Mula dikenali menerusi watak-watak jahat dalam drama lakonannya, ternyata rezeki sebagai pelakon melimpah ruah berbanding bergelar penyanyi yang diakui likunya lebih sukar.

Hampir 11 tahun berada dalam industri, si cantik yang mempunyai raut wajah persis artis Korea itu bagaimanapun akur dengan ketetapan rezeki yang telah ditakdirkan Allah kepadanya.

“Ikutkan hati memang saya lebih minat menyanyi berbanding lakonan. Sebab itulah saya sertai AF5 untuk tonjolkan bakat nyanyian yang ada. Dari kecil lagi saya aktif menyanyi di kampung halaman.

“Selepas keluar AF5, bawah pengurusan Astro, Alhamdulillah peluang mengetengahkan bakat itu dapat dirasakan. Namun hanya untuk seketika kerana persaingan amat kuat waktu itu.

“Lama kelamaan, tawaran semakin kurang dan saya sedar perlu ada strategi lain untuk bertahan lama dalam dunia seni. Jujurnya, saya bukan mencari glamor tetapi demi cinta dan minat mendalam terhadap bidang seni,” katanya.

Menjelaskan lebih lanjut perjuangannya, Nonny mengakui dia tidak mudah tidak mengaku kalah. Selepas kontraknya dengan Astro tamat, dia cuba mengatur langkah sendiri.

Menurutnya, apabila terpaksa berdikari diakui bukan mudah untuk meneroka jauh membina kerjaya dan dia pernah terfikir untuk berputus asa dan bekerja di pejabat seperti orang biasa.

Namun setelah mengenangkan semula keperitan yang dilalui, dirasakan seperti sia-sia jika dia membuat keputusan mengundur diri.

“Justeru saya kuatkan semangat, cuba mengintai peluang berlakon daripada terlalu bergantung kepada nyanyian. Saya kena lakukan sesuatu untuk mencari rezeki menyara keluarga.

“Dulu masa saya tekad mencuba nasib dalam AF5, saya telah tetapkan niat untuk membantu keluarga. Kami orang susah, ibu bapa sudah bercerai, adik-beradik pun ramai.

“Pernah suatu ketika kami semua tidur di bawah jambatan, di balai raya, rumah jiran asalkan ada tempat berteduh kerana tiada rumah. Makan pun bercatu.

“Kenangan itulah yang berjaya membuatkan saya bertahan sehingga ke hari ini. Bukan nak bangga, sekurang-kurangnya cukup duit menampung keluarga,” cerita anak kelima daripada sembilan beradik itu sambil mengekang air matanya daripada mengalir.

Selain berlakon, Nonny sebenarnya masih menyimpan hasrat untuk mengeluarkan single. Menjangkakan akan tampil dengan produk baharu selepas raya, dia berharap laluannya dipermudah kerana begitu meminati bidang nyanyian.