Pelakon, Emma Maembong juga tidak mahu ketinggalan membina perniagaan dengan menggunakan namanya. Dalam soal ini, Emma atau nama sebenarnya Fatimah Rohani Ismail Embong, 25, mengakui popularitinya sebagai artis sangat membantu mengembangkan perniagaan.

Namun pada masa yang sama, Emma berpendapat bahawa mereka juga perlu berusaha dan bekerja keras bagi memastikan perniagaan yang dijalankan sentiasa dikenali dan bertahan lama.

“Memang tidak boleh dinafikan kerjaya sebagai artis sedikit sebanyak membantu seseorang itu membina perniagaan.

“Seperti saya sendiri, semua produk yang saya keluarkan atas nama kerjaya saya mudah untuk dijual.

“Namun itu bukan jaminan untuk saya terus bertahan. Bagi saya, tidak kisah selebriti atau tidak, dalam berniaga perlu ada usaha kerana itu perkara yang paling penting.

“Contohnya seperti sekarang ini, terdapat banyak jenama yang popular tetapi pengasasnya bukan seorang artis. Tetapi jenama tersebut berjaya di pasaran adalah atas usaha pengasas itu sendiri.

“Sebenarnya tidak ramai yang tahu saya ada jenama tudung sendiri kerana saya tidak berusaha keras untuk mempromosikannya. Dari tiga tahun lepas, menjual tudung di Instagram.

“Tetapi saya tidak ada masa untuk mempromosikan jenama tersebut secara besar-besaran. Buat masa ini, bagi saya cukup sekadar stabil dan ada pelanggan setia.

“Jadi tidak bermakna kalau kita artis, semua barang yang kita jual orang akan tahu. Sebaliknya dalam bidang perniagaan ini, kita kena sentiasa berusaha dan rajin untuk mendapatkan hasil yang lebih serta dikenali ramai,” ujarnya yang ditemui dalam majlis pelancaran tudung Puzzles by Maembong Secrets baru-baru ini.

Bergelar pelakon dan peniaga pada masa yang sama, pelakon drama Sayang Papa Saya Tak? ini mahu memastikan masa depannya sentiasa cerah dan terjamin.

Meskipun mampu meraih pendapatan lumayan hasil lakonan, Emma tidak mahu merisikokan hidupnya. Bagi anak kelahiran Kuala Terengganu, Terengganu ini, persaingan yang sengit dalam industri seni membuatkan dia sentiasa berjaga-jaga.

Lantas bidang perniagaan menjadi pelan sandaran untuknya kekal meraih pendapatan meskipun sudah tidak aktif dalam dunia lakonan suatu hari nanti.

“Walaupun saya baru empat tahun dalam industri tetapi saya kena bersedia dari awal. Dalam hal ini, saya rasa khidmat saya dalam industri ini tidak lama. Saya sedar sekarang ini sudah terlalu ramai artis baharu yang muncul.

“Oleh itu dengan menjalankan perniagaan lebih awal, sekurang-kurangnya saya sudah ada sumber pendapatan lain selain daripada berlakon.

“Saya tidak mahu apabila sudah tua nanti, barulah saya kena fikir untuk menjalankan perniagaan. Sebaliknya saya mahu ketika itu saya sudah ada sebuah perniagaan yang stabil dan saya dapat berehat dengan keluarga.

“Semasa muda inilah saya perlu bekerja kuat. Seelok-eloknya sementara orang masih mengenali saya, ambil peluang ini untuk bekerja dan pada masa yang sama membina jenama perniagaan,” jelasnya.