Itulah cabaran buat Finalis Mister Planet Nation Malaysia (MPM) 2018, Raff atau nama sebenarnya Asyraf Roslee yang memilih untuk menceburi dunia hiburan dan menjadikannya sebagai karier.

Walau bagaimanapun, graduan Universiti Teknologi Mara (UiTM) Kampus Samarahan, Sarawak itu juga sedar akan penat lelah sebagai anak seni dan bersedia untuk mengharunginya.

“Saya tidak meletak harapan tinggi dalam dunia seni, namun menjadikannya sebagai pilihan kerana minat dalam dunia lakonan,” katanya kepada S2.

Sebagai persediaan dalam dunia hiburan, anak kelahiran Bumi Kenyalang itu juga sudah membina asas lakonan dengan menceburi dunia teater.

Malah, beliau juga akui belum cukup berani untuk melangkah dalam dunia hiburan sebelum menyertai MPM 2018.

“Saya menyambung pengajian di UiTM dalam bidang pembinaan bangunan. Ia merupakan lapangan yang berbeza dengan apa dilakukan sekarang.

“Namun minat terhadap dunia lakonan menyebabkan saya menyertai kumpulan teater di kampus. Ia menjadi platform untuk saya membina asas dalam bidang lakonan,” tuturnya.

Meskipun sudah mempunyai pengalaman berlakon di pentas teater, namun Raff tetap tidak memandang enteng terhadap cabang seni itu.

Beliau akui, belum cukup berani untuk berlakon sehinggalah membuat keputusan untuk menyertai MPM 2018 dan menjadikannya sebagai batu loncatan dalam dunia seni.

“Bukan saya tidak mahu memilih kerjaya yang sesuai dengan pengajian saya. Setakat ini, saya belum nampak peluang ke arah itu.

“Jadi, saya melihat lakonan sebagai salah satu pilihan dengan menjadikan MPM 2018 sebagai batu loncatan.

“Justeru, saya bersyukur apabila berjaya memecah rasa takut dengan membintangi filem Ratu Kala Jengking: Puteri Keranda terbitan A.Aida Production,” ujarnya.

Filem itu menjadi penggambaran sulungnya dalam bidang lakonan. Sebelum itu, beliau turut memberanikan diri menjadi pelakon tambahan dan iklan komersial di televisyen tempatan.

Selain membina keyakinan diri, Raff juga menjadikan beberapa pelakon ternama lain sebagai inspirasi baginya untuk terus berjaya.

“Saya gemar membaca buku bergenre bibliografi. Saya juga menjadikan seorang pelakon Hollywood sebagai idola sehingga sekarang iaitu Sylverster Stallone.

“Beliau yang terkenal dengan karakter Rambo itu mengharungi banyak cabaran termasuklah untuk membawa watak Rambo sehingga diingati peminatnya pada hari ini.

“Bibliografinya juga menceritakan bagaimana dia menceburi dunia lakonan dan daripada situ jugalah saya menjadikannya sebagai inspirasi untuk mengikut jejak langkahnya,” katanya.

Walau bagaimanapun, Raff akui untuk berjaya seperti ikonnya, ia memerlukan sebuah perjalanan yang cukup panjang.

Tambahnya, beliau turut bercita-cita untuk membintangi filem dari negara lain untuk melihat sendiri kepelbagaian dalam seni lakonan.

“Saya berharap dapat membintangi beberapa filem dari Indonesia. Negara itu juga tidak kurang hebatnya dalam bidang perfileman, malah banyak drama dan filem dari sana terkenal di negara kita,” ujarnya mengakhiri perbualan.