Rebecca Nur Islam 

Baru-baru ini, pelakon Rebbeca Nur Al-Islam, memuat naik sekeping gambar yang menampakkan rambutnya ketika bercuti di Jepun.

Tidak mengelak, Rebbeca mengakui yang berlaku itu adalah kesilapan sendiri dan dia belajar daripadanya.

“Sebenarnya saya pakai anak tudung sahaja sebab saya pakai baju sejuk hoodie dan itu yang menjadi penutup kepala saya.

“Pada asalnya memang tidak nampak (rambut) tetapi semasa bergambar, angin terlalu kuat hingga rambut saya terselak ke depan,” katanya.

Baginya, dia tidak terkesan dengan sebarang komen kerana tidak ada manusia yang sempurna apatah lagi dia masih baharu berhijrah.

Sentiasa positif dan tidak ambil peduli kata-kata orang adalah penekanan utama dalam kehidupan Rebbeca sendiri.

“Saya masih lagi dalam fasa berubah dan belajar. Semuanya berlaku secara perlahan-lahan dan bukan secara mengejut.

“Saya pun tidak mahu berubah menjadi baik, kemudian berubah semula kepada diri sebelum ini. Sebab itu saya lakukan perlahan-lahan supaya tidak terkejut,” jelasnya.

Mahu kembali

Empat tahun tidak aktif dalam bidang seni, Rebbeca memberitahu, dia begitu rindu dan teringin kembali berlakon.

Namun banyak perkara yang menghalang Rebbeca untuk menerima tawaran lakonan dan salah satunya adalah kerana anak-anak.

“Setiap kali saya berhajat untuk kembali berlakon, saya diberi rezeki oleh Allah untuk hamil. Itu yang menyekat waktu saya,” katanya.

Hasil perkahwinan Rebecca dengan Datuk Nor Azam Sulaiman dikurniakan empat orang anak iaitu Nor Adam Daniel, 7, Nor Anggun Raverra, 4, Nor Anggerik Renesmee, 3 dan Nor Aliff Al Raffael yang lahir pada 30 April tahun lalu.

Mengenai tawaran lakonan, jelas Rebecca, sepanjang empat tahun itu, banyak yang terpaksa ditolak kerana masa yang tidak mengizinkan.

Sebab itu katanya, tahun ini dia berhasrat untuk menerima semula tawaran lakonan apatah lagi ramai peminat yang merindui kelibatnya.

“Cuma tawaran yang diberikan akan saya nilai dahulu sebab saya sudah bertudung dan mempunyai keluarga.

“Walaupun ingin kembali ke dunia seni, keutamaan saya memang kepada suami dan anak-anak apatah lagi sekarang ini macam-macam boleh berlaku melibatkan rumah tangga.

“Jadi saya tidak ada perkara yang boleh mengganggu keharmonian rumah tangga saya,” jelasnya.

Selain itu, Rebecca juga akan lebih memilih apatah lagi sebelum ini dia selalu membawa watak seorang penggoda dan seksi.

Menurutnya, jika ada produksi tidak boleh memenuhi kehendaknya, dia akan menolak tawaran tersebut.

“Saya tidak mahu menyusahkan sesiapa. Jadi, jika saya tidak boleh beri komitmen, saya akan tolak. Lagipun saya percaya rezeki ada di mana-mana,” jelasnya.