Pernahkah anda dengar tentang SEBENARNYA.MY

Logo Kaji Selidik Pembaca

Pernahkah anda melayari portal SEBENARNYA.MY ?

Pernahkah anda dengar tentang SEBENARNYA.MY ?




Sila respon kepada soalan di atas untuk menutup skrin ini

Show result

Rentap kasi sentap

May, XPDC bergabung gegarkan pentas

may 2

LUPAKAN tentang si Mael yang sampai ke sudah tidak menjelma dalam sidang akhbar ini. Kita fokus kepada apa tujuan dan objektif sebenar sidang akbar diadakan. Ia bagi meuar-uarkan satu ‘kejadian’ besar yang bakal berlaku tidak lama lagi. Nekad menghambakan diri dalam industri muzik rock tempatan, May dan XPDC membuktikan mereka masih menjadi antara kumpulan rock legenda yang lagu-lagu dendangan mereka sentiasa menjadi halwa telinga peminat.

Popular dengan lagu-lagu malar segar seperti Sendiri dan Cintamu Mekar Di Hati, May menjadi antara barisan hadapan kumpulan rock legenda yang menjadi ikon yang membimbing kumpulan-kumpulan anak-anak muda.

Malah, XPDC yang terkenal dengan lagu-lagu seperti Semangat Yang Hilang dan Titian Perjalanan juga menjadi sandaran kepada mereka yang benar-benar mendambakan lagu rock sebagai halwa telinga.

Bakal bergabung di atas satu pentas, kedua-dua kumpulan ini menjanjikan persembahan berbeza kerana konsert ini merupakan hadiah ulang tahun tiga dekad mereka berjuang di dalam industri muzik tanah air.

Tarikh 30 April ini akan menjadi tarikh keramat buat peminat-peminat kedua-dua kumpulan rock legenda ini kerana buat julung kalinya dalam sejarah, May dan XPDC bakal tampil di atas satu pentas yang sama.

Konsert yang dibawakan oleh ARD Management ini juga, bakal membawa peminat melayari bahtera pengalaman mereka selama 30 tahun dalam industri dengan kolaborasi muzik serta aksi yang menggegarkan pentas.

Mus selaku vokalis kumpulan May menjelaskan, sebanyak 12 lagu bakal didendangkan bagi setiap kumpulan dan peminat pastinya tidak akan melepaskan peluang untuk menyaksi kedua-dua kumpulan ‘berentap’ di akhir konsert.

“Konsert ini akan berlangsung selama tiga jam dan pada akhir konsert, kedua-dua kumpulan akan berentap atau battle dengan dua hingga tiga buah lagu. Ini merupakan kali pertama kami sama-sama beraksi di atas pentas yang sama.

“Malah, kami juga menjanjikan gimik serta kejutan di awal pembukaan konsert supaya ianya akan menjadi kenangan terindah buat peminat yang selama ini menyokong May dan juga XPDC,” katanya.

Malah jelas penyanyi berusia 47 tahun ini, persediaan awal dari segi pemilihan lagu dan susunan muzik telah dilakukan kerana ini bukanlah satu konsert yang boleh diambil ringan dan sambil lewa.

“Kita mahu peminat puas dengan aksi May dan XPDC. Kami juga sudah mula melakukan persiapan khususnya latihan vokal dan muzik supaya tiada kecacatan persembahan yang akan mengecewakan peminat.

“Namun, bagi saya, bukan vokal yang menjadi taruhan sebaliknya, sekiranya peminat terhibur dengan persembahan kami, itu sudah cukup memberi kepuasan kepada kami,” katanya.

Turut senada, Amy selaku pemain dram XPDC, juga menjanjikan persembahan bertenaga dan berbeza daripada apa yang pernah disaksikan oleh peminat sebelum ini.

“Kita mahu memberi kepuasan maksima kepada peminat yang hadir membeli tiket menyaksikan persembahan yang penuh aksi dan tenaga. Malah, peminat-peminat juga pastinya sangat merindukan vokal Mael. Tunggu dan lihat,” katanya.

Apa yang lebih mengejutkan, tiket konsert ini yang berharga RM700 telah banyak dijual dan peminat dinasihatkan untuk membeli tiket awal supaya tidak terlepas menyaksikan aksi bertenaga daripada kedua-dua peminat.

Disogok soalan mengapa Johor dipilih sebagai lokasi, penganjur, Ardiana Andi Mahmud menjelaskan, banyak sejarah kumpulan rock bermula di negeri tersebut dan pastinya ramai juga peminat rock akan berkumpul mengenang kewujudan kumpulan kegemaran mereka.

Malah, bagi mempromosikan konsert ini, kedua kumpulan ini akan turun padang mengadakan siri jelajah di lokasi terpilih seperti Muah, Kluang Mall, Segamat Mall dan Pasir Gudang.

“Malah, dengan jualan tiket yang sangat memberangsangkan setakat ini, kami yakin konsert ini bakal menggegarkan Plaza Angsana nanti. Peminat boleh mendapatkan maklumat lanjut di Facebook kami, ARD Management SDN. BHD.

“Peminat juga boleh menghubungi 016-9160809 atau 072328634 untuk membeli tiket yang bermula pada harga RM30 hingga RM700 (VVIP) selain hadir membeli tiket di lokasi siri jelajah Rentap Kasi Sentap ini,” katanya.-Gambar FAISOL MUSTAFA

Lagi Artikel Hiburan
Video Pilihan