Shah Iskandar

Namun entah mengapa, momentum popularitinya perlahan-lahan semakin mendatar. Dia seakan-akan semakin menyepi ditenggelami pelakon baharu yang membanjiri lautan seni yang penuh liku dan onaknya.

Bersua bicara dengan Shah Iskandar, dia mengangguk mengakui perkara tersebut. Tiada rasa ralat atau kecewa, dia sedar percaturan seorang anak seni ada pasang surutnya. Tidak mungkin dia berada di puncak selama-lamanya.

Bukan kerana dia mula memilih sehingga hilang tawaran namun sebagai seorang pelakon, anak kelahiran Singapura ini tidak mahu terlalu tamak dalam membolot semua tawaran yang diberikan.

“Memang diakui nama saya sekarang tidak sepopular dulu. Biasalah itu, apabila ada ramai pelakon baharu sedikit demi sedikit kehadiran kita akan kurang impaknya. Cuma saya masih ada tawaran.

“Drama lakonan saya juga sentiasa ditayangkan. Ada yang sudah tamat penggambaran dua tahun lalu pun baru hendak ditayangkan. Saya tidak ralat pun dengan situasi ini.

“Apabila nama kurang popular ini, hidup lebih peribadi. Kadang-kadang, itu yang kita inginkan. Tapi tidak bererti saya menolak populariti. Sebagai anak seni, glamor itu penting,” katanya yang bakal tampil dengan drama Dendam Aurora tidak lama lagi.

Ditanya adakah media sosial menjadi keutamaannya dalam berinteraksi dengan peminat, jejaka berusia 35 tahun mengakui dia dahulu pernah menolak media sosial sebagai medium pengantara.

Namun segala-galanya berubah tatkala dia sedar, kepentingan media sosial bukan sahaja sebagai medium memuat naik gambar dan video sebaliknya lebih kepada menghubungkan dirinya dan peminat.

“Saya tidak terlalu aktif di media sosial. Saya seorang yang terlalu mementingkan ejaan dan tatabahasa. Jadi apabila bermain media sosial, nak buat satu kapsyen pun saya ambil masa lama.

“Sekarang memang isteri saya yang uruskan media sosial. Sebab saya kurang gemar dan tidak cekap dalam hal itu. Lagipun media sosial ini juga merupakan saluran perniagaan,” katanya.

Mengakui pernah menerima beberapa gangguan menerusi laman sosial, pelakon Runtun Qalbu ini tidak terlalu ambil pusing. Baginya, itu semua hanya gurauan peminat.

“Mula-mula memang risau apabila ada peminat hantar gambar bukan-bukan cuma Allhamdulillah isteri saya sangat memahami. Saya pun kena jaga hati kedua-dua belah keluarga.

“Tapi apabila isteri yang menguruskan laman sosial saya, dia pun tidaklah pernah mempersoal jika ada peminat yang mengurat saya,” katanya yang berkahwin dengan Siti Sarah pada Januari tahun lepas.

Setahun melayari bahtera perkahwinan, pastinya anak menjadi persoalan. Tidak mahu mempersoal rezeki Tuhan, Shah tidak tertekan dan hanya bersabar menunggu cahaya mata.

Namun jauh di sudut hatinya, terbit rasa sesal apabila dia dahulu pernah menolak untuk menimang cahaya mata pada awal perkahwinan. Shah mahu merancang keluarga demi kelangsungan kerjaya.

“Memang saya menyesal dengan sikap diri sendiri dahulu. Bukan tiada keinginan cuma saya mahu merancang keluarga dahulu. Saya dibesarkan dengan cara sistematik, jadi saya mahu ikut cara sama.

“Tapi itulah, bila sudah setahun ini rasa menyesal juga. Siapa tak mahu anak cuma belum rezeki lagi. Doa tak henti-henti, insya-Allah rezeki itu akan hadir pada waktu yang sesuai,” katanya.

Berbicara tentang drama baharu, dia bakal memulakan penggambaran akhir Julai ini. Dia juga mengakui terpaksa menolak tawaran demi memberi fokus kepada drama 100 episod ini.

“Pertama kali saya cuba untuk berlakon drama bersiri sehingga 100 episod. Saya pernah ditawarkan sebelum ini tetapi menolaknya. Cuma sekarang saya mahu mencuba sesuatu yang baharu.

“Tambahan pula, watak ini menarik, sayang jika saya tolak. Draf karakternya ada turun naik. Memang sangat penat sebab itu saya tolak tawaran lain demi menjayakan drama ini,” katanya.