Bagaimana anda tahu mengenai SEBENARNYA.MY?

Logo Kaji Selidik Pembaca

Bagaimana anda tahu mengenai SEBENARNYA.MY?

Bagaimana anda tahu mengenai SEBENARNYA.MY?




Sila respon kepada soalan di atas untuk menutup skrin ini

Show result

Pengalaman manis, pahit Projector Band

KUALA LUMPUR 6 Jun 2017 - Sesi fotografi bersama Kumpulan Projector
Kumpulan Projector Band

KEMERIAHAN menyambut Syawal yang membawa pengertian hari kemenangan buat seluruh umat Islam selepas sebulan berpuasa pastinya dinantikan oleh semua insan.

Tidak perlu bermewah-mewah, cukup sekadar berkumpul beramai-ramai dengan keluarga tersayang sebenarnya jauh lebih bermakna.

Bagi kumpulan yang dianggotai lima orang anak muda, Projector Band, kedatangan Hari Raya Aidilfitri tahun ini memberi pelbagai warna dalam kehidupan mereka.

Tahun kedua menyambutnya sebagai artis, tiada yang berubah.

Nak tahu lebih lanjut perkongsian cerita raya mereka berlima - kenangan bermain mercun dan dikejar polis sewaktu kecil?

Jom! Kita sama-sama membaca pengalaman pahit manis mereka.

MATT, GITARIS

SATU-satunya anggota kumpulan yang telah mendirikan rumah tangga, Matt atau nama penuhnya Ahmad Khusairi seronok kerana tahun ini merupakan giliran beraya di kampung halaman isterinya di Taiping, Perak.

Sebelum ini, Matt, 27, tidak pernah berenggang dengan keluarga dan akan memastikan mengambil cuti awal untuk beraya bersama-sama.

“Tahun ini sambutan raya di sebelah mak saya di Kuala Kubu Bahru sedikit sunyi sebab saya beraya di rumah mak mentua. Tapi tak mengapa, sebab saya perlu berlaku adil dengan isteri kerana tahun lalu sudah beraya di Selangor.

“Lagipun, hari raya ketiga kami juga akan pulang ke kampung sebelah mak saya di Tanjung Bidara, Melaka,” jelasnya.

Tambah Matt lagi, sebagai seorang lelaki, tidak sah kalau tak bermain permainan ekstrim iaitu mercun.

“Nama pun budak lelaki, kan, mestilah pernah ada pengalaman main meriam. Saya dan rakan akan letakkan seekor katak hidup dalam meriam buluh dan kemudian akan letupkan.

“Tapi iyalah masa itu zaman nakal dan budak-budak lagi, bukan tahu apa sangat,” katanya jujur.

Matt memilih warna hijau dan ungu sebagai tema raya tahun ini.

ISKANDAR, VOKALIS

TRADISI menyertai kumpulan takbir rumah ke rumah setiap kali menjelang hari raya antara pengalaman yang tidak boleh dilupakan pemuda berusia 24 tahun itu.

Walaupun sudah bergelar selebriti, Iskandar atau nama penuhnya Iskandar Dzulqarnain masih lagi meneruskan amalan yang sudah lama dilakukannya bersama-sama penduduk di kampungnya di Kuala Kubu Bahru, Selangor.

“Kalau dulu bila tiba malam raya, aktiviti saya mesti tidur (ketawa) tapi beberapa tahun kebelakangan ini saya sering sertai aktiviti takbir dari rumah ke rumah.

“Sambil-sambil itu kita boleh berkenalan dengan orang yang tak pernah kita jumpa.

“Banyak kelebihan apabila saya ikut aktiviti macam ini. Dapat eratkan silaturahim dan pada masa sama, kita mengagungkan kebesaran-Nya dengan takbir hari raya,” ujarnya yang ‘wajib’ makan lemang dengan rendang ayam selepas solat sunat Aidilfitri.

Tahun kedua beraya 
sebagai artis, Iskandar memilih untuk menyambut pagi Syawal di Ulu Yam dengan keluarga tersayang.

“Kedua-dua atuk dan nenek sebelah ibu serta ayah sudah lama meninggal dunia. Jadi kami lima beradik tiada kampung halaman.

“Tahun lepas Pak Ngah saya meninggal dunia beberapa bulan sebelum Ramadan akibat kencing manis.

“Satu kehilangan yang besar buat kami sekeluarga sebab tiap-tiap tahun kami memang akan berkumpul di rumah Pak Ngah di Batang Kali.

“Jadi tahun ini kami pulang ke Ulu Yam dan di situlah juga tempat saudara mara berkumpul pada pagi raya,” katanya yang turut menyediakan bajet duit raya.

Menyingkap kembali kenangan sewaktu remaja, Iskandar mengakui adakalanya memori itu mampu mengukir senyuman dek kenakalannya.

