Pernahkah anda dengar tentang SEBENARNYA.MY

Logo Kaji Selidik Pembaca

Pernahkah anda dengar tentang SEBENARNYA.MY ?

Pernahkah anda dengar tentang SEBENARNYA.MY ?




Sila respon kepada soalan di atas untuk menutup skrin ini

Show result

Perah idea, tarik minat pendengar

s 4

MENGENDALIKAN slot di sebelah pagi bukan satu perkara yang mudah. Pastinya slot tersebut mempunyai cabaran yang besar apatah lagi perlu bersaing dengan kebanyakan stesen radio lain yang turut sama memberikan input menarik bagi menarik perhatian pendengar.

Bagi Ajak Shiro yang mengendalikan segmen pagi di Hot FM, AG (Kool FM) dan Guibo (Fly FM), tentu sahaja mereka turut bekerja keras bagi memastikan stesen yang diwakili berjaya menarik perhatian pendengar untuk terus kekal bersama.

Berkesempatan mengunjungi Lombok, Indonesia baru-baru ini, ketiga-tiga penyampai ini berkongsi cerita mengenai cabaran mengendalikan slot pagi. Selain perlu mendapatkan input menarik setiap pagi, mereka juga perlu mencari resipi terbaik untuk memikat hati pendengar.

Menariknya, percutian ke pulau itu turut disertai oleh Ketua Rangkaian Eksekutif Rangkaian Radio Media Prima (RRMP), Seelan Paul dan Pengurus Besar Kumpulan RRMP, Anida Mohd Tahrim. Ajak, AG Azmeer dan Guibo berkongsi cerita mengenai perkara tersebut.

Ajak makin selesa

HAMPIR dua tahun menyertai keluarga besar Hot FM tentu sekali sudah memberikan keselesaan kepada penyampai ini. Bagi Ajak, tentu sekali tempoh masa yang sudah dilalui memberikan seribu satu pengalaman menarik dalam berhadapan dengan berjuta pendengar dalam satu-satu masa.

“Sebenarnya berada di kaca televisyen (TV) dan di radio memberikan dua kepuasan yang berbeza. Jika di TV saya mengumpulkan peminat, di radio pula saya ada pendengar setia. Mereka akan menyapa saya bila bertemu di luar dan bercerita mengenai topik pagi yang kami bawakan.

“Dengan sapaan tersebut, saya tahu mereka mengikuti kami setiap pagi. Ini yang membuatkan saya bersemangat untuk terus memberikan yang terbaik kepada pendengar,” kata Ajak yang bergandingan bersama dengan Syuk Joras dan Fizie setiap pagi.

Menariknya, Ajak mula memahami kehendak pendengar yang tidak sukakan pelawak untuk mengendalikan stesen radio. Dia sedar kebanyakan pendengar ada memberikan teguran kepada penyampai daripada terus membuat lawak kurang cerdik di konti radio.

Tambahnya, perkara tersebut ada benarnya memandangkan mereka tidak dapat melihat secara terus dengan mata. Tidak salah untuk mereka terus berlawak asalkan apa yang disampaikan kena dengan situasi tersebut.

“Nak berjenaka tak salah tapi seboleh-bolehnya biarlah mempunyai informasi dan tidak kelihatan kurang cerdik. Ini yang cuba saya elakkan setiap kali bersiaran. Orang sekarang sudah bijak dan mereka tidak lagi mahukan lawak kosong semata-mata.

“Setiap hari saya belajar satu demi satu perkara baharu bagi memastikan saya tidak kelihatan janggal mengendalikan radio. Apa-apa pun saya bersyukur kerana kehadiran saya semakin diterima baik oleh pendengar,” katanya lagi.

Sebagai penyampai, Ajak juga perlu mengambil tahu perkembangan terkini berita dalam dan luar negara. Jika satu ketika dahulu dia kurang memberikan tumpuan kepada isu sejagat, kini perkara berkenaan sudah diatasi sejak bergelar penyampai.

“Nak jadi penyampai perlu berilmu dan ada pengetahuan. Setiap hari saya membaca kebanyakan surat khabar dan dalam masa yang sama mencari berita-berita baharu yang boleh dikongsi bersama pendengar,” katanya.

AG alami perubahan

BERGELAR penyampai selama 17 tahun merupakan satu tempoh masa yang panjang sebenarnya. Pernah berpindah ke beberapa stesen, AG kini semakin selesa mengendalikan segmen pagi di Kool FM bersama dengan Haiza.

Tentu sekali sebagai orang lama, dia sudah melalui beberapa fasa penting dalam bidang radio. Sebagai orang lama, dia perlu pantas bergerak, seiring dengan perubahan selera pendengar, perubahan zaman dan teknologi hari ini.

“Ya, saya pernah berhadapan dengan beberapa fasa penting dalam kerjaya. Ketika mula muncul dalam bidang radio dulu, kebanyakan penyampai menggunakan suara bass atau suara yang keluar dari perut. Ketika itu siapa yang tidak ada suara bass, kurang diterima ramai.

