Selepas dua tahun menyulam cinta dan berkongsi rindu di hati, Ramona dan Rami memutuskan untuk melanjutkan fasa perhubungan mereka itu dengan ikatan pernikahan.

Sedar yang barangkali ada sesetengah pihak menganggap dia sengaja memilih orang asing sebagai pasangannya selepas kecewa bercinta dengan jejaka Melayu, Ramona menolak andaian skeptikal begitu.

Malah katanya, dia sentiasa percaya kepada ketentuan Allah SWT dalam soal ini.

“Saya tak pernah memilih namun ini yang dikatakan jodoh, saya terima dengan hati terbuka dan saya rasa Rami bukanlah terlalu asing dengan budaya orang Malaysia terutama Melayu sebab dia sudah menetap di negara ini hampir lapan tahun.

“Kadangkala, jangan tak tahu, dia lebih Melayu daripada Melayu kita. Cuma kelemahannya, dia tidak fasih berbahasa Melayu. Dia faham dan boleh cakap sikit-sikit tetapi untuk membalas perbualan itu ambil masa untuk fasih.

“Terus terang saya sebenarnya rasa bertuah berkahwin dengan dia sebab dia orang asing yang kita tak payah nak tunjuk ajar lebih-lebih tentang budaya dan cara kita, dia sudah tahu dan faham,” katanya.

Bercerita lanjut, kata Ramona, meski masih baharu sebagai pasangan suami isteri, sebagai wanita, dia lega dan berasa lebih selamat apabila sudah bergelar isteri dan mempunyai suami kerana secara tidak langsung dapat menepis cerita-cerita kurang enak tentang dirinya.

“Lega sebab fokus saya selama ini ialah mahu halalkan hubungan kami. Tak dinafikan, kami memang saling menyintai antara satu sama lain dan hari-hari asyik jumpa, rindu dan sebagainya tapi semua itu sampai bila?

“Kami sama-sama fikir, lebih baik berkahwin daripada nak berlama-lama begini. Iyalah, bak kata orang, nak tunggu apa lagi? Alhamdulillah, sekarang sudah selamat bergelar suami isteri. Selepas ini nak pergi mana, nak mesra-mesra, nak bercinta di khalayak pun orang tak mengata. Itu lebih baik,” katanya.

Meski begitu, Ramona sedar bahawa setelah memegang status baharu itu, dia perlu bergerak seiring dengan tanggungjawab besar yang dipikul selepas selama ini sering menjadi anak kepada ibu dan ayahnya.

Mengakui banyak perkara yang perlu dipelajarinya terutama dalam usaha untuk menjadi isteri yang baik, Ramona bagaimanapun melahirkan rasa syukur kerana Rami ialah seorang lelaki yang sangat memahaminya.

“Dia tidak pernah mendesak saya untuk buat itu ini, dia sangat relaks dan memahami. Tentu sekali saya mahu menjadi seorang isteri yang baik kepadanya. Begitu juga dirinya yang mahu menjadi suami yang baik kepada saya.

“Insya-Allah semuanya akan dilakukan dengan baik. Bagi saya itu tidak akan menjadi isu sebab kami sama-sama berusaha ke arah itu. Sama-sama belajar dan jadikan rumah tangga kami bahagia,” katanya.

Sudah memulakan kehidupan baharu di kediaman sendiri di Ara Damansara, Kuala Lumpur, kata Ramona, dia juga sebenarnya tidak menyangka berkahwin pada usia 25 tahun memandangkan sebelum ini, hatinya kuat menyasarkan untuk mendirikan rumah tangga ketika usia mencecah 28 tahun.

Meletakkan sasaran itu sejak kecil, kata anak sulung daripada dua beradik ini, dia bagaimanapun tidak pula bimbang seandainya ada yang menganggap dia terlalu muda untuk mengharungi kehidupan sebagai seorang isteri.

“Entahlah, saya rasa kahwin itu, kalau kita tak rasa, memang tak akan terjadi. Dulu-dulu, masa saya bercinta dengan bekas-bekas kekasih, tak pernah rasa macam ini. Sekarang, segala-galanya dipermudahkan Tuhan.

“Alhamdulillah, barangkali inilah jodoh sebenar. Saya tak rasa kekok atau terganggu dengan hubungan ini. Saya pun tak sangka akan kahwin pada usia 25 tahun," katanya.

Berkongsi tentang Rumi, Ramona memberitahu, suaminya itu adalah seorang yang menyenangkan dan tidak banyak kerenah.

Tdak seperti kebanyakan lelaki yang dikenalinya sebelum ini, kata Ramona, Rami yang kerap kali diusik dengan panggilan nama Ramli oleh teman-temannya, berkongsi rasa yang sama apabila bercakap soal kepercayaan dalam hubungan.

Ramona 
di mata Rami

Berusia 28 tahun, Rami yang berkhidmat dalam sektor pemasaran di sebuah syarikat swasta di ibu kota mengaku bahawa kualiti yang ada dalam diri Ramona menjadikan dia amat mengagumi wanita ini.

Menurut Rami, mengenali Ramona adalah satu kesyukuran buatnya kerana Ramona adalah wanita yang terbaik di matanya.

“Tentu sekali ada faktor lain tetapi bagi saya, yang menyebabkan saya jatuh hati ialah sikapnya yang peramah dan berdikari.

“Selain cantik di mata saya, dia adalah seorang wanita yang kuat. Ini adalah ciri yang saya mahukan dalam seseorang wanita untuk menjadi isteri saya,” katanya.

Kadangkala cuba bertutur dalam bahasa Melayu, kata Rami, selepas berkahwin, dia sedar, sudah menjadi satu kelaziman apabila orang bertanya mengenai perancangan anak.

Bagi lelaki ini, dia dan Ramona tidak mahu terburu-buru dalam perkara tersebut dan mahu menikmati kehidupan berdua sebagai suami isteri terlebih dahulu.

Pun begitu, dia tidak menolak seandainya rezeki untuk menimang cahaya mata tiba lebih awal meski mereka merancang untuk menangguhkannya dahulu.