HEZRON

Tidak mahu tersalah langkah, kumpulan dua beradik, Atmosfera mengatur strategi supaya nama mereka tidak pudar dari radar seni. Harus bijak dan menggunakan peluang sebaik mungkin.

Biarpun ada sosek-sosek yang mula berbunyi terhadap kesukaran untuk menjemput mereka membuat persembahan sementelah duo itu menetap di Sabah, sama ada Hezron atau Ganak, adik beradik ini tidak mahu mengambil risiko.

Bukan tidak percaya dengan rezeki namun mereka sepakat berpendapat lebih senang untuk tidak pindah ke Kuala Lumpur untuk masa sekarang. Hanya masa yang bakal menentukan.

Apatah lagi, agak sukar untuk berpindah kerana masing-masing mempunyai keluarga dan anak-anak yang masih kecil. Mereka mahu perlahan mengatur hidup dengan rezeki yang ada.

“Bukan tidak mahu pindah ke Semenanjung tapi nanti dahulu. Kerjaya seni kami pun belum cukup kukuh. Orang kata baru hendak bertatih mencipta nama. Jadi, banyak yang kena fikir dulu.

“Setakat ini, masalah yang besar belum ada. Jadi kami terus sahaja menetap di Sabah.

“Nanti kalau sudah kukuh dan ada kelompok peminat yang stabil, kami akan pertimbang.

“Lagipun anak-anak masih kecil. Jadi agak sukar untuk kami berpindah. Sementelah, kami masih bekerja di kilang pintu. Belum mahu berhenti lagi,” kata Hezron yang juga abang kepada Ganak.

Tampil dengan pertaruhan baharu, Tak Tahu Malu yang merupakan ciptaan sepenuhnya oleh Hezron, kali ini mereka mencuba sesuatu yang baharu. Mahu keluar dari kepompong balada dan tampil dengan rentak yang lebih pantas.

Biarpun ada getaran risau yang berlegar di fikiran namun mereka tetap mahu mencuba biarpun lebih popular dengan lagu-lagu yang berentak perlahan sebelum ini. Siapa tahu, percubaan menjadi.

“Tak Tahu Malu ini dicipta sekitar 2012. Kami sengaja memilih lagu ini supaya lebih segar dan berbeza dengan dua lagu sebelum ini.

“Nanti orang bosan pula kalau asyik dengan lagu ‘tangkap leleh’.

“Memang Berakhirlah Sudah merupakan lagu pertama yang memperkenal kami. Tapi sudah tiba masanya untuk kami mencuba sesuatu yang baharu.

“Kami akan sentiasa mengeluarkan lagu dan jika ada peluang, kami bakal tampil dengan album penuh. Semua itu masih dalam perancangan. Kami pun baru setahun jagung dalam industri,” katanya.

Diaju soalan adakah mereka terbuka untuk mereka lagu daripada komposer luar, Hezron mengangguk setuju. Bagi bapa kepada dua orang anak ini, mereka tidak kisah asalkan lagu tersebut kena dengan jiwa Atmosfera.

“Memang kami lebih selesa menyanyikan lagu ciptaan sendiri dan juga bapa kami. Dalam simpanan pun kami ada lebih kurang enam buah lagu. Cuma kalau ada komposer yang berminat untuk bekerjasama, mengapa tidak?

“Kami terbuka untuk menerima lagu-lagu daripada komposer lain,” katanya yang turut dipersetujui Ganak.

Isteri tak cemburu dengan peminat

Barangkali aura populariti belum merasuk penuh ke dalam jiwa kedua -dua beradik ini kerana mereka tetap merendah diri dan sopan tatkala menjawab setiap persoalan yang diaju.

Pastinya apabila nama mula menerjah masuk ke awangan populariti akan ada peminat-peminat yang cuba ‘cucuk jarum’. Itu tidak dinafikan sama sekali dan perkara sama turut dialami kedua-dua adik beradik ini.

Ditanya pernah mereka menerima pesanan atau gambar-gambar yang tidak senonoh daripada peminat, masing-masing tergelak kecil. Jelas Ganak, itu perkara biasa khususnya bagi selebriti.

Cuma bagi bapa kepada dua orang anak ini, dia menganggap itu semua sebagai satu gurauan dan tidak ambil peduli dengan usikan segelintir peminat di laman sosial.

“Mesti ada peminat yang hantar pesanan cuba mengurat kami tapi ‘buat bodoh’ sahaja.

“Isteri pun tidak cemburu kerana tahu ini adalah realiti dunia artis, nak buat macam mana, kan?

“Cuma mereka selalu pesan supaya jaga diri dan tidak hanyut ditelan ombak populariti.

“Itu kata azimat yang akan selalu disemat dalam fikiran dan jiwa,” kata Ganak.