Memiliki syarikat produksi sendiri, Dark Wave Pictures Sdn. Bhd. dan empat anak syarikat yang bernaung di bawahnya, sudah pastilah tanggungjawab yang disandang itu bukan mudah.

Banyak komitmen dan fokus yang perlu diberikan untuk memastikan perniagaannya yang dicita-citakan sejak kecil itu berjaya.

“Kalau ada orang tanya cita-cita, saya beritahu saya mahu jadi model, pelakon, pramugari dan ahli perniagaan apabila sudah besar nanti.

“Siapa sangka semua cita-cita saya itu tercapai. Alhamdulillah kesemua percaturan tersebut diatur dengan baik sehingga ke hari ini,” kata anak kelahiran, Alor Star, Kedah ini.

Bagaimanapun segala pencapaian yang diperoleh Rafiena pada hari ini bertitik-tolak daripada sikap keras kepalanya sejak kecil.

Gemar menentukan haluan mengikut pertimbangan sendiri tanpa mengikut telunjuk sesiapa, Rafiena memberitahu, dia juga seorang kanak-kanak yang berjiwa kental.

Biarpun kadangkala sikapnya itu kurang disenangi oleh bapanya, Ramli Othman, 57, namun Rafiena tidak pernah ambil peduli.

Yang penting kepuasan hati apabila setiap kali keinginannya itu berada dalam genggaman.

“Seringkli orang mengaitkan perwatakan anak bongsu itu manja dan selalu bergantung kepada orang tuanya. Tapi perkara itu berlainan dengan saya.

“Abang (Rafez Izwan) dilihat lebih manja dengan abah dan mama (Ramlah Shariff) manakala saya lebih lantang dan berdikari.

“Itulah perwatakan saya sejak azali. Puaslah abah bising-bising menegur kalau saya buat silap tapi saya buat tak tahu saja,” ujar anak bongsu dua beradik ini.

Berkongsi cerita, Rafiena berkata, bapanya agak keberatan untuk memberi ‘lampu hijau’ kepadanya untuk menceburi bidang lakonan yang dikatakan tidak mempunyai jaminan masa depan yang kukuh.

Walaupun mengetahui Rafiena meminati bidang seni sejak zaman persekolahannya namun bapanya menentang habis-habisan keinginan untuk menceburi bidang berkenaan.

Puas Rafiena memujuk bapanya dengan memberikan keyakinan tentang bakat yang dimilikinya itu namun langsung tidak dipedulikan.

Lebih teruk lagi apabila ‘perang dingin’ antara kedua beranak itu berpanjangan dan saling tidak menegur antara satu sama lain.

Bagaimanapun keadaan itu diselamatkan oleh ibu yang kerap kali memenangkan satu-satunya anak perempuan kesayangannya itu di hujung ‘peperangan’.

“Sejak dari Sekolah Rendah Laka Temin, Bukit Kayu Hitam, Kedah hingga berpindah ke Sekolah Kebangsaan Seksyen 19, Shah Alam (Selangor), saya memang minat aktiviti kebudayaan.

“Namakan saja aktiviti yang dianjurkan pihak sekolah, pasti saya akan menyertainya.

"Daripada pertunjukan fesyen sehingga menjadi gadis pasukan sorak, saya berada di barisan depan.

“Tapi masa zaman sekolah itu, abah tak kisah sangat. Mama yang paling banyak memberi sokongan sehinggalah saya tamat peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) pada 2000.

“Selepas itulah berlaku banyak pertikaman lidah antara saya dengan abah kerana saya lebih suka untuk menyertai bidang hiburan dan abah pula sebaliknya,” katanya yang kemudian melanjutkan pelajaran dalam bidang seni persembahan di Universiti Teknologi Mara (UiTM), Shah Alam selepas memperoleh keputusan SPM.

Rafiena memberitahu, dia pernah teruk dimarahi bapanya gara-gara mendapat tahu dia memperoleh tawaran untuk menjadi pramugari syarikat penerbangan Malaysia Airlines (MAS).

Sekali lagi berlaku pertelingkahan. Yang nyata, bapanya tidak suka Rafiena bekerja sebagai pramugari, lebih-lebih lagi ketika itu dia masih terikat dengan pengajiannya.

Bagaimanapun Rafiena terlebih dulu meminta ibu untuk memujuk bapanya agar memberi kebenaran.

