Tidak pernah berhenti dalam meneruskan misi itu, Hafiz yang suatu ketika dahulu pernah mencetuskan fenomena dalam industri muzik negara dengan penjualan mencecah 500,000 unit album Zikir Terapi 1, 2 dan 3, kini kembali dengan album baharu.

Memilih judul I Love Rasulullah, jejaka berusia 31 tahun ini sekali lagi membuktikan lagu aliran ketuhanan itu diteruskan kelangsungannya.

“Biarpun pasaran digital menguasai pasaran, tetapi saya berani memilih cara konvensional untuk memasarkan produk saya. Buat apa hendak takut kalau kita percaya kualiti produk kita sendiri.

“Irama nasyid tidak pernah dipinggirkan dan memang ada tempatnya di negara ini. Terpulang kepada diri kita sendiri untuk mempertaruhkan kualiti dan kekuatannya,” kata Hafiz ketika ditemui dalam pelancaran album terbaharunya di Hotel Royal Chulan, Kuala Lumpur baru-baru ini.

Apa yang menarik, dalam masa sebulan selepas dipasarkan, album terbaharu itu sudah mendapat anugerah platinum.

Dengan penjualan 10,000 unit sejak diedarkan 28 Mac lalu, jumlah itu merupakan satu angka yang cukup memberangsangkan.

Kata bekas ahli kumpulan nasyid UNIC ini, kejayaan itu adalah hasil kerja keras dan terpaksa menghadapi dugaan sepanjang penghasilan album.

“Banyak dugaannya juga dalam menyiapkan album ini kerana sewaktu dalam proses pembikinannya saya berdepan dengan masalah kesihatan yang boleh dikatakan agak serius juga.

“Itu belum ditambah lagi dengan tekanan daripada pihak pengurusan yang sering bertanyakan tentang perkembangan proses rakamannya.

“Alhamdulillah, semuanya sempurna disiapkan hanya dalam tempoh sebulan sahaja. Bila saya menghasilkan album ini sudah pasti banyak formula baru yang digunakan.

“Tidak sangka belum lama ia berada di pasaran, sambutannya sangat baik dan saya sendiri terkejut jualan album tu begitu tinggi.

“Kita tahu setiap hari orang mendengar macam-macam jenis lagu. Kalau yang dah dengar album ini secara keseluruhannya, memang ada banyak pembaharuan yang saya selitkan termasuklah menggunakan muzik dan lebih terarah kepada konsep pop,” jelasnya.

Album I Love Rasulullah yang memuatkan lagu seperti Penyelamat, Habeeb, Bukti Cintaku, Lawkana Bainana, Kasih Padamu, Sollu Ala Khairil Anam, Pemergian Rasul, Ya Rasul dan Tolaal Badru Alaina diedarkan oleh Sony Music Malaysia. Album berkenaan turut dijual di iTunes, Spotify, Deezer, Kkbox dan portal CD Nasyid.

Kurang bersetuju

Ditanya pula pendapat mengenai garis panduan yang ditetapkan oleh Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) berhubung pengasingan lelaki dan wanita dalam acara hiburan, Hafiz menyatakan rasa kurang setujunya dengan perkara itu.

“Masyarakat di negara ini masih tahu baik dan buruk ketika berhibur.

“Saya kurang bersetuju dengan garis panduan yang ditetapkan. Banyak perkara yang perlu diambil kira berhubung dengan garis panduan itu kerana ia melibatkan ramai pihak.

“Kalau garis panduan itu diperincikan lagi, mungkin akan menjadi lebih bagus. Seharusnya, garis panduan seperti itu melalui proses percubaan terlebih dahulu sebelum dilaksanakan,” katanya.

Bagaimanapun, jelas Hafiz, dia masih menghormati dan percaya bahawa ada jalan penyelesaian berhubung isu tersebut.

“Jika ada muzakarah, saya terbuka untuk menyertainya. Bagi saya, penonton di Malaysia masih mampu mengawal diri mereka ketika berhibur.

“Dalam agama Islam sendiri tidak pernah menghalang umatnya untuk berhibur asalkan tidak melalaikan dan tahu batas-batas agama yang perlu dijaga,” ujarnya.

Lebih mengagumkan, Hafiz yang bertindak sebagai Pengarah Kreatif di Arteffects Sdn. Bhd., turut memberitahu, syarikat itu kini mempunyai anak syarikat di Kaherah, Mesir dan bakal membuka satu lagi cawangan di Jerman.

“Di Mesir kami fokus kepada pengedaran pasaran negara Arab seperti Turki, Qatar, Oman dan Bahrain. Setakat ini, kami juga ada penyanyi dari Mesir bernama Mostafa Atef. Dari Jerman juga ada. Namanya Issam Bayan.

“Saya mahu perluaskan muzik ke luar negara. Nasib baik, artis-artis yang bawah naungan syarikat saya semuanya memahami. Jadi, senang untuk bekerjasama,” katanya.

Selain itu, anak kelahiran Teluk Intan, Perak ini juga akan mengadakan konsert jelajah di lima lokasi di Pulau Pinang, Kota Bharu, Kelantan, Shah Alam, Kuching, Sarawak dan Johor Bharu pada Ogos depan.

Sementara itu, Hafiz juga akan bekerjasama dengan agen pelancongan mengajak peminat melancong ke Sydney, Australia.

Kembara Sydney, Australia yang dibawa oleh EZ Kembara itu akan diadakan pada 18 hingga 23 September ini dengan pakej serendah RM5,750.