Cukup terkenal dengan sikap matang, Erin menjelaskan apa yang dilaluinya ini adalah pengalaman paling indah. Tidak mahu membandingkan dirinya dengan bakal ibu di luar sana, kata Erin tentunya bergelar ibu di usia seawal ini adalah satu kejayaan buat dirinya.

“Setiap hari saya nikmati keseronokan sebagai wanita mengandung.

“Ini adalah rezeki, saya tidak ada masalah untuk menjadi ibu muda. Bagi saya ini adalah sesuatu yang baik untuk mempunyai anak di usia saya yang masih muda,” katanya ketika ditemui pada majlis suai kenal barisan artis yang bernaung di bawah syarikat pengurusan Paranormal, di Bandar Sri Damansara Selangor.

Sebagai selebriti dia agak bersedia dengan kata-kata negatif yang akan dilemparkan.

Jelas, dengan keadaan diri yang sering berhadapan dengan keadaan tersebut adalah bukan mengejutkan untuk Erin mengetahui ada yang mengatakan dia melakukan rawatan untuk mendapatkan kandungan kembar.

“Saya tahu untuk berhadapan dengan orang begini saya tidak boleh buat apa. Sebab kalau fikir sangat juga saya akan tertekan jadi kalau nampak perkara yang negatif saya akan sekat sahaja.

“Saya tidak pernah melakukan rawatan. Gen kembar ini memang ada dalam keluarga saya dan suami. Malah dengan keadaan saya masih muda dan baru berkahwin saya rasa tidak perlu untuk melalui apa-apa rawatan,” katanya.

Memilih untuk memberi tumpuan sepenuhnya kepada kandungan, kata Erin, atau nama sebenarnya Nur Arina Abdul Malek, dia percaya untuk tidak mengambil sebarang tawaran berlakon kini adalah yang terbaik buat dia dan semua pihak.

“Dengan keadaan saya kini saya fikir adalah sedikit mustahil untuk saya berlakon. Memang kalau ikutkan rindu saya sangat rindu berlakon.

“Tetapi memikirkan keadaan diri, adalah tidak adil jika keadaan saya nanti menyusahkan semua pihak. Buat masa sekarang memang saya selesa duduk di rumah sahaja. Sebagai bakal ibu saya juga kena banyak membaca dalam mendalami ilmu berkenaan penjagaan bayi,” katanya.

Mungkin agak terlalu jauh untuk dia memikirkan keadaan diri selepas bergelar ibu.

Bagaimanapun membayangkan diri untuk keluar dari industri bukan suatu pilihan buat Erin yang sentiasa beranggapan ini adalah karier buat dirinya.

“Saya sudah berlakon sejak dari kecil. Jadi, saya tidak terfikir untuk keluar dari industri walaupun sudah bergelar ibu.

“Cuma saya tidak pasti berapa lama setelah bergelar ibu untuk saya kembali berlakon, semuanya terpulang kepada keadaan,” katanya.

Umum jantina anak

Sebagai bakal ibu dia cuba sembunyikan perasaan teruja bila mendapat tahu ketika itu sedang mengandung memandangkan ada yang menasihatkan dia untuk tidak terlalu teruja. Bagaimanapun perasaan itu tiba-tiba bertukar geram apabila ada pihak yang tidak bertanggungjawab mengambil kesempatan menyebarkan imbasan ultrabunyi bayi kembarnya. Namun kata Erin apa yang berlaku dianggapnya sudah selesai memandangkan dia lebih senang untuk memaafkan individu terbabit.

“Saya ibu mereka (bayinya), mestilah saya sendiri yang mahu berkongsi berita gembira itu kepada semua tetapi saya geram sebab belum sempat saya kongsikan, sudah tersebar dulu.

“Bayangkanlah, saya yang menanggung alah teruk di rumah, muntah sampai tidak bermaya selama beberapa bulan tetapi sewenangnya individu itu menyebarkan foto tersebut. Tetapi saya tidak mahu fikirkan soal itu lagi saya maafkan sahaja,”katanya.

Mengambil apa yang berlaku sebagai pengajaran jelas Erin, dia tidak menolak akan mengumumkan jantina kembarnya sedikit masa lagi.

Malah katanya ,sebagai selebriti dia juga mahu berkongsi dengan peminat.

“Saya akan umumkan sendiri. Jangan risau tiada apa yang mahu dirahsiakan sangat. Setakat ini masih belum tahu bila saya akan umumkan,” katanya.

Kalau ikutkan Erin merupakan anak sulung dalam keluarganya yang membawa makna bayi yang dikandung Erin juga bakal menjadi cucu pertama buat ibu dan ayahnya.

Namun bagi Erin adalah lebih senang untuk bersikap adil buat kedua belah keluarga dan sebab itu dia membuat keputusan untuk berpantang di rumahnya sahaja.

“Mama sudah beritahu kalau boleh dia mahu dengar suara bayi di rumahnya lepas saya bersalin nanti, maksudnya dia mahu saya berpantang di sana. Tetapi saya fikir lebih baik bersikap adil. Jadi saya pilih untuk berpantang di rumah saya sahaja. Dan mereka boleh datang melawat saya di rumah,” katanya.

Mengahwini seorang usahawan yang cukup dikenali, tentunya ada yang membayangkan Erin kini sedang ligat membeli keperluan bakal bayinya kelak. Bagaimanapun menolak keadaan itu jelas Erin dia sebenarnya lebih senang untuk menjadi seorang ibu yang cermat.

“Kami tidak sediakan apa-apa lagi, kalau ikut perasaan itu memang ada tapi saya lebih senang untuk tunggu dahulu. Kadang-kadang kalau beli terlalu awal rugi, sebab saya selalu melayari internet dan pilihan itu terlalu banyak.

“Memandangkan saya kini juga tidak buat apa-apa di rumah, jadi saya lebih suka buat senarai barangan yang perlu dibeli. Bukan apa saya tidak mahu membazir kalau silap membeli kelak. Lagi satu kasihan juga untuk bergantung kepada suami sahaja untuk membeli,” katanya jujur.

Sebagai ibu muda dia percaya hanya melalui pengalaman sahaja yang dapat membantu diri, bagaimanapun dalam memastikan keadaannya sentiasa sihat dia memastikan diri untuk mengamalkan apa yang disaran doktor.

“Pada awal fasa pertama mengandung saya akui agak teruk, hampir semua tidak boleh makan. Tetapi saya gagahkan makan demi bayi dalam kandungan. Bila masuk fasa kedua Alhamdulillah semuanya sudah baik dan saya kini menikmati makanan.

“Tidak ada masalah sebabnya saya pastikan semua vitamin yang dibekalkan doktor dimakan mengikut waktu,” katanya.

Ternyata di kala ini persediaan untuk menjadi ibu lebih mudah dengan kehadiran suami dan keluarga yang sentiasa memberi sokongan. Malah ketika ditanya sama ada dia akan menjarakkan kehamilannya selepas ini dia tidak terfikir soal itu dan sentiasa mendapatkan nasihat doktor.

“Bila ada anak nanti saya fikir keluarga akan banyak membantu, suami saya juga banyak menimba ilmu melalui pembacaan, malah di kala ini juga ibu saya sendiri agak teliti dengan makanan yang diambil saya. Jadi saya cukup bertuah dalam soal itu.

“Soal untuk hamil pada masa depan itu saya hanya akan dapatkan nasihat doktor sahaja, saya tidak kisah anak ramai memandangkan semuanya rezeki Allah,” katanya.