Lantaran mahukan perbezaan, anak tiri penyanyi, Datuk Siti Nurhaliza Tarudin itu sepakat dengan isteri yang dinikahinya pada 1 November lalu, mengubah dewan Hotel Majestic, Kuala Lumpur menjadi sebuah arena yang gilang-gemilang dengan kehadiran bintang-bintang dari Malaysia dan Indonesia.

Bertepatan pula dengan latar belakang isteri Asyraf, Tya Ariffin atau nama sebenarnya Nutria Wulandari Ariffin yang juga seorang artis popular dari seberang maka acara yang berlangsung penuh meriah itu sesuatu yang disifatkan sebilangan besar tetamu sebagai sangat elegan.

Asyraf, seorang usahawan muda dan pasangannya itu sama-sama menawan pada malam penuh berbahagia itu, apa lagi kaum keluarga dan sahabat terdekat yang turut meraikan persandingan mereka tidak sekadar hadir menunjuk muka.

Sebaliknya iringan doa dan ucapan tahniah dipanjangkan kepada pasangan pengantin baharu sambil melahirkan harapan keberkatan mengiringi kehidupan mereka.

Bagi Asyraf, tujuan utama majlis sedemikian diadakan tidak sekadar untuk menghebahkan kepada masyarakat yang dia dan Tya sudah bergelar suami isteri.

Pada masa sama, kesempatan acara sedemikian juga sebagai ruang baginya berkongsi kegembiraan dengan orang yang rapat yang selama ini tidak pernah putus-putus mengiringi doa kepadanya khususnya selepas membuat keputusan untuk bernikah dengan artis Indonesia.

“Saya bersyukur kerana Allah memberi saya kesempatan dan peluang untuk berkongsi kegembiraan ini dengan orang penting dalam hidup saya,” katanya dalam ucapannya pada malam penuh berbahagia itu.

Namun dalam kegembiraan meraikan malam penuh bermakna untuk kehidupannya sebagai seorang lelaki, Asyraf tidak dapat menyembunyikan rasa sedih kerana ayah tercinta, Khalid menghidap demam denggi pada hari yang sama.

Sebelum majlis bermula, ada yang mula menyangka bapanya tidak akan hadir kerana terpaksa menerima rawatan di hospital lantaran keadaannya yang lemah.

Bagaimanapun Asyraf tidak pernah mengambil peduli sangkaan segelintir pihak kerana jauh di sudut hati, dia yakin mentornya itu akan gagah menghadirkan diri untuk menyaksikan detik-detik penting dalam kehidupannya.

Ada kebenaran pada suara hati Asyraf kerana Khalid tidak hanya hadir untuk memberi sokongan dan mendoakan anaknya itu sebaliknya meluangkan masa melayan tetamu yang terdiri daripada Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi dan isteri, Datin Seri Hamidah Khamis serta beberapa menteri Kabinet lain.

Bahkan wajah Khalid dan Siti Nurhaliza juga sangat berseri menerima kehadiran barisan tokoh korporat negara seperti pengasas syarikat penerbangan tambang murah, Tan Sri Tony Fernandes, Datuk Yahya Jalil dan ramai lagi.

Begitu juga barisan selebriti yang menjadi penyeri pada malam persandingan itu membuatkan ‘majlis anugerah Asyraf - Tya’ menjadi detik yang cukup istimewa untuk dikenang oleh keluarga Khalid.

Kerana itu dalam ucapannya juga Asyraf mengambil kesempatan merakamkan rasa kasih dan sayang yang tidak berbelah bagi kepada ayahnya sambil menyifatkan lelaki itu adalah hero yang tidak pernah mengecewakan anak-anaknya.

“Ayah adalah sumber inspirasi saya dan adik-beradik yang lain. Kerana itu walaupun tidak sihat pada malam ini, ayah tetap hadir untuk menyaksikan hari bersejarah saya.

"Tiada yang mampu saya ucapkan selain berterima kasih dan mendoakan kesejahteraan ayah,” kata Asyraf meneruskan ucapan.

Sejurus berakhir majlis persandingan itu, Khalid yang diiringi Siti Nurhaliza kembali ke wad untuk menerima rawatan lanjut.

Selain merakamkan penghargaan buat ayahnya, Asyraf juga tidak lupa berterima kasih kepada ibu tirinya, Siti Nurhaliza yang disifatkannya sebagai antara orang penting di sebalik penganjuran majlis perkahwinannya itu.

Begitu juga dengan ibu kandungnya, Datin Tengku Zawyah Tengku Izham yang turut memainkan peranan mengendalikan acara berkenaan sejak dari awal.

Berbalik pada acara persandingan yang bertemakan majlis anugerah itu, Asyraf dan Tya turut menyampaikan beberapa anugerah kepada sejumlah tetamu yang hadir mengikut kategori yang disediakan.

Sekalipun anugerah-anugerah yang disediakan bersifat ‘suka-suka’ namun tentu sekali memberikan makna yang cukup besar kepada pasangan itu sebagai tanda mereka berbesar hati menerima kehadiran tetamu.

Kepada Asyraf dan Tya, selamat menempuh alam rumah tangga. Semoga pernikahan ini akan mendapat keberkatan daripada-Nya dan berkekalan sehingga ke akhir hayat.