Selebriti tampan itu akan menamatkan zaman bujangnya dengan Gabriella yang juga bekas Miss Tourism International 2011/2012, pada 29 Julai depan.
Menurut Hans, 46, dia dan Gabriella, 28, akan disatukan sebagai suami isteri di Gereja St. John Cathedral di sini sementara majlis resepsi pula akan diadakan pada sebelah malamnya di Hotel Majestic juga di ibu negara.

“Setakat ini persiapan perkahwinan berjalan lancar, lagipun Gabriella yang menentukan semuanya. Saya ikut sahaja. Cuma, sekarang kami mengha­diri kursus perkahwinan.
“Kami telah mengikat tali pertuna­ngan 29 Januari lalu di Singapura. Gabriella seme­mang­nya pilihan yang tepat dan hanya dia yang benar-benar sesuai dengan saya,” kata Hans mengumumkan majlis pernikahannya dalam sidang akhbar hari ini.

Hans mula mengenali Gabriella sejak 2011 ketika bakal isterinya itu menjadi salah seorang juri pertandingan Miss Tourism International. Kata Hans, asalnya hubungan mereka berdua saling tidak ubah seperti kawan kerana ketika itu, masing-masing mempunyai kekasih.

Bagaimanapun, sejak tahun lalu, Hans dan Gabriella menjadi semakin rapat.

“Saya tak berapa kenal dia lagipun ketika itu saya dan dia mempunyai seseorang dalam hidup. Tapi tahun demi tahun, kami mula rapat dan bersahabat baik.

“Gabriella seorang yang merendah diri dan melengkapi hidup saya. Masing-masing pernah melalui pengalaman dalam bercinta sebelum ini, jadi sedikit sebanyak mematangkan kami,” jelasnya.
Dalam pada itu, Gabriella berkata, perbezaan umur 18 tahun antara dia dan Hans tidak menjadi halangan kerana lelaki seorang yang matang dan bijak menangani apa sahaja situasi.

“Hans seorang yang sangat mudah didekati dan sentiasa bersikap positif. Kalau hendak kata romantis, boleh­la. Dia sentiasa realistik dan berfikiran logik,” ujar Gab­riella la­gi.