Memasuki tahun kedua dan mendapat sambutan memberangsangkan, U4U telah melantik tujuh selebriti dari tiga negara iaitu Malaysia, Singapura dan Indonesia dengan tagline ‘3 Nations. 7 Icons. 1 Mission’.

Irma Hasmie, Suffian Amrin (Saujana), Faizal Tahir, Farah Asyikin, Elfaeza Ul Haq, Oki Setiana Dewi dan Dewi Sandra terpilih untuk bergelar ikon pada tahun ini.

Berpeluang melawat Seville, Sepanyol pada Mac lalu, Irma dan Suffian berkongsi pengalaman sepanjang berada di sana.

Tidak hanya bergelar ikon untuk menarik orang ramai memberikan sumbangan, Irma turut berusaha melakukan sesuatu bagi mencari dana.

Terkini, pengacara di stesen TV Alhijrah ini berkolaborasi dengan jenama tudung bawal, Anaqeen.

Menerusi koleksi Anaqeen for Hasmie ini, sebahagian hasil jualan akan disalurkan kepada tabung kempen A Tile for Seville.

“Selepas pulang dari Sepanyol, saya mula memikirkan cara terbaik untuk membantu mengumpul dana. Lalu tercetus idea untuk berkolaborasi bersama-sama Anaqeen dengan menghasilkan tudung untuk dijual.

“Melalui hasil jualan koleksi ini akan ada bahagian untuk dimasukkan ke dalam tabung kempen ini. Dengan niat yang baik, saya bersyukur kerana usaha ini sentiasa dipermudah dan saya rasa gembira apabila dapat berkongsi pahala dengan semua orang.

“Rekaan untuk koleksi istimewa ini diinspirasikan daripada perjalanan dan pengalaman saya sepanjang berada di Sepanyol,” ujarnya.

Urusan dipermudah

Selain melawat kawasan bersejarah, ketujuh-tujuh ikon turut terlibat dalam penggambaran travelog 20 episod yang disiarkan menerusi YouTube. Ditanya mengenai cabaran sepanjang lawatan dan rakaman, Irma dan Suffian bersyukur kerana urusan mereka sentiasa dipermudah.

“Kami berada di sana selama sembilan hari. Selain melihat keindahan pemandangannya, kami juga dapat belajar sejarah Islam Sepanyol.

“Kami juga menjalani penggambaran dengan menelusuri sejarah kejayaan Islam di Andalusia dan kami juga berpeluang mendekati dan berkongsi kisah golongan minoriti Muslim.

“Yang membuatkan kami sangat bersyukur semuanya dipermudah Allah SWT. Cuma kami begitu terkesan dengan info-info sejarah yang kami peroleh sepanjang berada di sana,” jelas Irma.

Bercerita mengenai golongan minoriti Muslim, Suffian meluahkan rasa sedihnya apabila mengetahui masyarakat Islam di Seville perlu mencari dana sendiri tanpa bantuan kerajaan untuk membina masjid.

“Mereka ialah golongan minoriti dan pihak kerajaan tidak membantu dari segi dana dan kewangan. Kerajaan tidak membantah namun memberi keizinan untuk membina masjid tetapi mereka perlu menyediakan kewangan sendiri.

“Mereka berjuang untuk mendapatkan sumber kewangan kerana tidak semua kaya dan berkemampuan.

“Saya sangat terkesan, sedih dan rasa kasihan apabila dapat tahu mereka perlu berjuang untuk membeli tanah dan membina masjid sedangkan pada asalnya tanah tersebut sememangnya dibina masjid.

“Lebih menyedihkan, bangunan-bangunan sejarahnya ialah bekas tapak pembangunan Islam dan kebanyakan gereja di sana merupakan bekas bangunan masjid,” luah Suffian.

Hasil sumbangan pada tahun lalu, U4U berjaya mengumpulkan sebanyak RM5.8 juta. Kempen A Tile for Seville memerlukan dana sebanyak RM76 juta merangkumi harga tanah bernilai RM43 juta, pembinaan masjid serta pusat komuniti Islam.