Baru-baru ini, Hits bertemu dengan tiga orang pelakon yang tidaklah berada dalam kategori baru dalam lakonan, tetapi sehingga kini terpaksa memanjat satu demi satu anak tangga untuk mendapatkan watak utama dalam karya drama mahupun filem. Farah, Azreal dan Niezam ada banyak cerita tentang isu tersebut. Pelbagai pengalaman dikongsikan untuk mereka kembali bersaing bersama artis baru hari ini, biarpun mereka sudah lebih awal bertapak dalam industri seni. Apa sekalipun yang berlaku, sekali memilih jalan seni sebagai ‘periuk nasi’, ia tidak akan mengalah dan berakhir semudah menyebut A, B mahupun C. Akan ada harga yang perlu dibayar.

Rehat demi pelajaran

Nama Farah Nabila mungkin agak asing berbanding dengan pelakon baru yang lain tetapi dia sudah memulakan kerjayanya dalam lakonan sejak 2011. Sehingga kini, baru satu sahaja tawaran yang diterimanya sebagai teraju utama menerusi drama Inikah Cinta.

Bagi gadis ini, dia tidak kisah kerjayanya agak lambat kerana dia mahu menyelesaikan dunia pelajarannya terlebih dahulu.

“Sewaktu saya memulakan kerjaya sekitar 2011, saya masih lagi belajar di kolej ketika itu. Itu yang buat saya hentikan kerjaya yang sudah dibina selama lima tahun semata-mata mahu menyelesaikan pelajaran terlebih dahulu,” katanya yang kini di sedang menyambung Ijazah Sarjana Muda Psikologi di Segi Kolej, Kuala Lumpur.

Menerima banyak tawaran untuk berlakon tetapi semuanya ditolak Farah, semata-mata mahu menamatkan pengajian. Akhir bulan Mei depan, dia akan menamatkan pengajian selama empat tahun di institusi tersebut sebelum kembali semula ke bidang seni.

Tidak kisah untuk bersaing dengan pelakon baru, Farah menyifatkan rezeki ada di mana-mana.

“Saya tidak kisah kalau terpaksa bermula dari bawah semula kerana setiap daripada kita sudah ditakdirkan rezeki masing-masing. Kalau sudah ditakdirkan bukan rezeki saya untuk memegang watak utama, buat macam mana pun saya tidak akan dapat,” jelasnya.

Semakin dikenali kini, Farah mengakui perkara itu menjadi pemangkin semangat buatnya untuk terus menyinarkan kerjayanya dalam industri.

Tidak malu ke drama

Ada yang berpendapat dunia filem mempunyai tahap eksklusif yang tersendiri berbanding lakonan di kaca televisyen. Kelas pelakon filem lebih ke hadapan, maka tidak hairan semua yang bergelar anak seni, akan meraih peluang tersebut walau dengan apa cara sekalipun.

Namun, bagi Niezam Zaidi yang sudah tujuh tahun berlakon dalam filem, dia terpaksa turun ke lokasi drama untuk menjaga periuk nasi sendiri.

“Saya dulu ada prinsip untuk menjadi seorang bintang filem. Jadi drama dan telefilem ini agak susah untuk saya ambil. Tetapi melihat kepada industri, agak sukar sebenarnya bagi seseorang pelakon untuk fokus pada filem sahaja, susah hendak cari makan,” katanya yang pernah membintangi filem Budak Pailang, Longkai dan Highland Tower.

Sambung Niezam lagi, sekitar dua tahun lalu baru dia sedar betapa sukarnya untuk terus kekal hanya dalam bidang filem. Ini membuatkan dia mengambil keputusan untuk melakukan apa sahaja, sekaligus menjamin kariernya sebagai seorang pelakon.

Masuk ke dunia drama, ini bermakna dia terpaksa bersaing dengan lebih ramai pelakon baru dan itu tidak langsung menjadi masalah besar buat dirinya.

“Saya rasa lebih ramai pelakon hadir dalam industri, ini lebih bagus. Sebab setiap orang akan bersaing dengan sehabis baik untuk menunjukkan kualiti lakonan yang terbaik yang ada dalam diri mereka,” jelasnya.

Biarpun terpaksa turun daripada filem ke drama, Niezam melihat perkara itu daripada sudut yang positif. Penonton yang lebih menyeluruh dan tidak mengira usia antara yang menjadi sebab untuk dia mengukuhkan lagi kerjaya lakonannya.

Enggan kena gosip

Azrel Ismail sebelum ini pernah mengeluh sukarnya untuk menempatkan kerjaya dalam bidang lakonan di samping pelakon baru yang lain. Tiga tahun terlibat dalam bidang seni, akhir tahun lalu barulah namanya dikenali menerusi drama Syurga Nur. Bila sudah terkenal, perlu ada cara mengekalkan nama untuk bertahan lama dalam industri dan salah satunya menurut Azrel ialah mengelak terbabit dengan sebarang gosip murahan.

“Memang benar, ada yang berpendapat gosip dapat memberi publisiti percuma kepada seseorang artis. Tetapi, bagi saya, itu semua tidak memberi jaminan langsung kepada kestabilan kerjaya,” jelasnya.

Secara peribadi, dia menganggap, terlalu banyak gosip boleh mengganggu seseorang artis. Malah, jika terpalit dengan kontroversi, mungkin produksi sendiri akan takut untuk mengambil seseorang pelakon itu. Jika ingin kekal lama adalah lebih baik seseorang itu meningkatkan mutu lakonannya berbanding mencari gosip untuk dikenali.

“Saya secara peribadi cuba mengelak untuk digosipkan tetapi kadang-kadang perkara ini berlaku tanpa kita sedar. Bila sudah terlibat dengan gosip, terpulang kepada artis itu bagaimana dia mahu menjawab dan berhadapan dengan situasi kerana itu yang akan memulihkan kembali keadaan,” katanya.

Untuk tahun ini, Azrel melihat kerjaya lakonannya semakin baik dan berharap rentak dalam dunia seni akan terus laju ke hadapan.