VANIDAH IMRAN DAN SUAMI RASHIDI ISHAK

Pastinya, setiap mata akan melihat bagaimana rumah tangga mereka dikemudi dan jika tersilap sedikit, pasti mengundang pelbagai spekulasi.

Namun, tidak sedikit pun kata-kata negatif orang luar diambil kira oleh Rashidi Ishak dan Vanidah Imran.

Memulakan bicara dengan imbasan pertemuan dua hati ini, kongsi Rashidi, cinta mereka berputik di set penggambaran sebuah drama.

“Bila bekerja dalam sebuah drama, kami mula berkenalan dan keluar bersama-sama. Dalam proses berkawan itu, kami mengenali hati budi masing-masing. Kemudian, selepas setahun, saya mengambil keputusan untuk bernikah dengannya pada tanggal 1 Oktober 2000,” jelasnya.

Tutur Rashidi lagi, banyak sebab mengapa dia memilih untuk bernikah dengan Vanida dan salah satunya ialah kerana peribadi wanita itu sendiri.

Hati lelaki itu pada awalnya merasakan sudah tiba masa untuk berkahwin dan kebetulan, kehadiran Vanidah ketika itu dirasakan amat sesuai untuk dijadikan suri hidupnya.

Berkongsi masa dengan isterinya selama berbelas tahun, Rashidi akui tidak pernah jemu dengan alam rumah tangganya.

Malah, Rashidi sendiri merasakan wanita yang dikahwini itu semakin lama semakin cantik.

“Cantik itu datang daripada pelbagai aspek. Setiap hari, saya seperti baru kenal dengan Vanidah dan itu yang membuatkan rumah tangga kami tidak membosankan,” jelasnya.

Tambah Rashidi, Vanidah ialah seorang wanita yang sangat kuat tetapi mempunyai sisi kelembutan yang tersendiri.

Sementara itu, Vanidah pula menganggap suaminya itu sangat berbeza dengan mana-mana individu atau rakan taulannya.

“Sebagai seorang suami, dia cukup kenal dengan saya dan tahu tanggungjawabnya sebagai suami.

“Malah, tanpa dia, kemungkinan besar saya sudah lama tinggalkan dunia lakonan kerana tanggungjawab mahu menguruskan anak dan keluarga,” jelasnya.

Tambah Vanidah, dia tidak mempunyai orang gaji dan semua hal keluarga dan anak-anak diuruskan oleh Rashidi dan dirinya.

“Kadang-kadang kita sibuk dengan kerja dan Rashidi faham. Dia akan bantu saya untuk menguruskan rutin harian,” jelasnya.

Sikap itu jelas Vanidah mungkin nampak remeh bagi sesetengah orang, tetapi bererti buat wanita itu.

Dugaan melayari perkahwinan selama 15 tahun bukan sedikit malah bagi Vanidah setiap dugaan itu ibarat memberi petanda untuk menguatkan ikatan rumah tangga mereka.

“Kami bersama dah lama. Sejak zaman kami susah dahulu hinggalah kini, Alhamdulillah kehidupan semakin baik. Rashidi pernah mengalami kemalangan dan juga pembedahan paru-paru sebanyak dua kali dan perkara itu saya anggap itu sebagai dugaan.

“Setiap kali itu dugaan itu datang, ia seperti satu kesegaran untuk rumah tangga kami dan buat hubungan kami bertambah rapat,” jelasnya.

Namun, kata-kata negatif tentang pergolakan rumah tangga pasangan ini kerap diperkatakan biarpun tidak mempunyai bukti yang kukuh.

Rashidi sendiri memberitahu, dia dan Vanidah tidak pernah sesekali mengambil kisah tentang apa yang diperkatakan mengenai rumah tangga mereka.

“Masyarakat akan sentiasa bercakap macam-macam tentang hubungan kami sebagai suami isteri sedangkan mereka tidak tahu hal sebenar. Buat apa kami hendak kongsikan dengan orang ramai tentang perihal keluarga kami? Hanya kita yang perlu menyelesaikannya dengan cara terbaik,” jelasnya.

Tambahan, jelas Rashidi, jadualnya dan Vanidah kini semakin padat dan jurang masa untuk bersama itu semakin kecil.

“Bila orang lihat kami sudah jarang bersama pergi ke majlis atau sebagainya, mulalah spekulasi dibuat tanpa mengetahui hal sebenar. Rumah tangga adalah urusan peribadi setiap suami isteri. Semua yang berlaku baik positif atau negatif perlu diuruskan sebaik mungkin kedua-dua pihak. Jika ada pergolakan rumah tangga sekalipun tidak perlu untuk diceritakan sebaliknya selesaikan secara dalaman dahulu,” jelasnya.

Tambah Rashidi lagi, jika sudah parah dan perlu nasihat sekalipun, lebih baik diceritakan kepada ibu bapa.

“Jadi buat apa kami hendak dengar cakap orang tentang rumah tangga kami sedangkan kami sendiri tidak pernah berkongsi cerita buruk mengenai hal rumah tangga kami,” tuturnya jujur.