Menurut Wendy atau nama Islamnya, Wani Wendy Wong Abdullah, dia dan Nancie masih lagi aktif menerbitkan drama-drama tempatan dan sekarang lebih menjurus kepada penerbitan drama Mandarin.

“Kalau saya dan Nancie tidak kuat, agaknya sudah lama syarikat kami tutup kedai kira-kira lapan tahun dulu. Kami hampir-hampir putus asa kerana waktu itu ekonomi merudum dan projek pun tak banyak sampai tak mampu nak bayar sewa pejabat.

“Bagaimanapun niat itu tidak diteruskan kerana sayang dan cinta kami kepada Produksi Seni 2020. Kami teruskan juga di pejabat yang lebih kecil kerana syarikat itu ibarat anak pertama, sayang kalau tidak diteruskan.

“Alhamdulillah, berkat kesabaran dan semangat kerja, ‘anak’ kami itu terus bernyawa sehingga kini,” katanya tanpa berselindung.

Tambah Wendy, ketika Produksi Seni 2020 mengharungi zaman kegawatan, dia dan Nancie mengurangkan aktiviti penerbitan program. Sebaliknya, mereka lebih banyak menghadiri festival filem dengan harapan dapat bertemu dengan rakan kongsi untuk menjual program travelog yang diterbitkan.

“Empat tahun lalu, saya ada bertemu dengan Ketua Pegawai Eksekutif sebuah stesen televisyen di Vietnam, Dia tawarkan diri untuk membeli program terbitan Produksi Seni 2020 iaitu My Travel Sight dan Through the Eyes of Malaysia.

“Syukur semuanya berjalan lancar dan selepas beberapa perbincangan, saya membuat usul untuk menerbitkan drama bersiri secara gabungan dua negara. Menerusi drama itu dapatlah kedua-dua negara bertukar budaya dan kepakaran masing-masing serta memperkenalkan artis kita di sana.

“Hasil daripada itu, terjadilah kerjasama antara kami. Pihak di sana bersetuju untuk menyediakan artis tempatan dan mencari lokasi untuk penggambaran di Vietnam.

“Sesungguhnya kerjasama antara Produksi Seni 2020 dengan orang di Vietnam satu pengalaman baharu. Kami baru selesai menjalani penggambaran drama Mandarin berjudul Moonlight Saigon sebanyak 26 episod yang dilakukan di negara tersebut,” ceritanya.

Memandangkan drama tersebut bertujuan untuk menonjolkan budaya kedua-dua pihak, skrip yang dihasilkan juga hasil perbincangan bersama.

“Penggambaran dilakukan di Malaysia dan Vietnam. Setiap lokasi ada dua pengarah sebab kita mahu menjaga budaya negara agar tidak lari daripada nilai-nilai peradaban. Memang perlu ada pemantauan agar tidak berlaku adegan yang tidak kena dan akhirnya terpaksa dipotong.

“Faham sajalah budaya mereka tidak sama dengan negara kita, takut terlepas pandang. Jadi perlu ada pemantauan.

“Pada asalnya kami nak buat drama ini dalam bahasa Melayu tapi disebabkan perbezaan budaya yang ketara jadi drama ini dibuat dalam bahasa Mandarin dan Vietnam,” jelasnya yang berada di Vietnam selama dua bulan.

Pengarah Malaysia yang bertanggungjawab mengendali drama ini ialah Mark Tham dan Long dari Vietnam.

Sementara pelakon dari Malaysia adalah Jonathan Lee dan Evan Sia manakala dari Vietnam, Yu Duong sebagai Tuong Vi serta Kieu Trihn sebagai Vu Yen.

Drama Moonlight Saigon yang bakal disiarkan di RTM pada hujung tahun ini berkisar tentang dua sahabat Eric dan Ricky ke Vietnam untuk menguruskan perniagaan makanan dan di sana mereka berkenalan dengan seorang wanita tempatan yang akhirnya jatuh cinta kepada Ricky. Bagaimanapun cinta mereka terputus dan masing-masing cuba untuk kembali berhubungan.

Bahagia dengan anak

Wendy yang bakal menerbitkan program berbentuk travelog bagi membantu orang ramai bercuti di dalam dan luar negara berkata, program sebegitu dilihat lebih mendapat sambutan.

“Program begini dibuat kerana secara dasarnya saya memang suka melancong. Daripada pergi suka-suka baik saya kongsi pengalaman indah itu dengan orang lain. Sekurang-kurangnya mereka tahu apa yang perlu dilakukan bila ke sesebuah negara.

“Pada waktu yang sama juga kami masih lagi menerbitkan beberapa drama dan program untuk disiarkan di saluran tempatan. Untuk masa akan datang, kami mahu memastikan produk Produksi Seni 2020 turut disiarkan di saluran luar,” katanya.

Selain sibuk dengan kerjaya, Wendy juga tidak pernah mengabaikan tanggungjawabnya sebagai ibu kepada Nur Alia Wani Yacob, 3.

“Alhamdulillah, sekarang hidup saya sudah sempurna kerana mempunyai seorang suami yang penyayang, Yacob Chik dan anak yang comel. Kehadiran Nur Alia menambahkan seri kehidupan saya dan suami,” jelasnya yang bernikah pada 2009.

hits hiburan utusan malaysia