Jae Yoon bukan sahaja popular di negara asalnya, malah aktor muda ini juga digilai dan mempunyai pengikut wanita yang cukup ramai di seluruh dunia termasuk Malaysia.

Kehadirannya sempena Puma Night Run Malaysia 2017 yang berlangsung di Cyberjaya baru-baru ini sedikit sebanyak merealisasikan harapan peminat tempatan untuk melihatnya secara lebih dekat.

Jae Yoon yang julung kali mengunjungi negara ini memberitahu amat teruja kerana akhirnya berpeluang berada di Malaysia setelah sekian lama menyimpan hasrat tersebut.

“Sebelum ini, saya pernah berkunjung ke negara berdekatan Malaysia seperti Singapura dan Indonesia. Saya dapati terdapat persamaan budaya antara negara-negara di rantau ini.

“Malaysia adalah pengalaman baharu untuk saya. Saya ingin bertemu peminat di sini yang selama ini memberi sokongan terhadap kerjaya lakonan saya,” katanya yang memberitahu akan kembali ke Malaysia bagi menerokai tarikan pelancongan tempatan.

Jae Yoon adalah antara selebriti antarabangsa dipilih sebagai jurucakap jenama terkenal, Puma. Selayaknya bagi pengiktirafan itu, pemuda dengan ketinggian 187 sentimeter ini tidak mengabaikan kesihatan, malah sentiasa aktif bersukan.

“Saya sentiasa melakukan senaman dan gemar mencuba sukan lain seperti taekwondo dan jiujitsu. Dua bulan lalu saya berkunjung ke Bali, Indonesia untuk melakukan luncur air.

“Selain berlakon, sukan menjadi keutamaan buat saya. Kecergasan membantu dalam lakonan terutamanya ketika melakukan babak aksi dalam filem atau drama,” tambahnya.

Bercerita mengenai penglibatan sebagai pelakon, Jae Yoon yang dibesarkan di Kanada mengakui segalanya bermula tanpa diduga. Katanya, tidak pernah terlintas dalam fikiran untuknya bergiat di pentas lakonan.

“Saya bermula dengan uji bakat yang diadakan di Kanada ketika berumur 18 tahun. Itu adalah titik permulaan bagi segala-galanya.

“Kembali ke Korea untuk menjadi pelakon adalah satu keputusan besar dan bukan mudah. Saya tidak ada pengetahuan khusus dalam industri ini dan kerana itu menjadi satu permulaan yang cukup sukar,” jelasnya.

Dalam pada itu, Jae Yoon memberitahu mahu mengikut jejak pelakon Korea yang berjaya menempatkan diri di peringkat antarabangsa.

“Saya sememangnya ingin melebarkan sayap ke Hollywood jika diberi peluang. Terdapat ramai pelakon hebat Korea yang sudah berjaya menembusi pasaran antarabangsa.

“Bagi saya, untuk melangkah ke Hollywood, saya perlu menjadi pelakon yang hebat dan disegani di negara sendiri. Namun, jika peluang itu datang lebih awal, saya tidak akan sia-siakannya,” katanya.