Yang hanya ada spekulasi bertebaran yang mengatakan mereka sudah pun putus. Bagaimanapun dalam hal tersebut, penyanyi lagu Tak Mungkin Berpaling ini mengambil pendekatan selamat.

Vokalis kumpulan Slam ini dilihat tidak mahu membuka mulut mengulas kesahihan khabar angin yang kisah cintanya itu sudah berakhir.

“(Saya) tak nak cakap pasal itu. Doakan yang baik-baik saja,” kata lelaki berusia 48 tahun ini minta dimengerti apabila isu peribadinya itu dibangkitkan.

Pun begitu, Zamani mengakui dia menerima banyak lamaran cinta daripada wanita dalam laman sosial sejak kebelakangan ini. Rata-ratanya mahu menawarkan diri untuk menjadi kekasihnya.

Kesemua lamaran itu dihantar menerusi kiriman mesej dalam akaun Instagram miliknya dan ditapis terlebih dahulu oleh pengurus, Alan Ahmad.

Tidak pernah berbangga sebaliknya penyanyi lagu Kurnia ini menyifatkan situasi itu perkara biasa dalam hidup artis yang sedang mencipta nama.

“Jika diikutkan setiap artis pasti berdepan dengan situasi peminat ajak bercinta atau berkahwin. Tapi saya tak pernah ambil serius dengan hajat mereka itu. Entah betul-betul ikhlas atau tidak.

“Tak adalah saya nak berbangga dalam hal ini. Nanti saya dikata perasan pula. Cuma dalam soal jodoh ini, kalau tak ada, tak mengapa membujang sampai ke tua,” katanya lagi.

Zamani pernah membuat pengakuan untuk mendirikan rumah tangga dengan seorang wanita yang sudah dikenali sejak lebih lima tahun lalu. Bagaimanapun hasrat tersebut dipendamkan kerana fokus utamanya untuk membuat rawatan sakit belakang yang dihadapi beberapa tahun kebelakangan ini.

Doa jodoh

BERCAKAP tentang jodoh, Zamani memberitahu dia akan memanjatkan doa berkenaan ketika menunaikan umrah di Tanah Suci Mekah pada November ini.

Kesempatan kali pertama dalam hidupnya itu akan dimanfaatkan untuk berdoa agar dia dapat bekerja dalam keadaan sihat sepanjang masa. Begitu juga doa buat kedua-dua arwah orang tuanya yang sudah kembali ke rahmatullah.

“Sebenarnya saya agak teruja untuk ke sana. Saya nak berdoa banyak-banyak agar segala kebaikan kembali kepada saya. Doa itu bukan bertumpu pada soal jodoh semata-mata tetapi untuk kemaslahatan diri.

“Saya juga akan membawa seorang anak tahfiz bersama-sama ke sana. Ini soal amal jariah, mana tahu ada keberkatan terjadi dalam hidup saya selepas ini,” katanya.

Selepas selesai menunaikan ibadah berkenaan, penyanyi lagu Syair Si Pari-Pari ini merancang untuk bercuti panjang. Keputusan itu dibuat selepas terbabit dengan jadual kerjayanya agak padat sejak tahun lalu.

Mengulas dakwaan dirinya yang dikatakan semakin memilih tawaran kerja, Zamani lebih mementingkan nilai persahabatan berbanding jumlah bayaran diterima.

“Kalau nak cakap saya diva atau memilih bayaran yang lebih banyak, itu tidak betul. Saya jenis yang fleksibel. Kalau tawaran itu datangnya daripada kawan-kawan, pasti saya akan beri keutamaan.

“Mereka inilah yang sentiasa berada di belakang sewaktu saya susah satu masa dulu,” ujarnya.