Tanpa melakukan sebarang persediaan mahupun latihan, Nabila Huda mengakui, keghairahan tersebut pudar dan ada rasa kesal yang melanda dirinya terutama pada awal-awal pendakian.

Ini kerana yang sudah berpengalaman dalam bidang pendakian pun masih tercungap-cungap apatah lagi bagi seorang amatur yang langsung tidak melakukan sebarang persiapan dan terus mendaki.

“Yang saya lakukan itu memang atas kehendak diri, bukan untuk duit dan sebagainya. Sebaliknya, ada produksi yang membantu saya mencapai hajat itu,” jelasnya.

Perancangan untuk mendaki ABC menurut Nabila, sesuatu yang tidak dirancang.

Semuanya bermula ketika pihak Libero Productions yang pernah bekerjasama dengan Nabila bertanyakan senarai impiannya.

Ketika itu, Nabila memberitahu dia teringin untuk mendaki ABC. Walaupun tiada pengalaman mendaki gunung sebelum ini, dia menganggap impian itu sebagai satu cabaran kepada dirinya.

Sebelum ini dia pernah bekerjsama dengan Libero Productions untuk program Awak Kat Mana? dan hubungan baik itu berterusan hingga kini.

Sebaik mendapat jawapan terhadap impian tersebut, pihak produksi terus membuat perancangan bagi melaksanakannya dan pada 3 September lalu, bermulalah pendakian yang cukup menguji kemampuan fizikal dan mental Nabila.

Cuma ada seorang sahaja wakil produksi yang mengikutnya melakukan pendakian. Itu pun sekadar untuk merakam detik dan kenangan peribadi buat Nabila. Bukan untuk siaran televisyen atau sebagainya.

Berkongsi pengalaman pendakiannya itu, Nabila mengakui dia sememangnya hampir berputus asa dan tidak mahu meneruskan pendakian kerana dirinya yang terlalu emosi selain didorong rasa penat membuatkan Nabila kerap kali menangis sepanjang pendakian tersebut.

“Proses pendakian itu memang sudah mencabar diri sejak hari pertama lagi. Tetapi ketika itu tidak terasa sangat sebab hati masih lagi ghairah dan teruja melihat keindahan alam dan sebagainya.

“Tetapi bila masuk hari kedua, hati saya sudah mula terdetik rasa kesal dengan keputusan untuk mendaki lebih-lebih lagi kerana setiap hari saya kena berjalan selama lapan jam.

“Itu yang buat saya sangat penat dan mental serta emosi saya mula terganggu. Saya menangis dan suami saya cukup risau apabila saya hubungi dia memberitahu yang saya sudah tak larat untuk meneruskan pendakian,” jelasnya yang mengambil masa selama empat hari untuk sampai ke ABC.

Ketika dirinya mula lemah dan emosi menguasai diri, jelas anak kepada Amy Search ini, kata-kata suaminya untuk terus bersabar dan jangan cepat berputus asa telah menguatkan kembali semangatnya untuk meneruskan pendakian.

Walaupun hampir mengalah, pelakon yang bakal muncul dengan filem terkini Tombiruo: Penunggu Rimba ini mengakui bangga dengan dirinya kerana berjaya menghabiskan pendakian yang dianggap sebagai satu perancangan mengejut itu.

“Bayangkan tanpa latihan dari segi mental dan fizikal, saya berjaya juga menamatkan pendakian dan perkara itu sesuatu yang sangat membanggakan.

“Namun saya mahu berpesan kepada khalayak jika ada yang berminat untuk mendaki, pastikan persediaan fizikal dan mental itu dilakukan sebaik-baiknya.

“Kalau tidak, memang kita akan rasa susah, sekali gus mengganggu momentum pendaki lain jika kita pergi secara berkumpulan,” jelasnya.

Teruja dengan Tombiruo

Bercerita mengenai filem baharu lakonannya yang berjudul Tombiruo: Penunggu Rimba, Nabila mengakui dia teruja dengan cara kerja produksi dan hasil keseluruhan filem itu.

Bekerja dengan dua orang pengarah iaitu Nasir Jani dan Seth Larney, wanita ini menganggap pengalaman di set penggambaran sebagai sesuatu yang paling profesional pernah dialaminya sepanjang bergelar pelakon.

“Bukan saya hendak menilai kemampuan produksi tempatan lain tetapi cara kerja produksi ini sangat profesional dan segala adegan sudah dirancang sejak awal.

“Saya tak perlu tunggu lama untuk adegan saya. Kadang-kadang, saya tidak sempat bertemu pun dengan pelakon-pelakon lain kerana sibuk dengan adegan saya sendiri,” jelasnya.

Dalam pada itu, Nabila juga sempat melakonkan beberapa adegan aksi dalam filem itu selepas mendapat kebenaran daripada pihak produksi.

“Produksi pun risau apabila saya mahu lakonkan adegan lompat dan aksi yang lain. Tetapi saya minta diberikan peluang tersebut kerana itu lebih memberi kepuasan.

“Faktor keselamatan tetap jadi keutamaan jadi saya rasa tidak ada masalah,” jelasnya yang membawa watak wartawan penyiaran dalam filem itu.

Filem tersebut mengisahkan Ejam, seorang lelaki bertopeng yang dibesarkan di dalam hutan. Ejam menjadi marah apabila bapanya dibunuh oleh sindiket pembalakan yang mahu memusnahkan hutan untuk mengaut keuntungan.

Selain Nabila, filem itu turut dilakonkan oleh Zul Ariffin, Farid Kamil, Faizal Hussein, Datuk M. Nasir dan Hasnul Rahmat.

Karya daripada tulisan novelis terkenal, Ramli Awang Murshid itu akan menemui penonton bermula 12 Oktober ini.