Ini kerana sepanjang tempoh itu berlaku terlalu banyak perselisihan faham dalam kalangan anggota kumpulan yang popular dengan lagu Wanita Seluruh Dunia ini.

Baik ketua kumpulannya, Edrie Hashim mahupun Boy Clifford (vokalis), Pae (pemain drum) dan Zham Lucan (basis), masing-masing bertelagah untuk mendapatkan hasil terbaik buat album berkenaan.

Lebih teruk lagi apabila perselisihan pendapat itu berlarutan sehinggakan ada anggota yang tidak bertegur sapa kerana terlalu mengikutkan perasaan marah yang masih berbaki.

Klimaks kepada ‘peperangan’ tersebut apabila Zham tiba-tiba menghilangkan diri pada saat-saat akhir sebelum proses pembikinan Revolution itu selesai awal bulan lalu.

Meskipun pada waktu itu, semua urusan akhir pembikinan album sudah selesai namun Zham tetap dengan keputusannya uuntuk tidak lagi dengan Projek Pistol.

“Saya terima dengan terbuka keputusan yang dibuat Zham walaupun tindakannya yang tidak profesional itu mengecewakan saya dan anggota yang lain.

“Kalau boleh saya tidak mahu isu ini dipanjangkan. Perkara sudah berlaku, tak payah lagi nak diperbesar-besarkan.

“Yang pasti inilah kehidupan rock n roll Projek Pistol. Kita bersatu kerana perjuangan muzik dan minat masing-masing.

“Walaupun masing-masing ada ‘kepala’ dan perangai tersendiri namun faktor itu bukan penghalang perjuangan muzik kami,” katanya penuh optimis.

Menyifatkan setiap kumpulan rock itu mempunyai cerita tersendiri, Edrie memberitahu, pertukaran anggota juga satu perkara biasa yang berlaku dalam industri muzik.

Untuk itu juga, menurut Edrie, dia memutuskan untuk mencari pengganti Zham bagi meneruskan kelangsungan hidup Projek Pistol.

Atas persetujuan anggota lain, Edrie melantik Halizor Hussein atau Fly Halizor bagi menggantikan posisi Zham.

Bersyukur apabila Fly terbuka menerima tawaran berkenaan, Edrie memberitahu, mereka akan sama-sama meneruskan perjuangan muzik rock n roll mereka.

“Sepanjang bergaduh-gaduh lima tahun dalam pembikinan Revolution, akhirnya seorang daripada kami ‘tumbang’. Apa nak buat, cari pengganti jalan penyelesaiannya,” ujarnya.

Dalam perkembangan yang sama, Fly turut menyatakan rasa bertuahnya apabila dipilih untuk sama-sama dalam perjuangan muzik Projek Pistol.

Percaya kumpulan itu mempunyai keistimewaan tersendiri, Fly juga berharap agar pengalamannya selama 15 tahun dalam industri muzik dapat dimanfaatkan .

“Saya sudah lama bekerjasama dengan kumpulan ini sebelum ini. Jadi tiada perkara yang baharu pada saat saya sewaktu melangkah masuk dalam Projek Pistol.

“Perjuangan muzik kami sama. Itu yang memudahkan lagi kerjasama yang sudah sedia terjalin,” ujarnya.

Album kedua istimewa

Mengulas keistimewaan Revolution berbanding album pertama, Stereo Andromeda yang dihasilkan pada 2010, Edrie mempunyai jawapan tersendiri.

Kata Edrie, kebanyakan daripada lagu yang dicipta itu luahan daripada sanubari dan respons terhadap perkembangan industri muzik semasa.

Menariknya, Boy juga diberi peluang untuk mencipta lagu dan menulis lirik untuk lagu Selalu dan Keliru dalam album berkenaan.

“Sepanjang pembikinan album ini, Boy dilihat lebih agresif dan mahu mencuba dalam penulisan lirik. Peluang itu juga dimanfaatkan olehnya.

“Selain Selalu dan Keliru, ada sebuah lagu yang ditulis olehnya iaitu Aku Tahu. Menerusi lagu itu dia meluahkan rasa yang dialaminya pada ketika itu.

“Sebab itu saya kata, Revolution adalah album yang penuh pancaroba. Paling teruk kami berdepan dengan masalah kewangan sehinggakan ada air mata yang tertumpah sepanjang pembikinan album ini,” katanya.

Revolution turut memuatkan tiga lagu bahasa Inggeris iaitu White Lady, Hey Now dan Where The Roads Go (Take My Hand) selain Kaca & Batu, Berani Mati, Merasuk Jiwa dan Andai Kataku Bisa.