Pertaruhan Khalifah

Dua tahun menghilang, Khalifah muncul dengan Hang Pi Mana?

Kumpulan Khalifah tampil dengan single Hang Pi Mana?
Kumpulan Khalifah tampil dengan single Hang Pi Mana?

Sedekad mengukir nama dalam landasan seni muzik rock bukanlah semudah yang disangka. Apatah lagi dengan kebangkitan banyak penyanyi baharu seolah-olah menyukarkan lagi perjalanan seni mereka.

Namun, bagaikan tiada titik noktah dalam perjuangan, kumpulan rock, Khalifah terus melangkah jauh melangkaui arus kemodenan biarpun terdapat kata-kata sumbang yang mengatakan lagu mereka tidak lagi relevan.

Tidak langsung berkecil hati mahupun berang dengan kritikan sebegitu, ternyata kematangan berlandaskan pengalaman banyak mengajar erti kesabaran agar tidak mudah melatah menghadapi satu-satu isu.

Bagi vokalisnya, Yabang, Khalifah mempunyai peminat yang masih lagi kekal menyokong dan sambutan laur biasa setiap kali membuat persembahan membakar lagi semangat mereka dalam meneruskan perjuangan seni.

“Setiap kali membuat persembahan, ramai peminat datang dan bertanyakan bila single baharu hendak keluar. Itu yang membuatkan kami berkobar-kobar untuk terus berusaha biarpun masing-masing ada kerjaya sendiri.

“Tidak mudah untuk kekal bersama untuk tempoh sedekad, apa yang penting adalah persefahaman dan kerjasama. Itu yang mengekalkan kami, lagipun kami sudah seperti adik-beradik,” jelas Yabang.

Lebih dua tahun menghilang, pastinya akan ada suara-suara sumbang mengatakan kumpulan ini sudah dibubarkan atau mungkin berkecil hati dengan industri muzik lantaran kekurangan sambutan terhadap lagu-lagu mereka.

Sebenarnya, tempoh tersebut digunakan dengan sebaik mungkin untuk menghasilkan karya-karya yang lebih berkualiti menerusi pemerhatian mereka terhadap perkembangan muzik tempatan.

Tampil dengan single baharu, Hang Pi Mana?, Khalifah masih mengekalkan konsep sama dengan menyelitkan nasihat serta nilai-nilai murni secara tersirat dalam setiap lagu.

Malah, dengan menggunakan dialek masyarakat utara, Yabang berkata, mereka cuba untuk menampilkan kelainan dan itu merupakan antara strategi mereka dalam menambat hati peminat.

“Kita mahu keunikan dialek yang mencerminkan negara kita. Kerana itu kami berani mengetengahkan lagu-lagu menggunakan dialek seperti utara dan timur.

“Idea ini datangnya daripada Herry (gitaris). Lagi pun, ini cara kami mempromosikan negara, biarpun nampak kecil namun kami yakin tetap ada sumbangannya,” kata Yabang.

Bakal tampil dengan album penuh selewat-lewatnya pertengahan tahun ini, Yabang mengakui, peminat kini sudah pandai menilai sesebuah karya dan mempunyai pelbagai pilihan muzik.

Namun, dia percaya, Khalifah masih mempunyai magis tersendiri untuk mengembalikan zaman kegemilangan mereka yang suatu ketika dahulu mencetuskan kegilaan dalam kalngan peminat muzik rock tanah air.

“Album baru itu bakal membariskan 10 buah lagu baharu yang mencerminkan identiti kami. Cuma, mungkin ada sedikit perubahan genre yang kami selitkan sesuai dengan peredaran muzik tanah air.

“Malah, kami juga lebih menfokuskan kepada lagu-lagu berbentuk nasihat dan ketuhanan. Sesuailah dengan usia kami,” seloroh Yabang.

Latest

Latest

Latest

Latest

Lagi Artikel Hiburan
Anda juga mungkin meminati