Akhirnya Rafiena bekerja sebagai pramugari ketika berusia 18 tahun dan meninggalkan pengajiannya yang pada masa itu baru memasuki semester pertama.

“Itulah kali pertama saya nampak abah seolah-olah tidak berpuas hati dengan saya,” ujarnya yang masih terus aktif dalam bidang lakonan walaupun terikat dengan kerja sebagai pramugari.

Asam Garam

MENGAKUI pencapaiannya yang diperoleh pada hari ini semuanya adalah berkat usaha gigihnya namun Rafiena memberitahu, dia juga melalui cabaran penuh berliku sepanjang tempoh itu.

Antaranya, dia pernah ditipu membabitkan lebih RM100,000 oleh individu yang dipercayainya baru-baru ini.

Kejadian itu benar-benar menyentak hatinya kerana dia sama sekali tidak menyangka diperlakukan sebegitu oleh individu berkenaan di belakangnya.

“Kes itu masih disiasat pihak polis. Itu antara pengalaman yang tidak dapat saya lupakan sepanjang berkecimpung dalam bidang ini.

“Pada peringkat awal, saya berniat baik untuk membantu. Tapi siapa sangka, pertolongan itu dibalas dengan cara penipuan pula.

“Sebab itu selepas kejadian itu saya sukar untuk menaruh kepercayaan kepada mana-mana pihak. Takut-takut kejadian yang sama berulang kembali,” ujarnya.

Pengorbanan sepanjang tempoh mengecapi kejayaan itu turut membabitkan perasaan apabila dua perkahwinan yang dibina sebelum ini berakhir dengan penceraian.

Enggan menoleh ke belakang, ibu kepada Catheriena Batrisya, 7, dan Christina Zaraa, 3, memberitahu dia masih belum bersedia untuk menamatkan zaman solonya lagi.

Menurut Rafiena, ‘bercinta’ dengan karier lebih menggembirakan hatinya kerana tidak perlu menjaga hati sesiapa berbanding menjalinkan hubungan dengan seseorang individu.

“Saya tidak mahu cakap besar dalam soal jodoh. Sekarang ini saya selesa bekerja. Tentang pengganti itu, nanti-nantilah difikirkan,” katanya di hujung perbualan.

Cabar diri

BERKHIDMAT di awam biru lebih empat tahun tidak menghalang minat Rafiena dalam bidang lakonan. Bagaimanapun pada waktu itu, Rafiena hanya dibenarkan berlakon dengan produksi terbitan Skop Productions Sdn. Bhd. yang dimiliki Datuk Yusof Haslam.

Ini kerana itu adalah syarat utama yang dikenakan si bapa terhadap dirinya jika mahu terus berlakon.

Jadi tidak hairanlah jika wajah Rafiena kerap menghiasi drama terbitan Skop Production terutama dalam drama berjudul Gerak Khas.

“Tidak dinafikan kerjaya saya dalam bidang lakonan tidak begitu cemerlang. Saya hanya berlakon dalam beberapa buah drama saja disebabkan terikat bekerja di syarikat penerbangan itu.

“Sehinggalah saya berhenti kerja ketika saya berusia 22 tahun. Masa itu saya menanam azam untuk memiliki syarikat produksi sendiri.

“Saya cabar diri untuk merealisasikan cita-cita saya itu. Untuk tujuan tersebut, saya perlu menimba sebanyak mungkin ilmu dalam bidang penerbitan.

“Saya belajar selok belok menjadi penerbit daripada Yusof Haslam. Begitu juga kerja-kerja untuk menghasilkan produksi drama,” katanya yang pernah berlakon dalam drama terbitannya sendiri berjudul Perempuan Dalam Pasungan.

Impian Rafiena untuk menjadi penerbit akhirnya terlaksana ketika menubuhkan Dark Wave Pictures pada 2008.

Antara judul drama terbitan syarikat itu pada peringkat awal adalah Hijrah Catrina, Dendam Seorang Isteri, Di Garisan Takdir dan Lepaskan Aku Pergi sebelum M.A.I.D, Jodoh Sebelah Pintu, Racun Menantu, Kubur Berdarah dan Tanggang Ayu.

Terkini, Rafiena baru saja selesai penggambaran drama bersiri berjudul Sesal Separuh Nyawa lakonan Ayda Jebat dan Aiman Hakim.