Itulah yang dilakukan oleh Remy Ishak kerana Maya akan mendukung watak sebagai Tun Fatimah dalam Teater Bangsawan Tun Fatimah yang bakal dipentaskan selama dua hari, bermula pada 20 Oktober dan berakhir pada 21 Oktober.

Pementasan Teater Bangsawan Tun Fatimah tidak diadakan di pentas berprestij Istana Budaya, di sini sebaliknya pementasan itu akan diadakan di Panggung Bangsawan Melaka di negeri Hang Tuah.

Menurut Remy, beliau mempunyai jawapan mengapa berani menolak tawaran berlakon drama dan travellog.

"Terus terang saya katakan di sini bahawa saya jarang benar dapat naskah seperti Tun Fatimah ini dalam drama atau filem.

"Peluang ini datang dan saya menerimanya juga kerana ramai peminat di luar sana yang mahu melihat gandingan saya dan Maya yang dikatakan serasi," kata Remy ketika ditemui usai majlis pengenalan barisan pelakon Teater Bangsawan Tun Fatimah di Istana Budaya, petang semalam.

Menurut Remy, sebagai anak kelahiran Melaka, beliau bangga untuk mendukung watak Sultan dalam teater bangsawan tersebut yang diadakan sempena sambutan ulang tahun Yang DiPertua Negeri Melaka, Tun Mohd. Khalil Yaakob yang ke-79.

Katanya, teater bangsawan berkonsepkan kepahlawanan dan sejarah yang bakal dipentaskan nanti pasti memberikan kepuasan kepada penonton walaupun diakui, tidak ramai yang cenderung untuk menonton pementasan teater.

"Bagi saya, populariti teater Natrah berjaya menarik penonton untuk menyaksikan pementasan dan rasanya tidak salah jika kita mencuba formula yang sama untuk menarik penonton ke Panggung Bangsawan Melaka.

"Saya percaya, Teater Bangsawan Tun Fatimah arahan Lokman Ghani ini  mampu menarik peminat datang untuk menyaksikan pementasan  dan kelompok peminat bukan sahaja dari negeri Melaka tetapi juga dari Johor dan Singapura," ujarnya.

Teater Bangsawan Tun Fatimah mengangkat wanita pada zaman Melaka di bawah Bendahara Tun Mutakhir sebagai srikandi.

Aktres Maya Karin diberikan peranan untuk mendukung watak Tun Fatimah dan Remy, sebagai Sultan yang 'ditipu' oleh orang kepercayaannya yang dengki terhadap Bendahara Melaka sehingga menyebabkan Sultan Melaka mengarahkan supaya seluruh keluarga Bendahara Tun Mutakhir dibunuh, kecuali Tun Fatimah.

Kata Remy, satu kelegaan baginya berlakon dalam Teater Bangsawan Tun Fatimah ialah beliau tidak dikehendaki bersilat.

"Saya jadi 'Sultan' tidak perlu bersilat. Yang akan bersilat nanti ialah Tun Fatimah. Dari perspektif peribadi saya, Maya ialah seorang pelakon yang komited dan susah nak dapat aktor seperti Maya Karin.

"Itulah sebabnya sekali lagi saya tegaskan di sini, kalau saya tidak berlakon bersama dalam Teater Bangsawan Tun Fatimah, ruginya saya kerana entah bila lagi saya dapat berkolaborasi dengan Maya," kata Remy yang sekali lagi mengulangi beliau puas bekerja bersama-sama Maya Karin dalam sesebuah produksi. - UTUSAN ONLINE