Neelofa

“Yang pasti, saya sudah bersedia. Cuma dalam hal ini, saya tidak pernah menunggu, tak tergesa-gesa dan terfikir tentang siapakah calon yang sesuai.

“Dalam hal ini, ‘senjata’ saya hanya doa. Jodoh itu masih lagi rahsia-Nya dan saya percaya kalau niat kita baik, pasti akan dipermudahkan segala-galanya.

“Jadi sekarang ini, tunggu sajalah. Nak cakap lebih-lebih pun payah,” kata Neelofa yang tidak menolak kemungkinan jodohnya merupakan individu yang dekat dengannya.

Persoalan tentang soal perkahwinan Neelofa semakin kuat apabila bintang filem Azura ini dilihat sudah menunjukkan petanda membuat persiapan ke arah itu.

Lebih-lebih lagi apabila Neelofa mempamerkan kemahiran memasak dengan mewujudkan slot masakannya di laman sosial sejak akhir-akhir ini.

Bersama-sama dua pupunya, Adam, Neelofa berkongsi resipi masakan yang ringkas siap dengan perincian aturan memasak di medium tersebut.

Hasrat untuk melangkah ke arah perkahwinan juga dilihat semakin kuat apabila Neelofa mengkhabarkan sendiri tentang perpindahannya ke kediaman baharunya yang dibeli baru-baru ini.

Biarpun rumah yang terletak di Bukit Kiara, Kuala Lumpur itu dikongsi dengan kakaknya, Noor Nabila namun itu sudah menguatkan lagi isyarat menuju ke arah perkahwinan.

Pun begitu, Neelofa menegaskan bahawa semua persiapan tersebut tiada kena mengena dengan hasratnya untuk mendirikan rumah tangga pada masa terdekat.

“Tentang rancangan masakan saya dengan Adam, projek itu dilakukan secara suka-suka memandangkan dua pupu saya itu ada kelebihan dalam bab memasak ini.

“Projek itu mencetuskan minat saya yang sebelum ini tidak terbiasa dengan kerja-kerja di dapur. Selain program masakan itu, saya juga mempunyai satu lagi program di YouTube.

“Program berjudul #ilofayou itu mendedahkan sisi berlainan di belakang tabir sepanjang menjalani penggambaran Kempen Hijab Raya Naelofar 2016.

“Semua ini dilakukan untuk peminat dalam laman sosial. Maklumlah selama ini fokus saya hanya kepada media arus perdana semata-mata,” jelas Neelofa.

Program berjudul #ilofayou itu mendedahkan sisi berlainan di belakang tabir sepanjang menjalani penggambaran Kempen Hijab Raya Naelofar 2016.

Serba boleh

BERHUBUNG kerjaya lakonan, Neelofa mengakui, dia hanya berpeluang untuk memenuhi minatnya itu selepas urusan perniagaan tudungnya selesai hujung bulan depan.

Masih memilih karya dan watak bersesuaian dengan dirinya, Neelofa terpaksa membahagikan masanya dengan bijak demi memastikan bidang pengacaraan dan lakonan berjalan seiring dan seimbang.

“Saya tidak boleh berat sebelah dalam hidup. Kena ada kepelbagaian barulah ada warna warni dan tidak terikat dengan satu perkara saja.

“Saya sentiasa mencari perkara baharu dalam usaha memastikan diri tidak lagi mengulangi tugasan yang hampir serupa. Takut bosan.

“Untuk itu, sempena ketibaan 1 Syawal ini saya berazam untuk menajamkan kemahiran masakan saya dengan mempelajari menu masakan yang lebih mencabar ketika saya pulang ke kampung nanti.

“Bagi saya yang jarang turun ke dapur ini, memang perkara itu agak mustahil. Tapi tidak salah mencuba,” katanya yang bakal meraikan Hari Lebaran di Pasir Mas, Kelantan.

Berkongsi cerita Neelofa berkata, keinginan untuk belajar memasak itu berlaku selepas kematian mengejut bapa saudaranya kerana serangan jantung baru-baru ini.

Pemergian arwah pada usia 50-an itu memberi tamparan hebat buatnya kerana keluarganya di kampung selama ini bergantung kepada kepakaran memasak lelaki tersebut.

Sebagai chef dan mempunyai pengalaman bertahun-tahun lamanya dalam bidang masakan, sudah pastilah kehilangan amat dirasai keluarga.

Malah turut memberi keinsafan buat kaum keluarga lain untuk mempelbagaikan kemahiran masing-masing.

“Ada hikmah di sebalik pemergian arwah. Sebenarnya kita tak boleh terlalu bergantung kepada keistimewaan yang ada pada orang lain.

“Sebaliknya kita sendiri yang perlu menimba ilmu dan berusaha meningkatkan kemahiran diri,” katanya.