Kuala Lumpur 14 Julai 2017 - Zed Zaidi pada Majlis Pelancaran
 

Namun, pengamal seni di Malaysia amat beruntung kerana wujud pertubuhan seperti Persatuan Seniman yang dibangunkan khusus untuk membela nasib mereka.

Dan pastinya, Zed Zaidi, 37, menjadi figura penting yang menentukan kelangsungan peranan persatuan ini dalam pembangunan industri hiburan tempatan.

Zed yang ditemui dalam Majlis Pelancaran Nombor Kenderaan Khas Untuk Seniman (US) di ibu kota baru-baru ini berkongsi kesungguhan untuk terus membangunkan persatuan itu.

Katanya, Persatuan Seniman masih stabil dan beroperasi seperti biasa serta tidak ‘goyah’ seperti digembar-gemburkan sebelum ini.

“Mana-mana persatuan akan mengalami naik turun sepanjang operasinya. Namun, apa boleh saya katakan Persatuan Seniman masih dalam keadaan yang cukup stabil dan kukuh.

“Ini bermaksud, sehingga kini elaun sukarelawan yang berkhidmat dan membantu dalam pentadbiran persatuan ini masih diberi tanpa sebarang gangguan,” katanya kepada S2.

Diminta mengulas tentang keadaan berpuak-puak yang masih membelenggu Persatuan Seniman sehingga kini, Zed menegaskan, dia tidak melayan malah hanya fokus meneruskan kelangsungan persatuan yang berdiri sebagai satu entiti.

“Semua yang berdaftar dalam persatuan ini diberi layanan sama rata. Tidak kira artis popular atau tidak, veteran atau baharu, Cina, India atau Melayu, kesemuanya tidak dibeza-bezakan.

“Sebagai presiden, saya berlaku adil kepada semua. Setiap sumbangan atau bantuan kami serahkan tanpa membeza-bezakan agar tidak berlaku perbalahan dalam kalangan sesama ahli,” katanya lagi.

Dalam pada itu, Zed memberitahu akan terus merangka program dan aktiviti untuk memastikan persatuan tersebut terus aktif di masa akan datang.

“Alhamdulillah, berkat sokongan pihak kerajaan dan swasta, Persatuan Seniman mampu kekal aktif dengan pelaksanaan program-program yang bermanfaat untuk ahlinya.

“Setiap program atau acara dijalankan adalah disokong dengan dana yang disumbangkan pihak kerajaan dan swasta. Dengan adanya sokongan mereka, persatuan dapat digerakkan dengan sebaiknya,” ujarnya.