“Semasa umur 15 tahun, saya dan rakan bermain mercun tin buatan sendiri. Entah macam mana secara tiba-tiba meriam itu meletup dan terkena peha kawan hingga melecur. Nasib baiklah tak teruk.

“Serik dengan insiden itu, kami ‘taubat’ main meriam tin dan hanya main mercun mancis saja,” tuturnya yang pernah mengumpul duit raya paling banyak RM200 sewaktu kecil.

ANGAH, GITARIS UTAMA

SIAPA yang tidak sayu dan sedih apabila melihat orang lain bergembira dengan ahli keluarga pada pagi Hari Raya Aidilfitri.

Razif Zainuddin atau Angah berasakan sambutan raya agak ‘kosong’ selepas tunggak utama keluarganya pergi menghadap Ilahi sembilan tahun lalu.

Anak mana yang tidak rindu untuk bersalaman dan bermaaf-kemaafan dengan ayah yang sudah menjadi tradisi mereka sekeluarga sewaktu hayatnya masih ada.

“Sejak arwah abah meninggal, raya bagi saya sama sahaja. Kami sekeluarga selesa untuk sambut raya secara sederhana. Kalau dulu semasa arwah ada memang pelbagai aktiviti kami buat bersama-sama menjelang raya.

“Mak pun jarang nak masak sangat. Kuih raya pun kebanyakannya dibeli sahaja,” ujarnya.

Ujar Angah lagi, dia tidak terlalu berlebihan soal membeli baju raya kerana dia seorang yang ringkas.

“Sejak abah tiada, persiapan baju dan sebagainya saya lebihkan buat mak dan adik perempuan. Adik perempuan ada seorang sahaja jadi saya tak kisah untuk berikan sedikit bajet duit raya untuk dia,” katanya.

Ujar Angah lagi, dia pernah menerima duit raya sebanyak 25 sen ketika di bangku sekolah rendah ketika beraya di rumah orang.

“Memang kelakarlah bila teringat balik kisah lama. Dulu saya dan rakan akan pergi beraya beramai-ramai di rumah orang kaya.

“Biasalah budak-budak masa itu hanya tahu nak dapat duit raya saja dan kami ingat raya di rumah orang kaya dapatlah RM5 ke tapi 25 sen sahaja.

“Lepas dapat duit, kami beramai-ramai pergi kafe siber sampai ke malam,” kongsinya sambil tertawa.

APIT, DRAM

KENANGAN raya bagi pemain dram ini mungkin telah menjadi memori termanis dalam diari hidupnya. Masakan tidak, pengalaman dikejar orang kampung dan polis ketika bermain meriam masih lagi tersemat dalam ingatannya.

Syafiq atau Apit yang merupakan adik kepada Angah sebenarnya seorang yang nakal semasa kecil.

“Saya dan kawan sekampung pernah main meriam buluh di tengah padang. Masa itu sudah pukul 12 tengah malam. Boleh bayangkanlah bunyinya macam mana bila tengah malam yang sunyi tiba-tiba terdengar bunyi dentuman kuat.

“Kami dikejar orang masjid dan polis sebab kebetulan ada polis peronda sedang buat rondaan di kawasan perumahan kami. Tak cukup tanah kami lari nak selamatkan diri. Semua lintang-pukang balik rumah,” kongsinya.

Apit turut berkongsi kisah sedih ketika kali terakhir bersua muka dengan arwah bapanyanya.

“Sebelum abah meninggal dunia, saya dan arwah kemalangan. Sejak dari insiden itu, dia terus terlantar sakit sehingga dikesan menghidap kanser tulang.

“Waktu itu saya dan abah dalam perjalanan nak beli keperluan menjual burger. Walaupun sudah sembilan tahun abah pergi, saya masih teringat lagi peristiwa pahit itu sebab saya antara anak yang paling rapat dengan dia,” tuturnya.

ADDY, GITARIS

Addy juga pernah melalui episod duka. Pemergian ayah tersayang sejak 2014 banyak merubah personaliti dirinya untuk menjadi orang yang lebih bertanggungjawab.

“Kalau dulu menjelang hari raya, ayahlah orang yang paling sibuk dengan adik-beradik yang lain.

“Saya merindui suasana membakar lemang di belakang rumah sehari sebelum Aidilfitri bersama-samanya dan buat biskut raya sendiri seperti Almond London dan Cornflakes madu.

“Lepas ayah meninggal, memang banyak berubahlah tapi aktiviti bakar lemang masih lagi ada cuma biskut raya saja kami beli di kedai,” katanya yang pernah memperoleh kutipan duit raya paling banyak RM150.

Seperti Apit, Addy juga pernah melalui pengalaman dikejar orang kampung gara-gara bermain meriam pada waktu tengah malam.

“Masa itu zaman nakal lagi, masih budak-budak, cuma tahu nak keseronokan sahaja. Padahnya kami kena hambat dengan orang kampung masa pukul 12 malam,” ceritanya.

Lagi Artikel Hiburan
Video Pilihan