Ya, sejak akhir-akhir ini tentu sahaja isu tudung dan artis menjadi topik panas yang sering mencuri tumpuan. Ada yang tanpa segan silu kembali membuka tudung dan tak kurang juga yang melakukan aksi kurang sopan dengan membawa imej begitu.

Tentu sekali sebagai senior dalam bidang nyanyian, Salwa dapat menyaksikan apa yang berlaku. Namun dari sudut hati kecilnya, dia sentiasa berdoa agar mereka terus tenang dan dapat menghindarkan diri daripada godaan yang akan memberikan konotasi negatif di kemudian hari.

“Saya tidak mahu mengulas mengenai apa yang telah mereka lakukan. Siapalah saya untuk bercakap tentang orang lain. Tapi apa yang boleh saya katakan apabila bertudung, kena jaga banyak perkara. Perkara buruk kena buang. Tak boleh buang sekali gus, buang sedikit-sedikit.

“Apabila bertudung, kita perlu menjadi Muslim yang baik. Perubahan bukan sekadar imej tetapi perlu berubah dari dalam juga. Kalau sudah buat silap, jangan terus ulangi. Ini juga yang saya praktikkan dalam kehidupan sejak bertudung setahun yang lalu,” tambahnya lagi.

Setahun setelah bertudung tentu sahaja Salwa semakin tenang dengan perubahan dirinya. Kehidupan yang dilalui juga semakin baik apabila dapat menunaikan kewajipan yang seharusnya menjadi ikutan sejak dahulu.

Namun begitu, usaha untuk menetapkan hati untuk terus tenang tidak mudah untuk dilalui sebenarnya. Tanpa berselindung, dia sentiasa berpesan kepada rakan-rakan baiknya untuk terus mendoakan dirinya agar ditetapkan hati.

“Betul, sejak dahulu lagi saya akan minta rakan-rakan yang ke Mekah untuk mendoakan saya. Sejak setahun yang lalu juga saya minta mereka terus berdoa agar mampu terus menutup aurat seperti yang disyariat kan.

“Dalam tempoh setahun ini juga, saya tidak pernah terfikir untuk kembali membuka tudung. Mungkin amalan ini boleh diambil oleh orang lain yang mahu berubah. Moga-moga bermanfaat untuk semua,” kata isteri kepada bekas pemain bola, Subadron Aziz.

Menariknya, walaupun niat untuk bertudung datang dari hati kecilnya, dia juga menganggap keputusan tersebut sebagai hadiah ulang tahun suaminya pada tangga 4 Oktober tahun lalu.

“Dahulu saya sering berikan dia hadiah. Dari sekecil-kecil hadiah sehinggalah yang paling mahal. Tahun lalu, saya beritahu hadiah hari lahirnya adalah imej bertudung saya. Tentu sahaja dia gembira dengan keputusan itu,” tambah ibu kepada Puteri Sulaikha serta Putera Sufrie Nizam ini lagi.