Pun begitu, selepas bergelar isteri enam tahun lalu dan dikurniakan dua cahaya mata, Cheryl mengambil keputusan untuk memperlahankan kerjaya dalam dunia seni.

Kini, isteri kepada pengarah terkenal, Ng Ping Ho ini hanya menerima tawaran mengacara majlis serta memberi fokus kepada perniagaan kafenya, Lokl Café.

Tidak terlibat secara langsung dalam dunia seni bermakna hilanglah populariti. Mengenai hal ini, Cheryl akui dia tidak menjadikan populariti sebagai keutamaan hidupnya kini.

“Saya memang mengambil keputusan untuk memperlahankan karier seni selepas berkahwin dan melahirkan anak. Lagipun sejak ada anak, saya sentiasa ingin bersama-sama mereka. Bagi saya, keputusan untuk menjadi ibu sepanjang masa ialah satu perkara yang terbaik dapat saya lakukan.

“Saya tidak kisah tentang populariti. Sejujurnya, kalau saya keluar dan orang tidak kenal saya bukan satu hal yang perlu saya risaukan. Sejak dahulu lagi populariti tidak pernah menjadi isu utama dalam hidup saya.

“Ketika menjadi pengacara Muzik-Muzik dan Anugerah Juara Lagu (AJL) suatu masa dahulu pun, saya tidak pernah mengharapkan orang kenal saya. Sebaliknya saya terima dan buat kerja tersebut kerana minat, bukan kejar populariti,” ujarnya.

Meskipun tanpa populariti, Cheryl masih mampu berbangga kerana bakat dan hasil kerjanya sentiasa menjadi perhatian banyak pihak. Ternyata, meninggalkan dunia pengacaraan TV tidak bermakna bakat dan minatnya turut terkubur.

“Saya masih aktif sebagai pengacara dan tidak pernah berhenti menerima tawaran mengacarakan pelbagai majlis. Tanpa populariti, khidmat saya sebagai pengacara majlis sentiasa diperlukan.

“Oleh itu, saya sentiasa pastikan saya masih releven melalui kerja-kerja pengacaraan majlis yang saya terima. Prinsip saya, kalau saya buat kerja dengan bagus, orang akan selalu ingat dan terus memberikan tawaran.

“Dalam soal ini juga, saya juga gemar mendapatkan maklum balas daripada penganjur majlis tentang prestasi saya. Dari situ, saya akan memperbaiki diri.

“Walaupun sudah 20 tahun saya melibatkan diri dengan kerja ini, saya tahu banyak benda yang perlu saya perbaiki,” jelas Cheryl yang ditemui dalam majlis pelancaran portal membeli-belah Section 1 di White Box, Publika, Kuala Lumpur baru-baru ini.

Lari daripada topik kerjaya, Cheryl tidak lokek berkongsi pengalaman bergelar ibu kepada Stella, 3, serta Kate yang baru berusia sembilan bulan dan pada masa yang sama memikul beban sebagai wanita bekerjaya.

“Menjadi ibu ialah perkara yang paling menakjubkan pernah saya rasai. Walaupun itu antara perkara yang banyak memberi tekanan dan sangat memenatkan tetapi saya sangat berpuas hati apabila dapat menjaga anak sendiri.

“Biarpun saya perlu membuat pengorbanan terutamanya berkaitan kerja namun tidak wujud rasa menyesal dalam hati saya. Sebaliknya perkara tersebut yang mampu membuatkan saya rasa lebih gembira dan bahagia,” ujarnya.