Dalam tempoh berkenaan pastinya Shukri Yahaya dan Siti Nurfatihah Ahmad Adnan atau lebih mesra disapa Tya menyemai benih cinta yang akan tumbuh mekar sebaik sahaja mereka diijabkabulkan pada 20 November ini.

Menyifatkan perkahwinan tersebut sebagai pelengkap kepada sebuah perhubungan, Shukri mengakui dia sudah bersedia memikul tanggungjawab sebagai suami yang akan mengepalai rumah tangga seperti pasangan lain.

 

“Sebenarnya debaran untuk bernikah semakin kencang dirasai sejak akhir-akhir ini. Dahulu mungkin saya kurang merasainya tetapi sekarang macam-macam perasaan yang muncul.

“Bukan tidak gembira untuk disatukan dengan ikatan yang sah tetapi saya juga bimbang memandangkan banyak persiapan untuk majlis pernikahan dan majlis resepsi yang perlu diuruskan lagi.

“Untungnya ramai yang ringan tangan membantu termasuk bakal isteri dan keluarga kami,” kata Shukri memulakan bicara.

Mengakui memberikan tanggungjawab tersebut kepada mereka untuk menentukan segala-galanya, Shukri kurang mencampuri urusan berkenaan memandangkan kesibukan di lokasi penggambaran.

Baginya dia mempercayai mereka untuk menentukan yang terbaik untuk meraikan hari bahagianya nanti.

Dalam pada itu jelas lelaki ini lagi, dia hanya akan mula bercuti seminggu sebelum tarikh pernikahan untuk mempersiapkan diri sebagai suami dan raja sehari.

“Memang jadual kerja saya agak padat dan sudah diatur lama. Walaupun tak banyak perkara saya dapat bantu, Alhamdulillah mereka memahami keadaan itu.

“Tapi bukan bermakna saya lepas tangan. Ada juga beberapa hal yang telah saya uruskan sejak berbulan-bulan lalu bagi melicinkan lagi hal kerja kahwin kami,” ungkapnya.

Bercerita mengenai wanita yang bakal menjadi suri di hatinya pula, Shukri mengakui yang mereka bertemu di set penggambaran filem Ular sekitar 2010 lalu.

Pertemuan atas dasar kerja itu akhirnya membibitkan rasa cinta untuk dia terus mengenal hati budi wanita berkenaan sehinggalah serius untuk menyimpul ikatan perkahwinan.

Adat pasangan bercinta yang ada pasang surut, kedua-dua mereka turut merasai gelombangnya. Namun semua itu tidak langsung menjadi masalah besar untuk mereka menepis badai mendatang dek kerana rasa cinta yang menebal.

Nyata keserasian yang dicipta sepanjang tempoh percintaan tidak langsung menggoyahkan hubungan mereka sehingga hari ini.

Pertemuan atas dasar kerja itu akhirnya membibitkan rasa cinta untuk dia terus mengenal hati budi wanita berkenaan sehinggalah serius untuk menyimpul 
ikatan perkahwinan.

 

Terus rahsia

MEMILIH Putrajaya sebagai tempat bernikah dan Cyberjaya (kedua-dua di Wilayah Persekutuan) destinasi meraikan resepsi cinta, pastinya hari tersebut bakal dikenang sepanjang hayat oleh Shukri dan Tya.

Jelas lelaki yang berusia 27 tahun ini, dia seboleh-bolehnya enggan mendedahkan jumlah wang hantaran dan belanja perkahwinan meskipun dipujuk oleh banyak pihak sebelum ini.

“Bukan tidak ada yang bertanya tentang perkara tersebut tapi sudah beberapa kali saya melaluinya. Tak payahlah diberitahu berapa, biarlah menjadi rahsia kami sahaja,” ungkap Shukri berterus terang.

Dalam pada itu, dia turut menegaskan yang perkahwinan ini bukanlah penamat kepada kariernya seperti yang ditafsir oleh segelintir pihak.

Mengakui karier lakonannya sedang memuncak ketika ini, ada yang berpendapat dia harus menangguhkan terlebih dahulu pernikahan dan memberikan laluan untuk memperkasakan lagi kerjaya.

“Peminat sekarang bukan seperti peminat terdahulu yang akan berhenti memberikan sokongan sebaik sahaja artis kesukaan mereka bernikah.

“Saya tidak pernah nampak perkara itu akan menjejaskan. Kalau dilihat kembali sejarah, ramai artis kita yang terus membina empayar meskipun sudah berstatus suami atau isteri.

“Tidak ada masalah besar kepada peminat untuk terus menyokong mereka asalkan memberikan yang terbaik dalam kerjaya,” kata pelakon yang popular dengan drama Asam Pedas Untuk Dia ini lagi.

Ketika ditanya ke manakah destinasi bulan madu pilihan mereka, Shukri menegaskan yang mereka masih belum merancang tentang perkara itu.

Tambahnya, dia tidak pernah kisah untuk ke mana sahaja sama ada dalam atau luar negara mengikut kesesuaian masa dan persetujuan bakal isterinya nanti.