Jika kebanyakan pelakon lain begitu mudah membina nama dan sekelip mata sahaja popular, berlainan dengan Mas Khan yang terpaksa bekerja keras dan melangkah setapak demi setapak untuk terus maju.

“Tak mudah sebenarnya untuk membuat orang kenal dengan nama Mas Khan. Orang tak tahu yang saya telah melalui macam-macam perkara yang tak semua orang mampu lakukan.

“Demi cinta saya dalam bidang ini, saya gagahkan diri berjumpa dengan orang produksi tidak kira sama ada mereka ada tawaran atau tidak. Setidak-tidaknya itu akan membuka jalan buat saya walaupun belum tentu mereka mahu terima,” katanya berterus-terang.

Tambah pelakon yang berusia 22 tahun ini lagi, dia tidak malu untuk bertemu dengan pemilik produksi dan memperkenalkan dirinya kepada mereka. Kaedah tersebut ada kalanya membuatkan dia lebih bersungguh-sungguh memberikan yang terbaik sekiranya menerima tawaran.

Sejak menamatkan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) lima tahun lalu, dia mengeluarkan sedikit modal untuk membuat profil diri dan dihantar kepada lebih 20 syarikat produksi.

Tujuannya untuk mereka mengenali dirinya dan memberikan peluang berlakon walaupun melibatkan babak yang kecil sahaja.

“Buat apa nak malu kalau mahu berjaya? Sebab itu saya tak kisah untuk melakukan apa sahaja asalkan dapat maju dalam industri hiburan tanah air. Walaupun belum tentu diberikan tawaran tetapi saya sendiri perlu berusaha.

“Lebih 20 produksi yang menerima profil itu akhirnya Skop Production (Sdn. Bhd.) memilih saya untuk dijadikan artis naungan. Pastinya semua pengorbanan yang saya lakukan berbalas walaupun perjalanannya masih jauh,” katanya.

Menjadi sebahagian daripada keluarga Skop Production milik Datuk Yusof Haslam sejak 2012, langkah Mas Khan semakin kukuh apabila dia diberikan tawaran membintangi drama Roda-Roda Kuala Lumpur.

Tidak lama kemudian, dia ‘dinaikkan pangkat’ membintangi drama bersiri Gerak Khas menyandang watak Detektif Kamal dengan beberapa pelakon yang lain termasuklah Raja Ilya.

Sudah dua tahun dengan drama berkenaan membuatkan Mas Khan semakin selesa membawakan watak berkenaan apatah lagi Gerak Khas mempunyai ramai peminat setia.

Rezeki

DALAM pada itu, Mas Khan atau nama sebenarnya Mas Hidzir Khan Mas Fadzillah Khan tidak menafikan yang di sentiasa menjaga tingkah laku agar tidak terlihat janggal walaupun berada di luar set.

Membawakan watak anggota polis, intergriti bukan hanya perlu diterjemah dalam lakonan semata-mata sebaliknya perlu dibawa keluar memandangkan kerjaya tersebut dihormati masyarakat.

“Saya memang menjaga tingkah laku di luar memandangkan orang mula kenal saya dengan watak berkenaan. Tanggungjawab tersebut perlu didokong dan dihormati walaupun saya bukan anggota polis sebenar.

“Sebab itu saya akan berfikir kesan dan akibat seandainya berhadapan dengan situasi yang tidak dijangka. Selain maruah diri, maruah Skop Production dan intergriti PDRM (Polis DiRaja Malaysia) juga menjadi keutamaan,” katanya yang kini menganggotai kumpulan nyanyian Carla.

Mengulas mengenai pencalonan sempena Festival Filem Malaysia (FFM28), dia bersyukur kerana dicalonkan dalam kategori Pelakon Lelaki Baharu Terbaik melalui filem Biasan.

Selain Mas Khan turut dicalonkan ialah Saran Kumar (Ola Bola) Chem Amar (Chowrasta), Keith Foo (Girlfriend Kontrak) dan Adam Shahz (Juvana 2 - Terperangkap Dalam Kebebasan).

“Saya tidak meletakkan harapan tinggi untuk memenangi kategori itu memandangkan saingannya cukup kuat. Tercalon sahaja sudah menandakan yang saya diterima.

“Setidak-tidaknya jerih-perih yang dilalui sudah menampakkan hasil. Orang mula nampak bakat saya dan itu cukup menggembirakan saya,” tambahnya.