Perkasa empayar KRU

 Sesi fotografi bersama Kumpulan KRU 5

BERTAHAN selama 24 tahun dalam industri bukan satu tempoh masa yang pendek. Dalam tempoh berkenaan pastinya kumpulan yang dianggotai oleh tiga beradik ini melalui beberapa fasa baik dalam kehidupan mahupun kerjaya yang akhirnya membawa mereka bertahan sehingga kini.

Sejak mula menubuhkan KRU sekitar 1992, perjalanan yang dilalui begitu mencabar. Untuk bertahan dan memperkasakan nama KRU ke tahap ini, pastinya banyak pengorbanan yang telah dilakukan oleh Datuk Norman Abdul Halim, Yusry Abdul Halim dan Edry Abdul Halim.

Tidak hanya memperkenalkan muzik mereka ketika di awal kemunculan dahulu, hanya berselang empat tahun selepas penubuhannya mereka mencipta sejarah penting apabila menubuhkan KRU Production (kini dikenali dengan nama KRU Music) hanya dari sebuah bilik.

Ketika itu, mereka memberanikan diri menerbitkan lagu kumpulan Feminim termasuk lagu hits Untukmu yang akhirnya membawa KRU melalui fasa demi fasa sehingga berjaya membina empayar besar di bawah jenama mereka.

“Saya masih ingat lagi ketika kami mula-mula menubuhkan syarikat 20 tahun yang lalu. Tiada siapa menyangka yang akhirnya KRU mampu bertahan selama ini dan menjadi besar seperti sekarang.

“Dari sebuah bilik, kami membina empayar ke ruang pejabat di Setiawangsa (Kuala Lumpur) dan sekarang di Cyberjaya (Wilayah Persekutuan) dan mempunyai rangkaian perniagaan lain.

“Semua ini adalah hasil kerjasama erat antara kami adik-beradik. Jika kami bukan ada pertalian keluarga, tak boleh diramal apakah yang akan berlaku kepada KRU ketika itu. Tak mudah untuk mempertahankan sebuah kumpulan selama ini,” kata Norman membuka cerita.

Sudah merancang untuk menyambut ulang tahun penubuhan KRU Music yang ke-20 tahun ini, pastinya mereka berbangga dapat bersama-sama artis yang pernah bekerjasama dengan mereka.

Selain Feminim, KRU juga pernah menaungi dan bekerjasama dengan penyanyi seperti kumpulan Elite, X-Factor, Indigo, Anita Sarawak, Ezlyn, Pretty Ugly, Juliana Banos, The Lima, Adam dan ramai lagi.

Menyifatkan kerjasama terdahulu sebagai sebuah pengalaman yang berharga buat mereka, Yusry turut mengakui yang ada kerjasama tersebut membuahkan hasil yang baik dan tak kurang juga yang memberikan cabaran besar buat mereka.

“Tidak semua penyanyi mampu pergi jauh dan seperti yang diharapkan. Ada juga yang popular dan gah tetapi kurang keserasian antara kedua-dua belah pihak dan berakhir dengan ‘perpisahan’.

“Perkara-perkara tersebut merupakan asam garam dan sebagai sebuah syarikat muzik kami perlu menghadapinya.

"Tak ada masalah yang tak dapat diatasi dan semua perkara yang dilalui diambil sebagai pengajaran berguna untuk mendepani masa mendatang,” kata Yusry pula.

Cabaran

MEMBUKA rahsia, Edry turut mengakui yang adakala mereka terpaksa menanggung kerugian apabila melabur kepada beberapa produk yang kurang menjadi.

Pun begitu, perkara tersebut tidak menjejaskan syarikat mereka memandangkan bidang penerbitan lagu tidak menggunakan modal yang terlalu besar yang pastinya tidak mendatangkan kerugian mendadak.

“Dalam bidang ini, risiko terhadap pelaburan tak besar. Cuma yang menjadi masalah bagaimana untuk membawa penyanyi naungan kami pergi jauh sahaja sejak dahulu.

“Kalau dilihat kembali, ada yang benar-benar berjaya dan tak kurang juga yang kurang mendapat tempat. Semua itu kami hadapi dengan tenang.

“Tapi yang paling memberikan cabaran apabila terbabit dengan isu panas antara syarikat dan artis sendiri sehingga membuatkan kami terpaksa berbalas-balas kenyataan di media massa.

“Itu memang berlaku sejak dahulu dan kami terpaksa menghadapinya. Ada kala masalah itu disebabkan oleh pekerja syarikat tetapi disebabkan nama kumpulan sama dengan nama syarikat, orang hentam kami.

