Prince Harry dan Meghan Markle 

Tapi, apa agaknya yang membuatkan mereka masih juga belum mengumumkan berita gembira itu?

Harry mungkin tidak akan berkesempatan menaiki takhta, namun perkahwinan adik Putera William ini masih satu perkara yang dianggap penting bagi empayar Britain. Persetujuan beberapa pihak masih diperlukan sebelum sebarang pengumuman dibuat.

Walaupun diterima dengan baik oleh Ratu Elizabeth, Meghan bukanlah seorang calon yang boleh dikatakan menepati semua syarat. Ada tiga isu yang mungkin menyebabkan kenapa pertunangan Harry dan Meghan masih belum diumumkan.

Yang pertama ialah, Meghan bukan warga Britain.

Bagi yang mengikuti sejarah diraja Britain pasti masih ingat kisah Raja Edward VIII yang diminta melepaskan takhta untuk mengahwini Wallis Simpson, seorang warga Amerika. Dalam kes ini, walau bagaimanapun, isu besarnya bukanlah kerana Wallis dari Amerika kerana tidak ada peraturan jelas yang menghalang kerabat diraja daripada berpasangan dengan warga asing.

Sebenarnya, sebab utama kenapa Raja Edward VIII terpaksa meninggalkan takhta kerana Wallis adalah seorang janda. Begitu juga Meghan!

Pelakon berusia 36 tahun itu pernah berkahwin dengan aktor Trevor Engelson pada 2013, dan bekas suaminya itu sudah pun mula menjengkelkan keluarga diraja. Peminat drama bersiri The Crown mungkin sudah tahu mengenai polisi diraja berkenaan mengahwini janda. Ini dilarang keras!

The Crown memaparkan kisah percintaan di antara Puteri Margaret, saudara perempuan Ratu Elizabeth II dan Kapten Peter Townsend, seorang juruterbang. Pasangan tersebut dilarang berkahwin kerana Peter seorang duda. Melalui surat-surat yang ditulis ketika itu, didapati bahawa Ratu Britain akan membenarkan pernikahan itu berlangsung sekiranya Margaret melepaskan haknya untuk menaiki takhta.

Namun, itu adalah kisah lama dan jika terpaksa membuat keputusan begitu sekali lagi dalam kes Harry dan Meghan, ada kemungkinan Ratu Elizabeth akan membuat pilihan yang berbeza.

Sebab ketiga yang berpotensi memisahkan Meghan dan Harry adalah kerana Meghan berfahaman Katolik. Tidak lama dahulu kenyataan yang satu ini memang sesungguhnya akan memisahkan mereka tetapi mujurlah, peraturan yang menghalang keluarga diraja Britain daripada mengahwini seorang Katolik telah dibubarkan oleh Ratu Elizabeth pada 2013.

Namun, ramai yang menegaskan bahawa hal ini masih menjadi isu sekiranya pasangan tersebut mempunyai anak, kerana anak tersebut harus dibesarkan di bawah mazhab Gereja England.

Tetapi jika difikir-fikirkan, Meghan juga tidak nampak seperti masih mempraktikkan Katolik. Jadi, hal perbezaan mazhab ini mungkin boleh diatasi.

Walau-apapun, ramai yang berharap agar Meghan dan Harry akhirnya membuat pengumuman yang dinanti-nanti. Ada lelaki di luar sana yang berharap mereka mempunyai alasan yang kukuh untuk mengelak daripada melamar dan berkahwin, tetapi rasa-rasanya Putera Harry bukan jenis yang begitu. Apa pendapat anda?