Biarpun sudah ditakdirkan menjadi pelakon, tiada sebarang kekesalan dalam diri Aiman sementelah rezeki berlakon mencurah-curah datang kepadanya seiring kejayaan yang diraih.

Namun bukan populariti yang menjadi galang ganti setiap titik peluh dalam dunia seni. Dia juga tidak berhasrat mengejar glamor semata-mata untuk kekal relevan.

Sebaliknya untuk kekal bertahan dalam dunia seni yang setiap hari menerima kehadiran pendatang baharu, Aiman menyedari yang dia perlu sentiasa memperbaiki diri dan meningkatkan teknik-teknik lakonan supaya lebih bervariasi.

Aiman, 28, menegaskan, dia enggan menjadi popular untuk sementara waktu sahaja tetapi mahu kekal lama dalam industri berlandaskan bakat.

“Sejujurnya sebagai pelakon kita kena variasikan diri. Kita kena pandai mengambil hati penonton yang mempunyai minat berbeza.

“Sentiasa memperbaiki diri dan juga tingkatkan ilmu. Itu penting untuk kita kekal bertahan dalam dunia ini selain mengejar populariti.

“Kerana akhirnya yang dinilai adalah bakat, bukan populariti. Kalau popular tapi ‘kosong’ pun tak guna.

“Kalau untuk jangka masa pendek, memang popular itu memberikan kita momen-momen indah. Tapi untuk jangka masa panjang, bakat dan teknik lakonan yang menjadi kayu pengukur,” katanya.

Enggan digelar sebagai pelakon yang demand, bagi Aiman, seorang pelakon seharusnya menitikberatkan aspek skrip dan produksi dalam satu pembikinan sesebuah naskhah.

Baginya hanya manusia berfikiran sempit sahaja yang akan melabel pelakon sebagai demand atau diva apabila mula memilih karya yang bakal menjadi tanda aras dalam kanvas seni mereka.

“Saya sendiri memang mementingkan skrip dan produksi serta pengarah sesebuah naskhah. Itu semua bukan sebab kita demand. Hanya orang berfikiran sempit sahaja yang cakap begitu.

“Kita kena pilih skrip untuk produk atau drama kita menjadi. Bukan semua orang kita boleh bekerja sama.

“Ada segelintir pelakon baharu tak fikir apa-apa. Kena tahu setiap karya ada impak dalam kerjaya kita.

“Saya percaya sebagai anak seni, kita kena ada sedikit diva. Kena letak nilai diri kita tinggi bukan untuk jadi sombong atau berlagak. Sebaliknya untuk kelangsungan kerjaya kita sendiri,” kata anak jati Kuala Lumpur ini lagi.

Menyambut Lebaran tahun ini secara sederhana, aktor tampan ini tidak berkesempatan untuk berehat sepanjang bulan puasa memandangkan jadualnya terikat dengan penggambaran telemovie, Kalis yang bakal ditayangkan tidak lama lagi.

“Tahun ini saya sibukkan diri memandangkan sudah dua tahun saya berehat. Raya pun saya sambut secara sederhana, sama seperti tahun-tahun lepas,” kata Aiman berkongsi sambutan Hari Raya tahun ini.

Dalam pada itu, Aiman juga mengambil peluang keberkatan Ramadan dengan melakukan kerja-kerja amal dengan menyertai kempen-kempen program tanggungjawab sosial korporat (CSR).

Kata pelakon ini, dia sentiasa mengingatkan diri bahawa status tidak seharusnya dijadikan sebagai sandaran untuk melakukan kerja-kerja amal lebih-lebih lagi di bulan penuh kemuliaan, Ramadan.

“Saya rasa meringankan beban mereka yang dalam kesusahan merupakan satu tanggungjawab yang seharusnya dipikul oleh setiap manusia. Tidak kira selebriti atau tidak.

“Kita seharusnya membudayakan konsep rantaian kasih sesama manusia. Sebelum jadi selebriti pun saya sering terlibat dengan aktiviti kebajikan namun tak perlu untuk saya tunjuk,” katanya.

Seringkali kita mendengar seorang pelakon mempunyai watak yang diidamkan. Namun tidak untuk pelakon yang mula menempa nama menerusi drama Diandra itu.

Baginya sikap dan kecenderungan sesetengah pelakon memilih watak merupakan tindakan yang merepek.

Kepada Aiman, hal yang perlu dititikberatkan adalah skrip yang baik dan elakkan diri daripada membandingkan landskap industri drama dan filem Malaysia dengan Hollywood.

“Memang ada yang ambil ringan dengan isu skrip ini. Tapi bukan saya. Kalau produk tak berkualiti, buat apa kita berlakon.

“Jujur saya cakap, skrip kita banyak yang ‘hancur’.

“Tak payah bandingkan dengan Hollywood. Tapi bukan semua skrip kita ‘hancur’. Banyak yang baik tetapi itulah, mungkin belum cukup kukuh.

“Banyak yang kita boleh perbaiki. Jangan ambil sikap asal boleh dan tidak mempunyai susun atur yang baik. Paling penting adalah sikap kita sewaktu bekerja dalam sesebuah naskhah.

“Kadang-kadang saya cuba untuk mengolah skrip mengikut cara sendiri tapi ada pula yang tidak suka. Jadi macam mana hendak menghasilkan karya yang bagus?,” katanya menyuarakan pendapat peribadi.

Berbicara tentang drama bersiri baharu pula, Aiman mengakui dia masih tercari-cari naskhah yang bersesuaian dengan dirinya dan dia perlu berbuat demikian untuk memberikan yang terbaik kepada penonton dan peminat.

“Drama setakat ini belum ada lagi. Saya pun tidak buat drama setakat ini. Masih lagi mencari.

“Memang ada rancangan untuk menjadikan telemovie, Girlfriend Dari Neraka lakonan saya dan Sharifah Sakinah sebagai drama bersiri. Tetapi dia masih berpantang kerana melahirkan anak sulung.

“Cuma sekarang saya sibuk dengan penggambaran telemovie, Kalis,” katanya.

Antara drama bersiri lakonan Aiman yang menjadi pernah menjadi bualan sebelum ini ialah Isteri Separuh Masa dan Urusan Hati Drama Queen.