan bahasa Indonesia, namun loghat yang digunakan berteraskan bahasa Melayu tempatan. Oleh itu, saya tidak ambil mudah dan sentiasa belajar khususnya menerusi tontonan filem-filem Melayu klasik di YouTube,”tambahnya.

Disoal mengenai perjalanan karier, Tya memberitahu dia mempunyai banyak perancangan yang telah disusun untuk melebarkan lagi penglibatannya dalam kerjaya seni di Indonesia dan Malaysia. Katanya, semua perancangan itu dibuat berdasarkan persetujuan suami memandangkan dia kini sudah bergelar isteri orang.

“Saya bersyukur kerana mempunyai suami yang cukup memahami. Asyraf menjadi pendorong dan tidak putus-putus menyokong penglibatan saya, sama ada dalam lakonan mahupun nyanyian,” ujarnya.

Dalam pada itu, Tya memberitahu, penglibatan seni di Indonesia masih berjalan seperti biasa, bahkan dia turut mempunyai kakak yang menguruskan kerjaya di sana.

“Selepas ini, mungkin saya akan kerap berulang alik dari Malaysia ke Indonesia bagi memenuhi tawaran lakonan atau nyanyian di kedua-dua negara,”katanya lagi. - AL FAIZAL/ FAUZI BAHARUDIN