Kata Siti Hafiza, tuduhan warganet sepanjang kontroversi berlaku terlalu berat sehingga ada yang sanggup mengkafirkan mereka sekeluarga.

“Sudah ramai yang mengkafirkan kami dan bercakap tentang keluarga kami namun sebagai ibu dan ayah kami reda.

“Cukup-cukuplah warganet atau sesiapa sahaja memburukkan kami. Kami tahu dan reda kerana itu ujian Allah buat kami sekeluarga,” ujarnya kepada Utusan Online.

SITI HAFIZA reda dengan ujian yang terjadi pada mereka sekeluarga. - UTUSAN ONLINE
SITI HAFIZA reda dengan ujian yang terjadi pada mereka sekeluarga. - UTUSAN ONLINE 

Mengulas penjelasan suaminya, Aziz Sapdan semalam yang mereka sekeluarga tenang sahaja dengan perbuatan Aliff tersebut, kata Siti Hafiza apa yang dimaksudkan suaminya itu bukan bermakna mereka menyokong perbuatan Aliff.

“Suami saya seorang yang sangat bai. Dia tidak sangka percakapannya itu akan mengundang kecaman. Sebagai ayah, dia tidak berniat untuk menyokong perlakuan anaknya itu.

“Saya dan suami minta sangat-sangat cukuplah mengecam kami. Kami ini insan biasa tapi sebagai ibu dan ayah sudah tentu tidak akan menyokong perbuatan yang tidak baik.

“Tidak sama sekali, walaupun itu anak kandung kami sendiri. Namun ia juga tidak bermakna yang kami tidak memberi pendidikan yang sempurna kepada anak-anak,” katanya.

Jelas Siti Hafiza lagi, setiap ibu pasti memberikan didikan yang terbaik buat anak mereka semenjak dari kecil dengan penuh kasih sayang.

“Anak-anak mula berhadapan dengan cabaran apabila melangkah ke alam dewasa.

“Namun tidak semestinya seorang insan itu akan buruk selamanya. Jika Allah mengkehendaki mungkin dia akan berubah menjadi yang lebih baik. “ujarnya.

Selasa lepas tular dalam media sosial pendedahan tentang kecurangan terbaharu membabitkan pelakon Aliff Aziz dengan seorang gadis Tiktok yang menggunakan nama Nismell.

Kes curang Aliff Aziz ini adalah yang ketiga sepanjang dia berkahwin dengan Bella Astillah. Pertama kali berlaku membabitkan pelakon Afifah Nasir pada 2017 dan kejadian kedua berlaku Februari lalu melibatkan pelakon Oktavia Manrose. – UTUSAN ONLINE