“Mahu atau tidak kami terpaksa masuk campur disebabkan nama KRU sudah terpalit. Padahal ada beberapa isu langsung tidak melibatkan kami sebenarnya,” dedah Edry lagi.

Mengakui yang mereka sudah masak dengan ‘permainan’ tersebut, setiap isu berbangkit atau masalah yang timbul akan diselesaikan dengan baik.

"Setiap isu kecil atau besar perlu ditangani dan jika tidak diambil tindakan pastinya akan memberikan lebih banyak masalah di masa hadapan,” kata Edry yang mampu tersenyum melihat empayar KRU yang semakin berkembang maju terutama di bawah jenama KRU Bros (KRU Brothers).

Melalui jenama tersebut, KRU terbahagi kepada KRU Malaysia dan KRU International dan mereka juga mempunyai 16 anak syarikat lain termasuk KRU Music, KRU Academy, KRU Studios, KRU Media dan Pro Digital Lab.

Tambah Norman lagi, mereka bercadang untuk menyenaraikan syarikat tersebut ke Bursa Saham Kuala Lumpur tetapi perkara tersebut sedang dalam proses rasionalisasi dan memerlukan pertimbangan sewajarnya.

“Buat masa sekarang semua syarikat tertumpu di Cyberjaya dan kami sudah bercadang untuk menempatkan beberapa syarikat di tempat lain atau ke negeri-negeri terpilih,” katanya lagi.

keterujaan

MENGAKUI bidang nyanyian masih lagi menjadi keutamaan, status sebagai usahawan berjaya tidak pernah menjadi penghalang kepada mereka untuk terus aktif di pentas.

Terkini, KRU yang baru sahaja menghasilkan lagu berjudul Hingga Ke Jannah menganggap buah tangan baharu itu menyerlahkan sisi kematangan mereka yang semakin berusia.

“Sebenarnya saya ada memberikan kepada Norman dan Yusry beberapa lagu untuk dipilih. Hasil daripada perbincangan, kami sepakat untuk merakamkan lagu Hingga Ke Jannah kerana mempunyai mesej yang besar.

“Dalam fasa begini tidak mudah sebenarnya untuk menyanyikan lagu cinta seperti awal kemunculan dahulu,” kata Edry berterus terang.

Sejak diperdengarkan sebulan yang lalu, lagu tersebut bukan sahaja mendapat maklum balas yang positif daripada peminat tetapi pada masa yang sama turut mendapat putaran oleh kebanyakan stesen radio tempatan.

Mereka juga mencipta kelainan apabila menggunakan tema perkahwinan di kampung sebagai visual utama yang dimuatkan dalam muzik video yang boleh ditonton di laman YouTube sejak dilancarkan baru-baru ini.

“Banyak kelainan yang cuba kita tampilkan dalam muzik video ini. Kita sepakat menggunakan tema perkahwinan di kampung dan bermain kugiran. Kelainan-kelainan ini yang memberikan kesegaran kepada kami.

“Alhamdulillah kebanyakan peminat menerimanya dengan baik. Paling mengharukan apabila kelompok remaja juga menyukainya di samping dengan peminat kami yang terdahulu,” tambah Norman.

Bagi Yusry pula, yang menariknya mereka juga sudah diberikan beberapa tawaran untuk mengadakan persembahan kecil atau besar sejak akhir-akhir ini.

Kali terakhir mereka mengadakan persembahan besar sebagai sebuah kumpulan sekitar 2006 sebelum masing-masing sibuk dengan tugas lain.

“Kami berbesar hati kerana masih ada tawaran untuk KRU mengadakan persembahan majlis korporat dan sebagainya. Tak ada masalah sebenarnya asalkan membuat persediaan sahaja.

“Cuma bentuk persembahan itu mungkin tidak sama dengan 20 tahun lalu memandangkan masing-masing sudah berusia. Ada kelainan yang akan ditampilkan oleh kami jika terlibat dalam persembahan,” tambah KRU yang turut merancang mengadakan sambutan ulang tahun ke-20, KRU Music selepas Hari Raya Aidilfitri nanti.

Selain itu, mereka juga sedang merancang pelbagai acara bagi menyambut ulang tahun ke-25 penubuhan kumpulan KRU pada tahun depan termasuk mengadakan siri jelajah dan konsert besar-besaran.

 

Latest

Latest

Latest

Latest

Lagi Artikel Hiburan
Anda juga mungkin meminati