Namun mengambil kira pendapat keluarga dan suami, dia yakin ada waktu yang sesuai untuk dia memberitahu kisah paling gembira itu kepada umum. Ternyata dua minggu lalu adalah waktu yang sesuai untuk dia mengambil keputusan berkongsi dengan peminat, selepas kandungannya mencecah 18 minggu.

“Ikutkan saya dinasihatkan untuk berkongsi kisah ini pada minggu ke-20 kandungan saya. Memang sudah dinasihatkan keluarga dan doktor juga, bukan apa ini bagi memastikan kandungan saya benar-benar stabil.

“Tetapi tidak sampai 20 minggu sudah ada rakan-rakan yang membocorkan rahsia, jadi saya kongsi sahaja berita ini, dua minggu lalu. Ketika itu usia kandungan saya baru mencecah 18 minggu, tetapi tidak mengapa kandungan juga sihat pada waktu itu,” katanya gembira.

Berkongsi perasaannya ketika mendapat tahu dia hamil anak pertama pada penghujung Februari lalu, ternyata rasa gembira itu tidak dapat digambarkan. Lebih manis kata Nad, sebelum ini juga dia dan suami, Faliq, sangat berharap untuk mempunyai zuriat secepat mungkin selepas berkahwin pada Disember tahun lalu.

“Pada bulan sebelumnya itu memang saya ada tanda-tanda seperti orang mengandung, tetapi ditakdirkan saya belum mengandung lagi.

“Bulan berikutnya hadir tanda-tanda yang sama, tetapi memang saya tidak mahu terlalu teruja takut kecewa. Lepas beberapa ketika baru saya ambil keputusan untuk menggunakan alat ujian kehamilan, itu pun saya menggunakan dua alat tersebut untuk kepastian. Selepas pasti dengan keputusan tersebut saya dan suami langsung berjumpa doktor dan dapat pengesahan,” katanya ketika ditemui pada majlis tayangan program Ramadan Astro, baru-baru ini.

Katanya, ketika ini alahan pada awal kehamilannya sudah pun berlalu. Bagaimanapun, Nad atau nama sebenarnya Farah Nadia Zainal Abidin, 26, memberitahu dia sangat bersyukur untuk melalui pengalaman mengandung yang mudah. Malah pada usia kandungan lima bulan kini, Nad sendiri sebenarnya sudah tidak sabar untuk mengetahui jantina anaknya.

“Kalau ikutkan pada awal hamil, memang saya tidak lalu makan makanan yang berkuah, setiap hari saya akan makan nasi dengan telur. Pada sebelah malam pula, saya tidak lalu makan, itu antara perubahan yang berlaku.

“Jantina anak kami masih belum tahu. Sepatutnya, hari ini kami akan pergi jumpa doktor dan hari inilah kami akan tahu jantina anak pertama kami. Selain itu tidak ada apa-apa perubahan, cuma seronok untuk menunggu tarikh kelahiran yang dijadualkan pada bulan Oktober nanti.

Mempunyai keluarga yang sangat membantu, Nad juga sebenarnya tidak risau untuk melalui proses berpantang nanti. Tambahnya, adalah sesuatu yang mudah untuk dirinya apabila keluarga dan pihak mentuanya sudah menawarkan diri untuk menjaganya.

“Saya akan berpantang di sini, memandangkan rumah keluarga dan mentua dekat jadi tidak ada masalah. Masing-masing juga akan bergilir untuk membantu.

“Suami juga akan bersama, jadi tidak ada masalah,” katanya.- Gambar Fariz Rusadio

Masih bekerja

Bakal berehat sebentar dari dunia lakonan apabila kandungannya mencecah enam bulan. Jelas Nad, ketika itu adalah waktu yang sesuai untuk dia berehat. Selain mahu memberikan fokus kepada kesihatan diri, waktu itu juga dia mahu menggiatkan diri dalam perniagaannya pula.

“Memang saya akan habiskan kerja saya dahulu. Bukan apa, dengan keadaan tubuh begini memang tidak sesuai lagi untuk saya berada di hadapan kamera.

“Dalam waktu saya berehat dari dunia lakonan memang fokus utama saya adalah perniagaan. Malah saya dan suami juga akan membuka gerai di bazar Ramadan Istana Budaya, sama seperti tahun lepas,” katanya.

Tidak menolak untuk meneruskan karier lakonannya seperti biasa selepas bergelar seorang ibu. Tambah Nad, dengan perubahan status ini juga perlu untuk dia menerima watak yang jauh lebih matang untuk disesuaikan dengan dirinya kini.

“Rasanya tidak ada masalah untuk saya, tetapi kita tengok dahulu macam mana nanti.

“Mungkin dari segi pemilihan watak itu kena lebih sesuai, orang kata yang lebih matang untuk saya,” katanya.

Masih belum membeli-belah barangan bayi sebagai persiapan menerima orang baharu. Jelas Nad ikutkan hati memang dia sudah tidak sabar mahu memenuhkan rumahnya dengan barangan bayi. Namun kala ini, dia mengambil nasihat bukan sahaja suami tetapi juga rakan-rakan yang sudah melalui pengalaman yang sama.

“Memang sebagai seorang bakal ibu yang kali pertama mengandung, perasan itu lain macam sikit. Lebih teruja orang kata, saya memang mahu beli macam-macam pada mulanya ketika dapat tahu saya mengandung.

“Tetapi suami beritahu lebih elok tidak membeli terlalu awal malah kawan-kawan saya juga menasihatkan saya supaya lebih tenang sebab barangan tersebut boleh dibeli secara berperingkat-peringkat dan selepas bersalin nanti juga saya masih boleh dapatkan,” katanya.

Jaga isteri

Menjadi orang yang paling rapat dengan Nad kini, ternyata Muhammad Faliq Amirudin, 28, yakin tanggungjawab sebagai suami saat ini meletakkan Nad bawah tanggungjawabnya. Mahu isterinya itu melalui pengalaman mengandung paling istimewa, awal-awal lagi dia sudah menyediakan beberapa syarat buat Nad.

“Ketika ini memang saya tidak benarkan dia mengambil tawaran lakonan yang mempunyai jadual penggambaran terlalu lama. Bukan apa, saya takut dia sendiri tidak mampu lakukan.

“Sebab itu saya minta dia berehat bila usia kandungan sudah mencecah enam bulan. Penting bagi dia sendiri memberi fokus kepada kandungan kerana ini pengalaman pertama buat dia sendiri,” katanya.

Berkongsi antara makanan kegemaran isterinya saat ini, ternyata sambal petai adalah makanan wajib buat Nad.

“Dahulu dia tidak terlalu sangat makan petai, tetapi selepas makan baru-baru ini memang permintaan dia mahu makan masakan itu setiap hari. Seleranya lebih kepada makanan kampung.

“Sebagai suami, apa yang boleh saya beritahu, senang sebenarnya menjaga Nad sepanjang mengandung ini. Permintaannya juga tidak ada yang susah,” katanya.