Itu antara kejayaan yang pernah dirangkul juara Akademi Fantasia (AF) 2015, Sufi atau nama sebenarnya Mohammad Sufie Rashid.

Berasal dari Singapura, Sufi tahu cabarannya untuk berada dalam industri seni tempatan amat mencabar ketika kali pertama melangkah ke dalam akademi lagi.

“Masa itu saya fikir bagaimana orang hendak mengundi saya apatah lagi saya bukan orang tempatan.

“Itu antara cabaran yang perlu dihadapi, tetapi saya kuatkan diri untuk terus belajar dan menimba ilmu dalam bidang muzik,” jelasnya.

Tambah Sufi, biar pun sudah mempunyai pengalaman dalam industri seni sebelum ini, itu bukan sebab utama untuk dia berada dalam keadaan selesa.

“Saya sering menganggap peluang saya dapat masuk ke dalam AF tidak perlu disia-siakan.

“Malah, di dalam AF, saya ibaratkan diri saya seperti seorang bayi yang dilahirkan. Masih banyak yang saya mahu pelajari dalam bidang muzik,” jelasnya.

Ditanya mengapa dia memilih AF, jelas Sufi, dia melihat bagaimana kemajuan rakan senegaranya, Aishah yang sebelum ini pernah menjadi peserta AF.

“Bila dia keluar AF, saya lihat suaranya berbeza. Cara nyanyiannya lebih baik dan itu yang buat saya tertarik untuk menyertai AF,” katanya.

Ditanya mengenai rancangan akan datang, jelas Sufi, dia sudah mengambil keputusan untuk menetap di sini sebagai langkah untuk mengembangkan kerjayanya.

Tambahnya, dia tidak akan mensia-siakan peluang dan bakatnya untuk mencipta lagu untuk bersaing dengan penyanyi tempatan.

“Saya ada simpan beberapa lagu yang sudah dibuat tetapi belum dikeluarkan. Malah, saya merancang untuk mengeluarkan lagu baharu.

“Peluang untuk bekerjasama dengan Edry akan saya gunakan belajar cara mencipta dan menggubah lagu. Itu yang utama,” jelasnya.

Pada malam akhir itu, Sufi telah mencipta sejarah tersendiri dalam AF apabila diumumkan sebagai peserta pertama daripada Singapura yang dinobat sebagai juara.

Konsert akhir yang diadakan di Auditorium Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) itu menyaksikan dia membawa pulang hadiah wang tunai berjumlah RM50,000, trofi sumbangan astro serta pakej pelancongan ke Dubai.

Sufi turut mendendangkan dua buah lagu berjudul Andai Ku Bercinta Lagi dan sebuah lagu ciptaan penuh olehnya yang bertajuk Kisah Dua Muka.

Naib juara pada malam itu dimenangi oleh Syamel yang membuang pulang wang tunai berjumlah RM30,000, Trofi serta pakej pelancongan ke Dubai.

Syamel pada malam itu menyanyikan dua buah lagu berjudul Sampai Mati dan Hidup Dalam Mati yang juga dicipta sepenuhnya oleh Syamel sendiri.

Bila yang merupakan artis tunggal wanita yang layak ke peringkat akhir pula terpaksa berpuas hati di tempat ketiga dengan membawa pulang wang tunai berjumlah RM20,000, trofi dan pakej percutian ke Dubai.

Anak perempuan kepada Eddie yang juga anggota kumpulan Wings itu menyanyikan dua buah lagu berjudul Karma serta lagu baharu ciptaa penuh oleh Edry Abdul Halim bertajuk Diam Saja.

Shahrul yang mempunyai antara kelompok penyokong besar pada malam itu terpaksa berpuas hati di tempat keempat dengan membawa pulang wang tunai RM10,000, trofi dan pakej percutian.

Dia turut menyanyikan lagu baharunya berjudul Hanya Kamu yang dicipta oleh Aiman dan Zul 2 bY 2 beserta lagu Just The Way You Are dendangan asal penyanyi Bruno Mars.

Juri tetap untuk AF musim terbaharu ini ialah Datuk Ramli MS manakala juri jemputan pada malam itu ialah Datuk Aznil Nawawi, Datuk AC Mizal dan Fauziah Ahmad Daud.

Tak mahu panjangkan kes

Baru memulakan tapak sebagai penyanyi di sini, Sufi sudah terpalit dengan kontroversi melibatkan kes liwat bapa tirinya yang juga pengurus kepada penyanyi Indonesia, Tegar.

Sufi dan Tegar telah membuat laporan polis apabila dikatakan menjadi mangsa penderaan seksual bekas bapa tirinya, Muhammad Arif Dollah.

Terbaharu, laporan polis itu telah digugurkan dan Sufi sendiri dalam kenyataannya tidak berhasrat untuk memanjangkan perkara itu.

Bagaimanapun, bekas bapa tirinya itu telah membuat keputusan untuk mengemukakan saman malu terhadap Sufi dan Tegar.

“Sebenarnya perkara ini terlalu sensitif untuk saya beri komen tetapi saya tidak pernah menyesal dengan tindakan yang saya ambil.

“Saya berniat hanya mahu membantu Tegar dan jika ia digugurkan, saya tidak berhajat untuk membuka kes ini semula. Jika Tegar mahu, itu adalah hak dia,” jelasnya.

Tambah Sufi, niatnya untuk tidak meneruskan isu tersebut adalah kerana tidak mahu membesarkan perkara tersebut adalah kerana ia melibatkan maruah keluarganya.

“Kalau boleh, kontroversi yang melibatkan maruah diri dan keluarga, saya akan elak untuk memberi komen yang tidak memberi manfaat pada kerjaya saya,” jelasnya.