Menyingkap kembali lembaran sejarah seninya sekitar 11 tahun lalu, Imran Ajmain mula menyerlah dengan lagu Seribu Tahun. Ketika itu, satu fenomena bagaikan tercetus. Perlahan-lahan dia mendaki tangga populariti.

Pelbagai ranjau yang dilalui, menjadikan dia antara penyanyi lelaki yang popular. Lantas persoalan yang ditanya mengapa dia kian menyepi? Merajuk atau berkecil hati dengan permainan industri?

Tenang menjawab persoalan, Imran sama sekali tidak pernah berkecil hati dengan dunia seni. Jeda tiga tahun tanpa sebarang karya memberi penyanyi kelahiran Singapura ini untuk mengenal diri sendiri.

Tiada istilah menyerah kalah cuma penyanyi berusia 36 tahun ini memerlukan masa untuk memberikan yang terbaik kepada peminat. Yang dipersembah adalah tulus dari lubuk hatinya.

Tidak mahu mengambil kira kecaman atau serangan kata nista yang tiada berpenghujung, dia percaya dengan kebolehan diri. Bakat yang dikurnia Ilahi menjadikan dia kuat sehingga kini.

“Setiap kali saya keluar album, pasti akan ada peminat yang mempersoal keputusan saya. Kenapa menyanyikan lagu ini? Kenapa suara tidak tinggi seperti dalam album sebelum ini?

“Bagi saya itu bukan peminat, Itu adalah pemilik. Mereka rasa apabila beli album kita, sokong kita secara automatik kita milik dia. Peminat boleh kritik tetapi bukan menjatuhkan.

“Kata-kata mereka tanpa niat sebenarnya menjatuhkan kita. Mereka rasa itu adalah satu kritikan positif tetapi sebenarnya sedikit sebanyak mengganggu fikiran dan kehidupan artis itu sendiri,” katanya yang tampil dengan album pertama, Dengan Secara Kebetulan pada 2006.

Lebih menyedihkan jelas penyanyi Di Kalung Kasihan ini, peminat merasakan mereka boleh menentu arah haluan kerjaya seni artis yang diminati. Lebih-lebih lagi, mereka kononnya lebih mahir dalam hal tersebut.

“Sebagai seorang anak seni, mesti kita akan berhadapan dengan peminat yang minat kita, peminat yang tak suka kita dan peminat yang rasa kita milik dia. Itu sudah menjadi satu kelaziman.

“Sebenarnya mereka tidak ada kena mengena langsung dengan yang saya hendak buat. Kadang-kadang, saya balas juga kecaman mereka di media sosial kerana terlalu geram.

“Cuma sifat saya di alam maya sama dengan diri realiti. Lebih kelakar dan sinis. Pandailah mereka menilai,” kata pemilik nama sebenar Ahmad Imran Ahmad Husaini Ajmain ini.


Album lagu raya

Tampil dengan album raya, Aidilfitri: Karyacipta Seniman Yusnor Ef, Imran yakin dengan bakat dan kebolehannya dalam mempersembah sesebuah lagu.

Biarpun ada sosek-sosek yang mempersoal tindakannya menyanyikan semula lagu seperti Bersabarlah Sayang (Sanisah Huri) dan Suasana Riang Di Hari Raya (Junainah M. Amin) namun dia tidak ambil peduli.

Bukan tidak mahu menyanyikan lagu baharu cuma Imran mencerminkan rasa bangga dan penghargaan kepada lagu-lagu ciptaan komposer terkenal itu yang saban tahun mewarnai lebaran.

“Kalau kita sentiasa mahu hitung kecaman orang, kita tak boleh keluar dari kepompong hidup yang sama. Penyanyi kalau mahu nyanyikan semula lagu orang lain, kena pasang perisai siap-siap.

“Memang ada netizen yang mengkritik dan membandingkan nyanyian saya dengan penyanyi asal. Ada juga cakap usaha saya ini sebagai satu yang sia-sia.

“Saya mahu kekalkan kemelayuan lagu yang tersenarai dalam album ini. Saya yakin dengan suara dan lagu tersebut. Saya tidak ubah melodinya dan menyanyi ikut cara sendiri,” kata penyanyi yang pernah berduet dengan Nabil dan Diana Danielle menerusi lagu Radio.

Mengenai kata-kata netizen, Imran merasakan sebagai penyanyi, dia perlu belajar untuk sentiasa ke depan biarpun ramai yang menghalang.

“Kita kena ada prinsip sebagai seorang artis, orang suka atau tidak, lagu itu adalah seni.

“Saya tak mahu meletakkan diri saya mengikut acuan yang netizen mahukan. Saya menjaga kanvas seni dengan sebaik-baiknya. Ada artis yang sengaja mengundang kecaman tapi itu bukan saya,” katanya.