“Berselang tahun, orang mula gemarkan artis popular untuk menjadi penyampai. Ketika itu saya sama-sama mendaki kerjaya bersama rakan-rakan seangkatan seperti Fara Fauzana, Faizal Ismail dan beberapa nama besar yang lain. Fasa ini penting kerana saya mula memikirkan cara untuk naik bersama-sama dengan mereka.

“Kebanyakan penyampai radio ketika itu adalah artis popular manakala saya pula memang seorang penyampai. Jika saya tidak cepat merebut peluang yang ada, mungkin hayat saya tidak lama,” katanya berterus terang.

Namun kini, AG lebih mengakui yang ini merupakan fasa untuk pelawak. Kebanyakan stesen radio mempertaruhkan pelawak sebagai sandaran dan dia pula tidak boleh duduk diam untuk terus memberikan yang terbaik secara peribadinya.

Ditambah dengan pelbagai perubahan teknologi yang semakin berkembang maju, mereka perlu bergerak ke arah digital dengan lebih pantas. Penyampai bukan sahaja berada di konti tetapi dalam masa yang sama perlu aktif menggunakan laman sosial untuk menarik minat pendengar.

“Ini yang sedang berlaku sebenarnya di mana teknologi benar-benar memberikan perubahan besar kepada dunia radio. Sekarang bukan suara sahaja boleh didengari tetapi penyampai juga perlu popular untuk memberikan impak kepada stesen,” tambahnya lagi.

Reziki Guibo

TIDAK pernah mengimpikan untuk bergelar penyampai radio, Guibo mengakui perkara tersebut berlaku secara tidak sengaja pada tahun 2010. Dia yang menetap di Amerika Syarikat (AS) selama dua dekad akhirnya memilih untuk pulang ke sini pada waktu itu.

Menetap dan membesar di sana, Guibo atau nama sebenarnya Syed Naquib As-Sagoff hanya mencuba nasib dalam satu pertandingan anjuran Fly FM ketika itu. Berjaya memenanginya, Guibo akhirnya diberikan tawaran sebagai penyampai sambilan untuk hujung minggu.

“Sebenarnya keputusan untuk berpindah semula ke sini disebabkan arwah ayah yang menghidap kanser. Bila keadaan semakin teruk, dia mahu menghembuskan nafas terakhir di sini. Jadi kami semua kembali ke sini untuk menunaikan permintaan tersebut.

“Saya hanya mencuba nasib untuk mencari peluang dan tak sangka pula akhirnya terpilih. Hampir dua tahun juga bergelar penyampai sambilan sebelum diserapkan sepenuhnya sebagai penyampai tetap pada tahun 2010,” katanya yang turut bergelar pengacara untuk 8TV Nite Live bersama Bakki Zainal ketika itu.

Mengakui semakin selesa bergelar penyampai di slot pagi, Guibo juga pernah berhadapan dengan detik cemas saat dia mula diserapkan sebagai penyampai tetap pada tahun 2012.

Dia mengalami kemalangan lebih kurang pukul tiga pagi yang mengakibatkan tangan kanannya cedera parah sehingga ke hari ini. Berada tiga bulan di hospital, Guibo sudah lima tahun menggunakan tangan kiri sepenuhnya dalam kehidupan seharian.

“Sebenarnya tangan kanan saya cedera parah dan hampir dipotong. Keluarga bawa saya ke hospital lain untuk mengelakkan perkara berkenaan. Mujur doktor di PPUM (Pusat Perubatan Universiti Malaya) segera melakukan beberapa pembedahan.

“Sekarang saya masih menunggu beberapa urat saraf besar untuk memanjang semula sebelum melakukan beberapa prosedur lain untuk mengembalikan semula fungsi tangan kanan,” katanya lagi.

Tawaran terkini

MENJADI antara stesen pilihan ramai, Hot FM menawarkan wang berjumlah RM60,000 untuk dimenangi. Membariskan empat pelakon popular menerusi Drama Lirik Hot, pendengar boleh meneka tajuk lagu yang ‘didramakan’ oleh Ayda Jebat, Redza Rosli, Mira Filzah dan Hafidz Roshdi. Pendengar terpantas akan membawa pulang wang tunai berjumlah RM500 dan jika gagal wang terkumpul akan dibawa ke jam berikutnya.

Bagi Kool FM pula, pendengar boleh menyertai segmen ‘Kool Kan Ada’ yang bermatlamat untuk menghulurkan bantuan kepada sesiapa sahaja. Pendengar boleh menghantarkan penyertaan mereka menerusi www.koolfm.com.my untuk sesi pemilihan termasuklah pembelian lampin pakai buang selama setahun, komputer riba untuk pelajar dan apa sahaja permintaan yang relevan.

Tidak ketinggalan, Fly FM juga menyediakan wang berjumlah RM10,000 kepada pendengar yang berjaya meneka dengan tepat klip gabungan tiga suara misteri.

Lagi Artikel Hiburan
Video Pilihan